Cabaran sentiasa dihadapi tetapi dengan bentuk yang berubah-ubah. Cabaran itu mesti dikenalpasti, kemudian disusuli dengan tindak balas, dan tidak balas itu pula mestilah menetapi cabaran yang dihadapi.
Cabaran remaja masa kini terbahagi kepada tiga seperti yang diperincikan sebelum ini.
1- Cabaran Gangguan Syaitan.
2- Cabaran Keinginan Hawa Nafsu.
3- Cabaran Pengaruh Dalaman dan Luaran.
Setiap cabaran dan masalah pasti ada penyelesaiannya. Langkah untuk menghindari dan mengatasinya perlu dilakukan agar cabaran ini dapat dihadapi dengan berkesan.
1- CABARAN GANGGUAN SYAITAN :
Remaja sering bertanya, apakah jalan atau cara terbaik untuk membebaskan diri daripada gangguan, hasutan dan godaan syaitan laknatullah ?
Jawapan kepada persoalan ini telah banyak dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim melalui firman Allah dalam beberapa ayat :
PERTAMA : Al-Quran telah memberitahu kita dengan bahasa yang jelas. Bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata, maka kita perlu menjadikannya musuh. Firman Allah S.W.T :
6. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
Maka wajiblah ke atas kita selepas apa yang dijelaskan di dalam surah Fathir ayat 6 menjadikan syaitan sebagai musuh kita yang nyata. Sedaya upaya untuk memerangi, membenci dan menjauhkan diri kita daripadanya. Persiap segala persediaan dalam menghadapi musuh yang paling kuat.
KEDUA : Al-Quran telah menjelaskan manhaj Islam kepada orang-orang beriman. Dan telah menggariskan kepada mereka siratul mustaqim (jalan yang lurus).
Segala manhaj dan jalan selain dari apa yang disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran adalah bisikan syaitan. Firman Allah S.W.T :
60. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu!
61. “Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang lurus.
(Surah Yaasin, ayat 60-61)
153. Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-An’am, ayat 153)
Wajiblah ke atas setiap orang yang beriman untuk mengikut dan mengamalkan manhaj ini. Sentiasa berjalan di landasan Allah yang lurus. Jangan sesekali mengikut jalan daripada bisikan dan gangguan syaitan laknatullah.
No comments:
Post a Comment