Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Thursday, September 30, 2010

Nasihat Rasulullah Buat Puterinya Fatimah

Suatu hari masuklah Rasulullah SAW menemui anakndanya Fatimah azzahra rha. Didapatinya anakndanya sedang menggiling syair (sejenis bijirin) dengan menggunakan sebuah penggilingan tangan dari batu sambil menangis.

Rasulullah SAW bertanya pada anakndanya, “Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Fatimah? semoga Allah SWT tidak menyebabkan matamu menangis”. Fatimah rha. berkata, “ayahanda, penggilingan dan urusan-urusan rumahtangga lah yang menyebabkan anaknda
menangis”.

Lalu duduklah Rasulullah SAW di sisi anakndanya. Fatimah rha melanjutkan perkataannya, “ayahanda sudikah kiranya ayahanda meminta ‘Ali (suaminya) mencarikan anaknda seorang jariah untuk menolong anaknda menggiling gandum dan mengerjakan pekerjaanpekerjaan
di rumah?”.

Mendengar perkataan anakndanya ini maka bangunlah Rasulullah SAW mendekati penggilingan itu. Beliau mengambil syair dengan tangannya yang diberkati lagi mulia dan diletakkannya di dalam penggilingan tangan itu seraya diucapkannya “Bismillaahirrahmaanirrahiim”.

Penggilingan tersebut berputar dengan sendirinya dengan izin Allah SWT. Rasulullah SAW meletakkan syair ke dalam penggilingan tangan itu untuk anakndanya dengan tangannya sedangkan penggilingan itu berputar dengan sendirinya seraya bertasbih kepada Allah SWT dalam berbagai bahasa sehingga habislah butir-butir syair itu digilingnya.

Rasulullah SAW berkata kepada gilingan tersebut, “berhentilah berputar dengan izin Allah SWT”, maka penggilingan itu berhenti berputar lalu penggilingan itu berkata-kata dengan izin Allah SWT yang berkuasa menjadikan segala sesuatu dapat bertutur kata. Maka katanya dalam bahasa Arab yang fasih, “ya Rasulullah SAW, demi Allah, Tuhan yang telah menjadikan engkau dengan kebenaran sebagai Nabi dan Rasul-Nya, kalaulah engkau menyuruh hamba menggiling
syair dari Masyriq dan Maghrib pun niscaya hamba gilingkan semuanya. Sesungguhnya hamba telah mendengar dalam kitab Allah SWT suatu ayat yang berbunyi : (artinya)

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya para malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang dititahkan-Nya kepada mereka dan mereka mengerjakan apa yang dititahkan”.

Maka hamba takut, ya Rasulullah kelak hamba menjadi batu yang masuk ke dalam neraka. Rasulullah SAW kemudian bersabda kepada batu penggilingan itu, “bergembiralah karena engkau adalah salah satu dari batu mahligai Fatimah az-zahra di dalam syurga”. Maka
bergembiralah penggilingan batu itu mendengar berita itu kemudian diamlah ia.

Rasulullah SAW bersabda kepada anakndanya, “Jika Allah SWT menghendaki wahai Fatimah, niscaya penggilingan itu berputar dengan sendirinya untukmu. Akan tetapi Allah SWT menghendaki dituliskan-Nya untukmu beberapa kebaikan dan dihapuskan oleh Nya
beberapa kesalahanmu dan diangkat-Nya untukmu beberapa derajat.

Ya Fatimah, perempuan mana yang menggiling tepung untuk suaminya dan anak-anaknya, maka Allah SWT menuliskan untuknya dari setiap biji gandum yang digilingnya suatu kebaikan dan mengangkatnya satu derajat.

Ya Fatimah, perempuan mana yang berkeringat ketika ia menggiling gandum untuk suaminya maka Allah SWT menjadikan antara dirinya dan neraka tujuh buah parit.

Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyaki rambut anak-anaknya dan menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian mereka maka Allah SWT akan mencatatkan baginya ganjaran pahala orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang bertelanjang.

Ya Fatimah, perempuan mana yang menghalangi hajat tetanggatetangganya maka Allah SWT akan menghalanginya dari meminum air telaga Kautshar pada hari kiamat.

Ya Fatimah, yang lebih utama dari itu semua adalah keredhaan suami terhadap isterinya. Jikalau suamimu tidak redha denganmu tidaklah akan aku do’akan kamu. Tidaklah engkau ketahui wahai Fathimah bahwa redha suami itu daripada Allah SWT dan kemarahannya itu dari
kemarahan Allah SWT?.

Ya Fatimah, apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah SWT akan mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan darinya seribu kejahatan.
Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan maka Allah SWT mencatatkan untuknya pahala orang-orang yang berjihad pada jalan Allah yakni berperang sabil.
Apabila ia melahirkan anak maka keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya melahirkannya dan apabila ia meninggal tiadalah ia meninggalkan dunia ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga, dan Allah SWT akan mengkurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah serta beristighfarlah untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.

Ya Fatimah, perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari semalam dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya semua dan Allah SWT akan memakaikannya satu persalinan pakaian yang hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan dan dikurniakan Allah untuknya seribu pahala haji dan umrah.

Ya Fatimah, perempuan mana yang tersenyum dihadapan suaminya maka Allah SWT akan memandangnya dengan pandangan rahmat.

Ya Fatimah, perempuan mana yang menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau menghias rumah untuk suaminya dengan baik hati maka berserulah untuknya penyeru dari langit(malaikat), “teruskanlah ‘amalmu maka Allah SWT telah mengampunimu akan
sesuatu yang telah lalu dari dosamu dan sesuatu yang akan datang”.

Ya Fatimah, perempuan mana yang meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotongkan kumisnya sertakukunya maka Allah SWT akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah SWT akan meringankan sakratulmautnya, dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta Allah SWT akan menyelamatkannya dari api neraka dan selamatlah ia melintas di atas titian Sirat”.

Thursday, September 23, 2010

Saya Tak Nak Jadi Hipokrit!

Klise - inilah yang boleh saya katakan bila mendengar orang kata tak mahu jadi hipokrit. Nak jadi diri sendiri. Tak nak tipu diri sendiri..tak nak tipu orang lain.. Maka jadilah ungkapan "Be Yourself" sebagai pegangan mereka...  Amboi, bagusnya...
.

Cuba kita fikirkan kembali, sebenarnya terdapat kesilapan bagi sesiapa yang menjadikan kata-kata ini sebagai pegangan. Sekiranya perkara yang sudah menjadi kebiasaan bagi kita dan tiada kaitan dengan agama ataupun lebih jelasnya tiada ketetapan secara mutlak dalam agama, maka dalam perkara sebegini tidak mengapa jika kita ingin “be myself”. Kita bebas memilihnya mengikut selera dan aneka rasa yang ada. Contohnya seperti makanan kegemaran, warna kesukaan dan hiasan pada blog.
Sekiranya perkara itu ada kaitan dengan agama ataupun sudah ditetapkan hukumnya dalam Islam, maka perkara itu bukanlah suatu pilihan, sebaliknya ia adalah satu ketetapan, yang tidak dapat tidak mesti kita ikuti dan patuhi. Tiada pilihan lain. Contohnya seperti kewajipan menutup aurat dan solat lima waktu. Mungkin sebelum ini ada antara kita yang tersalah memilih, tetapi setelah kita ketahui mana yang benar maka perlulah kita ikuti dan amalkan.


Antara penyebar utama ‘fahaman’ ini ialah segelintir artis. Ada dalam kalangan mereka (terutamanya artis wanita) yang pergi menunaikan haji atau umrah lalu pulang ke tanah air dan ditanya, “Mengapa anda tidak bertudung seperti sebahagian artis lain yang baru pulang dari tanah suci?” Dengan tenang dan tanpa rasa bersalah mereka menjawab, “Mengapa perlu tukar itu dan ini? Saya adalah saya! Kenapa nak ikut orang lain? Saya bukannya hipokrit!” Lebih kurang begitulah reaksi mereka. Sedih kita apabila mendengar kata-kata sedemikian.



Dalam satu sumber yang dipetik penulis, hipokrit didefinisikan sebagai seseorang yang mengatakan sesuatu walaupun dia tidak bersetuju dengannya, seseorang yang berlawanan sifatnya dengan apa yang dilakukan, atau sesiapa sahaja yang mendiskriminasi orang yang melakukan perkara yang mereka sendiri melakukannya walaupun mereka menyedarinya.


Tetapi, dalam masyarakat kita dewasa ini, istilah hipokrit acapkali diterjemahkan sebagai munafiq. Adakah sama maksudnya? Jika kita merujuk kembali kitab-kitab agama, munafiq didefinisikan sebagai mereka yang yang mengaku Islam pada zahirnya, tetapi dalam hatinya dan tindak-tanduknya bukanlah seperti seorang Islam. Atau dalam bahasa yang lebih mudah ialah berpura-pura sebagai seorang Islam.



Perkara inilah yang perlu difahamkan kepada masyarakat kita umumnya, apatah lagi sesetengahnya menyalahgunakan istilah hipokrit dan munafiq ini. Tentu kita biasa mendengar ungkapan, “Biarkan apa orang nak kata pada saya, walaupun saya berpakaian macam ni, saya ni baik, iman dalam hati. Iman bukannya pada tudung, jubah, purdah, kopiah atau serban“  ataupun sebegini “Inilah diri saya, saya memang sejak kecil macam ni. Saya tak nak la jadi hipokrit dengan memakai tudung la, stokin la. Hei! Jahat sangat ke saya ni? Allah tak pandang luaran, Dia tengok hati kita. Tak semestinya berpakaian macam ni hati kotor!”Bagaimana dan kenapa masih wujud kata-kata seperti ini?. Terutamanya dalam kalangan artis dan muda-mudi umumnya. Sebenarnya mereka tidak memahami apa itu iman dan munafiq yang sebenar.


Iman berdiri dengan  tasdiq bil qalb (membenarkan dengan hati), taqrir billisan (mengaku atau mengucap dengan lisan),dan ‘amal bil jawarih (amalan dan perbuatan anggota badan). Iman bukan sahaja letaknya di hati, perlu cukup perkara-perkara yang disebutkan, barulah boleh dikatakan sebagai sempurna iman. Jika tidak, jangan mudah-mudah dan senang-senang hendak mengaku hati bersih dan kuat iman.


Tapi apa yang berlaku pada hari ini ialah lahirnya para ‘mufti’ dari kalangan artis dan mereka yang terpesong. Pernah seorang ulama berkata, “Iman itu ibarat biji benih, jika benih itu elok maka akan keluarlah pohon, dedaunan serta buah-buahan yang subur dan mekar. Tetapi, jika benih itu buruk maka sebaliknyalah hasilnya…”


Apa pula yang dimaksudkan dengan munafiq? Adakah mereka yang sejak kecil jahat kemudian melakukan perubahan kepada kebaikan itu dikatakan sebagai munafiq? MasyaAllah! Sungguh terpesong mereka yang berfikiran sedemikian. Munafiq ialah mereka yang mengaku Islam tetapi amat membencinya. Mereka ini lebih teruk daripada orang kafir kerana mereka adalah musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan ular dalam semak. Jadi, adakah mereka yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam dianggap munafiq?. Ini merupakan persoalan yang perlu ditanya pada diri dan dikaji secara mendalam.


Sebahagiannya pula ada yang berkata, “Buat apa nak pakai tudung kalau tidak ikhlas? hipokrit!! lebih baik free hair je!!” Sebenarnya, ikhlas adalah sesuatu yang cukup susah untuk kita  mendapatkannya. Kata sebahagian ulama, “Ikhlas adalah ibarat seekor semut hitam yang kecil berada di atas batu hitam dalam sebuah gua yang gelap pada waktu malam gelap gelita.” Lihatlah! betapa sukarnya hendak mendapatkan keikhlasan yang sejati. Sehingga begitu sekali perumpamaan yang diungkapkan.


Jika kita hendak menunggu ikhlas singgah pada diri atau bak kata sebahagian orang, “tunggu sampai seru”, maka mungkin kita tidak akan sembahyang, berpuasa, melaksanakan hudud atau menutup aurat sehingga hari kiamat. Di dalam kitab Arbain Nawawi keikhlasan atau keimanan itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu, beramal kerana Allah semata-mata, beramal kerana inginkan syurga, beramal kerana takutkan neraka.


Apakah penyelesaiannya? Untuk memupuk keikhlasan di dalam diri, memerlukan tarbiah, mujahadah, latihan dan kemahuan yang tinggi. Ia perlu dilakukan berperingkat-peringkat dan mempunyai marhalahnya yang tersendiri. Sama-samalah kita berubah,memupuk keikhlasan di dalam diri. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.


Ditulis Oleh:
MUHAMMAD NASIRUDDIN BIN MOHD SOBRI,
Tahun 2, Azhar


 Suntingan:  durratul mujahid

Wednesday, September 22, 2010

Matilah Aku!!!!!

Bila sebut pasal mati... Ramai yang takut. "Oh, aku tak sedia nak mati lagi.". Itulah antara yang diucapkan.. Ada pula yang kata, "Kau jangan bawa kereta laju-laju, kalau mati naya. Aku tak kahwin lagi oi!!"

Tahukah anda..(macam iklan kat astro je), Kematian yg paling mulia ialah matinya para syuhada. Sebab, para syuhada' ni dah dijanjikan syurga. Tidak ada sesuatu yang dialami anak Adam dari apa yang diciptakan Allah lebih berat daripada kematian. Baginya kematian lebih ringan daripada apa yang akan dialaminya sesudahnya.



Perbanyaklah mengingat kematian. Seorang hamba yang banyak mengingati mati maka Allah akan menghidupkan hatinya dan diringankan baginya akan sakitnya kematian. {HR.Ad-Dailami}
 Penjelasan: Dia mati dgn mudah dan ringan pada saat sakaratul maut.

Janganlah seorang mati kecuali dia dalam keadaan berbaik sangka terhadap Allah dan janganlah ada orang yg menginginkan mati kerana kesusahan yang dideritanya. Apabila harus melakukannya hendaklah dia cukup berkata Ya Allah tetap hidupkan aku selama kehidupan itu baik bagiku dan wafatkanlah aku jika kematian baik untukku. {HR.Bukhari}

Cukuplah maut sebagai pelajaran dan keyakinan sebagai kekayaan.

Mati mendadak suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang durhaka. {HR.Ahmad}
Penjelasan:Ertinya seorang mukmin sudah mempunyai bekal dan persiapan dalam menghadapi maut tiap saat sedangkan orang durhaka tidak.

Tuntunlah orang yang menjelang wafat dgn ucapan Laailaaha illallah {maksudnya agar dia mau meniru mengucapkannya}.

Tidak dibolehkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir berkabung atas suatu kematian lebih dari tiga malam kecuali terhadap kematian suaminya maka masa berkabungnya empat bulan dan sepuluh hari.
Penjelasan: Kematian ayah ibu saudara dan yang lain selain suaminya masa berkabungnya tidak boleh melebihi tiga hari.

Seorang sahabat bertanya Ya Rasulullah jenazah orang kafir berlalu di hadapan kami apakah kami perlu berdiri? Nabi Saw segera menjawab Ya berdirilah. Sesungguhnya kamu berdiri bukanlah utk menghormati mayitnya tetapi menghormati yg merenggut nyawa-nyawa.

Ada tiga perkara yang mengikuti mayit sesudah wafatnya yaitu keluarganya hartanya dan amalnya.Yang dua kembali dan yang satu tinggal bersamanya. Yang pulang kembali adalah keluarga dan hartanya sedangkan yang tinggal bersamanya adalah amalnya. {HR.Bukhari dan Muslim}
Seorang mayit dalam kuburnya seperti orang tenggelam yang sedang minta pertolongan. Dia menanti-nanti doa ayah ibu anak dan kawan yg terpercaya. Apabila doa itu sampai kepadanya baginya lebih disukai dari dunia berikut segala isinya. Dan sesungguhnya Allah ‘Azza wajalla menyampaikan doa penghuni dunia untuk ahli kubur sebesar gunung-gunung. Adapun hadiah orang-orang ygan hidup kepada orang-orang mati ialah mohon istighfar kepada Allah untuk mereka dan bersedekah atas nama mereka.

Apabila seorang muslim wafat dan jenazahnya disolatkani oleh empat puluh orang yang tidak bersyirik kepada Allah maka Allah mengizinkan syafaat oleh mereka baginya {si mayit}.

Percepatlah menghantar jenazah ke kuburnya. Bila dia seorang yg soleh maka kebaikanlah yang kamu hantarkan kepadanya dan apabila sebaliknya, maka sesuatu keburukan yang kamu tanggalkan dari beban lehermu.


Seorang mayit dapat disiksa disebabkan tangisan keluarganya.
Penjelasan: Hal tersebut terjadi bila keluarganya menangisi mayit dengan berlebih-lebihan dan apatah lagi dengan raungan dan berteriak-teriak. Menangisi dengan wajar dari anggota keluarga yang ditinggalkan wafat sebenarnya dibolehkan dalam agama. Lalu kenapa si mayit yang harus menanggung akibatnya? Ini disebabkan kerana sebelum wafatnya dia tidak pernah mengajarkan hal demikian.

Barangsiapa wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat maka dia terpelihara dari fitnah kubur.

Janganlah mengingat-ingat orang-orangmu yg telah wafat kecuali dgn menyebut-nyebut kebaikan mereka.

Seorang sahabat bertanya "Ya Rasulullah pesankan sesuatu kepadaku yang akan berguna bagiku dari sisi Allah." Nabi Saw lalu bersabda: Perbanyaklah mengingat kematian maka kamu akan terhibur dari dunia dan hendaklah kamu bersyukur. Sesungguhnya bersyukur akan menambah kenikmatan Allah dan perbanyaklah doa. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bila doamu akan terkabul.
Sumber: 1100 Hadits Terpilih - Dr. Muhammad Faiz Almath - Gema Insani Press

Tuesday, September 21, 2010

Aku Di Dapur..

Sekali-sekala cerita hal lain ok juga. Kali ini saya nak kongsi hobi saya yang selalu saya buat kat rumah. Antara ruangan di rumah yang paling ku gemari selain bilik tidur ialah dapur. Yupp, saya dan dapur memang tak dapat dipisahkan. Sejak usia 10 tahun lagi saya dah disuruh ke dapur. Sekarang ni, bila dah makin dewasa, urusan dapur memang dah diserahkan pada saya. Dulu rajin juga buat experimen. Habis barang-barang mak kena bongkar, dan biasanya operasi akan bermula ketika tak de orang kat rumah. Kadang-kadang mak terkejut juga bila tiba-tiba ada kek sarang semut kat atas meja, ada ayam panggang kat oven.. Haha, tapi ada juga ketika resepi tak menjadi, sembunyi-sembunyi ku lontar ke tong sampah (takut kena marah).

Di rumah sewa, jarang beli makanan siap. Sebolehnya saya masak sendiri. Sebelum ke kelas memang dah sedia masak nasi, balik kelas tinggal masak lauk. kalau dah lapar sangat, goreng telur je. Kadang-kadang hulur kat kawan sikit.. masak tom yam or paprik. Dan sampai sekarang kalau makan tom yam atau paprik mesti ingat diorang.

Nak kata pandai sangat...tak adalah. Tapi setakat ni Alhamdulillah, family tak banyak komen pasal masakan saya. Dan saya juga sedang mempertajamkan skill memasak. Pengalaman termanis? Masa kenduri kahwin abang din>>> masa tu kena uruskan hal makan beradap. Kecoh jugalah dapur tu dek kerana tak de orang nak tolong. Tapi berjaya juga ku siapkan segala masakkan. Lepas kenduri kahwin abang, ada pula permintaan kawan mak supaya masak untuk makan beradap majlis anak dia.. Layannn...

Stop cerita..ni nak kongsi resepi.

Muffin Coklat






Bahan
200g coklat masakan
70g mentega
2 biji telur
50g gula halus
60g tepung gandum
1 sudu kecil baking powder 

Cara
Cairkan coklat. Gunakan kaedah "double boiler" .
Kemudian masukkan mentega. Kacau sehingga mentega cair. Selepas tu bolehlah panaskan oven sehingga suhu 170C
Dalam mangkuk lain, masukkan telur dan gula. Kacau sampai sebati. Tak perlu penaik(kembang).
Masukkan telur ke dalam mangkuk coklat. Kacau biar campuran sebati
Ayakkan tepung dan baking powder ke dalam mangkuk coklat. Gaul sehingga sebati.
Isikan adunan ke dalam bekas muffin sehingga 1/2 penuh atau 60% penuh. Bakar selama 20 minit.
Selepas masak tu, mungkin muffin ni lembik sikit( sebab hanya sedikit tepung yg digunakan) tapi bila dah sejuk dia akan keras dengan sendiri. Jadi kalau lepas 20 minit tu, masih lembik tak payah bakar semula.

Selalu juga buat muffin. Ada 1 lagi muffin yang guna serbuk koko. Bau dan rasa sebijik macam muffin kat PKNS tu. Yummy.. memang best. tapi nantilah tepek resepi.. Huhu.. Selamat mencuba.

Friday, September 17, 2010

Raya..raya..raya... Ada apa dengan raya???

Syawal kini berlabuh menggantikan Ramadhan yang berlalu. Mungkin bagi sesetengah orang merasa gembira menyambut kedatangan Syawal, dan ada juga merasa berat kerana berlalunya Ramadhan. Dan aku? Terasa begitu cepat rasanya masa berlalu... tak terasa sebulan berpuasa.. Walau bagaimanapun, mungkin agak terlewat untukku mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua sahabat.. Namun, dikesempatan ini, ingin ku titipkan ucapan, Taqabbal Allah minna wa minkum waja'alana minal 'aidil walfaizin. Mohon maaf andai selama ini ku terkasar bahasa, terlanjur bicara lalu mengguris hati kalian.

Cerita soal raya..tahun ini, setelah 5 tahun kami beraya tanpa kehadiran kakakku yang menetap di Sabah.. Akhirnya kami dapat jua bersama menyambut Syawal kali ini. Memang meriah, apatah lagi tahun ini semua adik beradikku yang lain turut berkumpul sama. bayangkan kami 8 beradik dan 16 orang anak saudara berkumpul serumah. Memang meriah, dengan gelak tangis si kecil dan riuh rendah yang lain.

Tambah bermakna apabila tahun ini juga, buat pertama kalinya, aku dapat menghulurkan duit raya pada anak-anak saudaraku. Cuma dek kerana sibuk menguruskan rumah, aku tidak berkesempatan untuk keluar beraya bersama yang lain. Hanya sebuah rumah saja yang kulawati, itupun tidak kurancang (haha..rumah pak imam yang betul-betul bertentangan dengan rumahku).


Tapi, hari pertama raya, petang itu aku diserang demam mengejut. Alhamdulillah, dapatlah rehat (peluang tu...) sementara kakak-kakak yang lain pula bertungkus lumus menggantikan tugasku. memang kebetulan malam itu ramai yang datang. Agaknya kalau aku tidak diserang demam, pasti aku yang terpaksa bertungkus lumus di dapur.

Masuk raya ketiga, sekali lagi aku diserang sakit perut. Selama 3 hari menanggung kesakitan, bukan sesuatu yang mudah bagiku. Dan rumah kian sunyi apabila masing-masing pulang ke rumah mereka.. Tinggallah kami di kampung. Memang terasa sunyi. Hilang gelak tawa anak-anak kecil.. hu, pastinya mereka tetap kurindui..

Ok, habis cerita pasal raya bersama keluarga. Sambung pula kisah lain. Kisah puasa 6. Biasanya puasa 6 ini dilakukan pada raya kedua. Tapi ada juga yang mula lewat. Tak mengapa selagi masih di bulan Syawal.

Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan. Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata. Maka, menjadi kebiasaan juga kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.


Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. 

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.




Sumber: Ukhuwah.com