Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Wednesday, July 28, 2010

Hijrah Remaja: Cabaran Remaja Masa Kini

Cabaran remaja masa kini sangat pelbagai. Cabaran yang boleh menenggelam, menghanyut dan menyesatkan manusia. Antaranya, cabaran dalaman : Seperti jiwa yang cenderung melakukan kejahatan dan nafsu jahat yang mengajak. Cabaran luaran : Seperti was-was atau hasutan syaitan, manusia dan jin. Juga fitnah harta, perempuan dan kemegahan atau jawatan.

Di sini saya tidak ingin membahaskan berkenaan semua cabaran di atas, saya merumuskan semuanya kepada tiga :

            1-         Gangguan Syaitan.
            2-         Keinginan Hawa Nafsu.
            3-         Pengaruh Dalaman dan Luaran.

Saya merumuskannya kepada tiga unsur di atas kerana ia merupakan asas kejahatan dan fitnah. Membawa manusia kepada kesesatan dan kefasadan.


1- GANGGUAN SYAITAN:

Allah telah mencerita dan menjelaskan di dalam al-Quran berkenaan cabaran dan gangguan yang didatangkan oleh syaitan terhadap manusia. 

            (1) Surah al-A’raf, ayat 14 - 17

14. Iblis berkata: berilah tempoh kepadaKu hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
15. Allah berfirman: "Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh (ke suatu masa Yang tertentu)".
16. Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
17. "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".


                (2) Surah al-Hijr, ayat 36 - 40
  
36. Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaKu hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)".
37. Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh.
38. "Hingga ke hari - masa Yang termaklum".
39. Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,
40. "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang dibersihkan dari sebarang syirik".

Dua ayat di atas jelas menggambarkan kepada kita janji syaitan untuk membinasa dan menyesatkan manusia. Syaitan sentiasa berpegang pada janji agar seluruh manusia binasa di bawah gangguannya.

Wahai remaja, adakah kamu ingin tenggelam di bawah pengaruh dan hasutan syaitan laknatullah ? Adakah kamu sanggup menyerah kalah dan reda di bawah kekuasaan dan kemegahan syaitan ?

Jika jawapannya tidak !!! Bagaimanakah cara terbaik untuk membebaskan diri daripada gangguan jahat ini ?


2- KEINGINAN HAWA NAFSU:

Allah S.W.T telah mengurniakan kepada manusia nafsu. Diberikan nafsu ini dua keinginan, keinginan dan kecenderuan kepada kebaikan, dan keinginan dan kecenderungan kepada kejahatan.

Jika manusia dididik dan diasuh dengan akhlak, dilatih melakukan amalan soleh dan dipupuk dengan ilmu dan tarbiah. Pastinya nafsu ini akan mendapat hidayah agar cenderung kepada kebaikan dan kesempurnaan.

Tetapi jika nafsu diabaikan daripada ilmu dan tarbiah, diselaputi dengan kejahilan. Dipenuhinya dengan percampuran bersama kejahatan, ditinggalkannya di dalam biah fasidah. Maka pastinya nafsu ini akan cenderung kepada kejahatan. Mendorong pemiliknya melakukan kerosakan, kesesatan dan penyelewengan.

Dua keinginan di atas telah disebut oleh Allah S.W.T dan dikuatkannya dengan sabda nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Syams, ayat 7 - 10 :
7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya);
8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -
9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).




Sabda nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari :

“Setiap kelahiran itu dilahirkan atas fitrah. Maka ibu bapa lah yang akan menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Keinginan hawa nafsu yang cenderung kepada kejahatan merupakan antara cabaran utama manusia. Jika cabaran ini dapat diatasi, maka halangan menuju kebaikan dapat dihapuskan.


3- PENGARUH DALAMAN DAN LUARAN:

Tatkala disebut mengenai pengaruh dalaman dan luaran, ia meliputi pelbagai aspek. Terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu.

Pengaruh dalaman adalah pengaruh yang lahir daripada dalam diri sendiri. Ia lahir daripada jati diri muslim yang lemah. Mudah terpengaruh dengan ajakan syaitan dan nafsu yang mendorong kepada melakukan kejahatan. Jati diri perlu dididik dengan ilmu dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T agar jiwa mampu menolak ajakan dalaman untuk melakukan maksiat.

Pengaruh luaran pula adalah pengaruh daripada persekitaran. Ibu bapa, adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan merupakan persekitaran yang mampu mempengaruhi seseorang. Ini telah dijelaskan oleh nabi Muhammad S.A.W di dalam daripada Abu Hurairah r.a :

“Seseorang itu atas agama kawannya. Maka lihatlah oleh kamu siapa yang dia kawan”.
(hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah S.A.W telah memberitahu kita bahawa kawan merupakan faktor utama ke atas peribadi seseorang. Kawan mampu mempengaruhi siapa sahaja sama ada pengaruh positif atau negatif. Oleh itu, Islam amat menggalakkan agar umatnya memilih kawan soleh kerana ia mampu membawa kita kepada kebaikan.

Suasana sekeliling juga merupakan pengaruh luaran. Seseorang itu mungkin tidak akan terselamat daripada pengaruh suasana walaupun dia memiliki keluarga dan kawan-kawan yang baik. Contohnya, seorang remaja lahir daripada ibu bapa yang beriman. Dihantar ke sekolah yang baik dan bergaul bersama kawan soleh. Tetapi suasana di sekeliling rumah dan sekolahnya penuh dengan maksiat. Budaya melepak, merempit, vandalism, mabuk, mencuri,  pendedahan aurat, berpakaian seksi dan sebagainya berada disekelilingnya. Adakah remaja ini akan terselamat daripada pengaruh suasana sekelilingnya ? Dapatkah kita menjamin remaja ini tidak akan terjerumus ke dalam maksiat yang berada di sekitarnya ?

Pengaruh dalaman dan luaran adalah cabaran terbesar remaja dalam melakukan perubahan terbaik terhadap diri mereka. Oleh itu, pengaruh ini perlu dikenalpasti agar ia dapat dielak dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan.

No comments:

Post a Comment