Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Sunday, May 29, 2011

Apa Khabar Jodohku??


Apa khabar jodohku?
Berat rasanya kelopak mataku untuk tertutup. Bagaimana dengan kamu?
Apa kamu selalu terbangun di sepertiga malam terakhir? .. dan apakah mulutmu terus menerus berzikir dimalam hari?
Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..
Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang, dan masih banyak kewajipan yang harus kita penuhi saban waktu.
Kadang–kala aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?
Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu.
Adakah kau selalu menghiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan?. Apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, hanya untuk menghadapNya?


Jodohku, sihatkah kamu?
Kalau aku berada disampingmu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.
Jodohku, sabar dan tenanglah..
Aku disini masih bersabar menanti mu. Janganlah hatimubersedih, senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita.
Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan dekatkanlah dirimu kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap agar kamu baik-baik saja.
Jodohku, aku rindu..
Bilakah kita akan bertemu?. Begitu banyak hal yang ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat–nasihat mu.
Hati ini kosong, dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.
Jodohku..
Adakah kau juga rindu padaku?. Bagaimana dengan Quranmu?. Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak?. Apa yang kau fahami dari surah itu?. Ceritakanlah kepadaku.. ingin aku mendengarnya.
.. Dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..
Apa perubahan  yang kau lakukan dari hari ke hari?. Semakin baikkah?. Ketahuilah, ku hanya mengharapkan yang terbaik buatmu.
Jodohku..
Disetiap langkahku dan seusai solatku, ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya.
Bersabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama.. dan ingatlah sayangku, janganlah sampai dirimu tersalah memilih jalan.
Jodohku..
Nantikanlah diriku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa rahmat untuk kita dari-Nya.
Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama.. kerana aku mencintaimu secara tulus dan ikhlas demi-Nya.
Jodohku..
Bersiaplah kau untuk mencintaiku secara tulus dan redha menerima segala kekuranganku dan membenarkanku dikala aku salah.
Sayang, berusahalah membahagiakan orang tuamu .. dengan menjaga sikapmu dan tutur katamu. Aku yakin kau adalah seorang yang sabar, seorang yang cekal, seorang yang boleh membesarkan anak–anak kita kelak dengan penuh hikmah.
Ingatlah, jangan pernah dikau merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu.
Jodohku..
Seandainya siang sudah berlalu.. pejamkanlah matamu dengan buaian doa, dariku yang selalu kuhadiahkan untukmu.
Jodohku..
Ingatlah sayang, aku selalu ada untukmu..
Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.. dan semoga ALLAH yang maha Esa selalu membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Saturday, May 21, 2011

Cari Duit Nak Isi Tabung Bina Masjid..

Assalamualaikum WBT..
Semoga pembaca semua sihat dan dilindungi Allah selalu.. InsyaAllah..

Alhamdulillah...saya dah mula nampak sedikit ruang untuk meneruskan perniagaan. Saya buat sikit-sikit dulu. Bermodalkan RM 300 atas jasa baik seseorang... Kak Ina dah bersetuju nak tolong jualkan di kedainya.. Nanti boleh saya minta dia jual di kedai abang-abang dia pula. Ops..jual apa ni? Hm..macam kat entri sebelumnya la..saya ada cakap nak buka bisness coklat. Alhamdulillah...dah perbanyakkan variasi coklat ni. Ada coklat badam, hazelnut, blackforest dan oreo choco.. Nak tengok gambar? Jap eh..nak upload. Huuu...



Ok.. Yang ni coklat oreo choco dengan sweet rose. Oreo choco ni saya jual dengan harga RM 1.. Manakala sweet rose ni saya jual dengan harga RM 0.50. Murah kan? Agak-agak siapa nak buat tempahan untuk hantaran or majlis-majlis tertentu boleh la e-mail atau ke facebook saya. Tempahan melebihi 100 biji perlu dibuat 1 minggu sebelum penghantaran. okies.. Ada banyak lagi gambar coklat.. jap ye.




Yang kat sebelah kanan ni pula, almond choco.. Harga dia RM 10 untuk 40 biji. Murah tak? Murah tak? Cuba lihat balutannya yang cantik lagi elegan.. Dengan harga yang berpatutan.. Rasa coklat susu yang lemak dan mencair apabila masuk ke mulut disertai dengan kerangupan coklat almond.. Waahh... apa lagi?



Yang ni pula.. Blackforest choco and almond choco.. Harga dia??? Murah juga, RM 4 sekotak.. Sama harga dengan box yang bentuk Love tu. Kenapa murah? Sebab saya pun nak bantu anda. Sesiapa yang tak ada masa nak buat coklat tapi nak buat bisness..boleh cakap kat saya.



Ok.. Yang kat sebelah ni Love shape.. Sama je rasa blackforest choco dengan almond choco. Sedap.. Bila masuk mulut je dia akan mencair..





Hm..dah puas tengok gambar coklat? InsyaAllah saya akan perbanyakkan variasi coklat. Nanti saya upload lagi ye.. Buat masa ni semua coklat saya buat hujung minggu. Bila ada tempahan saya akan balik kampung dan buat di sana. Sebab tu kena mention awal-awal. Bila dah banyak tempahan dan bisness dah stabil..saya akan letak jawatan dan buat sepenuh masa bisness ni. (waahhh.. harap-harap berjaya).

Bila saya serius nak buat bisness, semua terkejut. kenapa tiba-tiba je saya nak buka bisness sedangkan sebelum ni tak pernah bersuara.. Sebabnya.. huu... nak kena kumpul tabung bina masjid. Bukan Masjid kampung.. masjid diri sendiri yang tak terbina-bina lagi ni. Ye la..usia pun dah meningkat kan... Semoga Alah permudahkan urusan saya dan makbulkan doa saya.. Sahabat semua jangan lupa doakan saya sekali ye.. Yang duduk area JB tu boleh la tempah coklat saya..

Thursday, May 19, 2011

Sanah Helwa Nabil!!!!!

Assalamualaikum WBT
Semoga Allah SWT merahmati kita semua.. InsyaAllah.

17 Mei 2011 merupakan hari lahir anak saudaraku yang ke-6. Nabil Muammar Bin Borhanuddin. Terlalu istimewanya dia di hatiku. Kenapa ye? Sebab sayalah yang menjaganya sejak bayi sehingga berusia 2 tahun. 24 jam di depan mata saya dia membesar. Pejam celik..pejam celik dah 6 tahun dah. Cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar dah besar dah sayang chik ni..

Seperti biasa..tiada sambutan hari lahir besar-besaran. Cuma abang iparku membelikan Nabil sebiji kek keju blueberry. Masa ni terpinga-pinga jugalah saya sebab biasanya kami belikan kek coklat. Dan akhirnya...ada lagi baki suku kek sebab budak-budak manalah makan sangat cheese cake ni. Ada juga sate, tapi saya cuma mampu makan 3 batang sebab saya tak berapa gemar sate dek kerana rasanya yang manis dan berlemak.

Walaupun ada kek..tapi tak ada upacara tiup lilin. Memang kami tak nak ajar benda-benda yang tak berfaedah macam tu. Sambutannya pun biarlah sederhana. tak perlu membazir membeli itu dan ini hanya kerana mahu mengikut kehendak anak. Malah hadiah yang diberikan pun kebanyakkannya alatan sekolah.. Tiada permainan yang melalaikan.

Berbicara soal sambutan hari lahir.. ada yang mengatakan  sambutan hari lahir dengan menyediakan kek serta lilin sebagai simbolik orang kafir memecahbelahkan Islam ketika zaman dahulu. Teringat pula akan hadis yang berbunyi;

 “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut”. (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma’ al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).

Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.


Kalau dilihat sepintas acara sambutan hari jadi tidaklah menggambarkan apa-apa. Namun banyak yang diceritakan bahawa memotong kek dengan meniup lilin adalah sambutan golongan bangsa yahudi atas kemenangan mereka ke atas umat Islam.
Apa yang dikhabarkan ialah kek itu umpama dunia Islam dan lilin itu cahaya Islam. Lalu ditiup lilin menandakan mematikan cahaya Islam dan memotong kek maksudnya membahagi-bahagikan taklukan yahudi atas negara-negara Islam.
Saya kira semacam ada dongengnya. Alasan saya, cahaya lilin tiada kena mengena dengan cahaya Islam, cahaya Islam adalah Nur yang tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun, kerana ia bukan cahaya hakiki (cahaya sebenar seperti cahaya lampu) tetapi cahaya maknawi (yang diumpamakan tetapi tidak sama).
Umat yang beragama Islam tahu bahawa bangsa Yahudi tidak pernah rasa tenang dan reda atas orang Islam, kerena mereka benar-benar inginkan umat Islam terpedaya atas segala ajakan mereka dalam segenap kehidupan manusia. Ini termasuklah mempengaruhi umat Islam supaya meniru mereka.
Allah SWT yang mengutus Rasul-Nya Muhammad saw telah berfirman yang bermaksud:Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (al-Baqarah: 120)
Allah SWT memaklumkan dan memberi peringatan agar umat Islam berhati-hati atas segala tindak tanduk kaum Yahudi yang sentiasa merancang jahat atas kemusnahan agama Islam. Adapun cahaya Islam tiada kaitannya dengan cahaya lilin, kalau dipadamkan cahaya lilin dengan meniup tidak bermaksud terpadam cahaya Islam.
Allah berjanji akan menjaga cahaya Islam, biarpun golongan yang memusuhi Islam cuba memadamnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian).(al-Saf: 8)
Cahaya Allah dalam ayat ini bermakna Islam yang sedang berkembang dan akan terus berkembang biarpun ada usaha untuk memadamnya (menghentikan).
Menerusi kedua-dua ayat yang di atas dapat disimpulkan bahawa meniup lilin dan memotong kek tidak seperti yang dimomok-momokkan oleh segelintir orang.
Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.
Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada “Allah selamatkan kamu”. Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.
Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.
Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.
Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya. Boleh juga diadakan solat sunat hajat..ditambah lagi amalan-amalan lain seperti zikir, puasa, tilawah al-Quran dan sebagainya sebagai tanda syukur atas nikmat usia.. Untuk anak-anak pula...mereka akan lebih rasa dihargai dan disayangi sekiranya orang-orang disekeliling mereka mengingati momen penting ini. InsyaAllah..

Wednesday, May 18, 2011

DI Setiap Kesulitan... Ada Jalannya..

Hidup tidak selalunya indah.. Langit tak selalu cerah.. Suram malam tak berbintang... Itulah lukisan alam...

Begitulah lirik lagu nasyid alunan kumpulan Hijjaz yang sering saya nyanyikan sewaktu pertandingan nasyid di sekolah. Mendalam maksudnya memang terkesan di hati.Ya, hidup ini memang penuh ranjau dan duri. Semua orang tahu. Namun tak semua orang memahami kesulitan dan kesukaran yang orang lain lalui kerana kita diuji mengikut kadar kemampuan kita. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Berbeza masalahnya..berbeza cara penyelesaiannya. Kita boleh meluahkan kepada sesiapa saja apa yang kita alami namun sama sekali tidak boleh memaksa untuk orang lain meletakkan diri mereka dalam situasi kita.

Malah saya sendiri begitu mudah untuk menasihati orang yang ditimpa masalah sedangkan seringkali juga saya terjatuh dan tersungkur dek masalah yang saya hadapi. Keperitan dan kekecewaan dalm hidup seringkali menjadikan saya lemah tanpa disangka. Tatkala itu, malunya saya di hadapan-NYA. Diuji sedikit sudah goyah, apatah lagi jika diuji dengan ujian yang berat. Apalah sangat mehnah yang saya perlu telan jika nak dibandingkan dengan mehnah yang dihadapai para sahabat dan para syuhada'.. Subahanallah..

Allah adalah pencipta manusia, maka Dia mengetahui bahawa pasti ada hamba-Nya yang akan bersedih akibat mengalami “zaman kejatuhan”. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih antaranya apabila diusir dan dikasari penduduk Taif sehingga kepalanya berdarah, ketika cuba berdakwah selepas kematian isteri, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukashafah al-Qulb: menerangkan barang siapa ingin selamat daripada azab Allah, dapat pahala dan rahmat-Nya serta masuk syurga, hendaklah dia menahan nafsu terhadap keinginan dunia, selain sabar menghadapi kesulitan dan musibahnya.
Bila kita merasakan kita sedang jatuh...maka cubalah untuk mengenang nasib orang yang telah tersungkur. Dan ambillah iktibar daripada mereka.. Allah tak akan mengubah nasib hambaNYA melainkan dengan usaha hambaNYA itu sendiri.. 
 Seperti lagu Maher Zain.. InsyaAllah...ada jalannya...
Ya, saya diuji..diuji dengan penyakit...diuji dengan kesempitan kewangan... diuji dengan kekosongan hati yang tidak berteman.. diuji dengan masalah yang dihadpi sebagai orang menumpang.. Maka saya sedar, Allah sedang berbicara dengan saya..
Bagaimana mudahnya saya menuturkan nasihat sebelum ini..Ya, kita diuji dengan apa yang kita perkatakan.. Dan inilah ujian untuk saya..
Maka apa yang harus saya lakukan sekarang?
Pohonlah dengan penuh tawaduk dan berharap kepada-Nya di samping berusaha mengubah keadaan, nescaya Dia perkenankan. Hal ini kerana itulah janji Allah menerusi firman-Nya bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Surah al-Mukminun, ayat 60)
berusahalah mencari jalan dan memohon sepenuh hati kepadNYA agar dipermudahkan urusan.. dan diberikan petunjuk.. Semoga saya menemui apa yang saya cari.. InsyaAllah.. Mohon doa dari kalian...

Monday, May 16, 2011

Bisness Coklat.

Assalamualaikum WBT.
Alhamdulillah... Syukur pada Allah atas kurnia-Nya..

Lewat kebelakangan ini otak bagaikan tepu untuk menulis sesuatu. Lantas beberapa hari saya biarkan blog saya terbiar sepi walaupun bercuti lama. Yup, cuti 2 minggu. Chicken pox tak seberapa, cutinya yang lebih. Hoho. ^_^"

Banyaklah masa yang diluangkan untuk mengemas rumah yang lama terbiar. Kemudian nak buat perancangan untuk buka bisness coklat. Walaupun dah ramai yang ceburi bidang ni, but tak salah mencuba kan? Memang mudah je buat coklat ni, dan gembira la budak-budak kat rumah sebab semuanya 'hantu' coklat. (isk..isk, macam mana nak jual ni?)
So, bolehlah promote kat sini kan.. Ada Oreo Choco Yummy... Strawberry choclate Rose.. Hazel Choco.. Pure Choco.. Harga boleh runding. Kalau banyak beli boleh la dapat diskaun. Yang ni untuk area Pasir Gudang dan Skudai. Siapa berminat.. Mesej kat durratul_mujahid@yahoo.com ok. Kat sebelah ni contoh strawberry coklat yg saya buat.

Buat sahabat semua, doakan la perniagaan saya berjalan lancar. InsyaAllah..

Thursday, May 12, 2011

Tutuplah Auratmu Kerana Allah...

Assalamualaikum WBT..
Semoga Allah merahmati sahabat sekalian...

Alhamdulillah, dah sihat sikit daripada serangan virus chicken pox. Alhamdulillah...serangan tu tak banyak. Pandai pula bintik-bintik merah tu cari tempat untuk 'landing'. Hanya sebiji di muka. yang lainnya di kawasan yang tersorok. Sememangnya, chicken pox ni agak digeruni oleh sesetengah wanita. Antaranya sebab takut muka cacat. Ye ke? Maka, banyaklah mesej yang saya terima daripada mak cik kat tempat kerja.. Tak bagi makan makanan yang berminyak..tak boleh masak..tak boleh kena habuk..tak boleh berpeluh. pendek kata kena duduk diam-diam kat bilik. Adakah saya akan melakukan hal sedemikian? Ooh.. sudah tentulah tidak. Masakan saya tegar melihat ibu saya yang dah berusia 69 tahun melakukan kerja rumah seorang diri? pagi ahad tu saja saya dah mandi peluh menyiapkan kerja rumah..cuci tandas dan memasak. Semua saya langgar. Cuma bab makan saya jaga. Dalam hati saya berdoa "andai muka saya berparut sebab saya buat semua kerja ni..saya redha". Dan Alhamdulillah..tak ada pula.

Ok, ada masa terluang, saya layari laman web.. tengok abaya yang cantik-cantik..memasang angan-angan untuk memiliki sepasang. Namun saya tahu, khayalan tetap khayalan. Tatkala melihatkan harga abaya yang kebanyakkan mencecah RM 200 sehelai.. masyaAllah. Saya hanya mampu menelan air liur. mahalnya. Gulp!!

Jauh di sudut hati..saya tak mampu. Sekarang inipun jubah yang saya beli hanya sekitar RM50- RM 80 saja. Itupun nak kena kumpul duit betul-betul. Sejak meninggalkan zaman baju kurung dan beralih ke zaman jubah hitam ni.. saya cuba mengumpul seberapa banyak koleksi (lebih 5 pasang) untuk dipakai seharian dan berjalan-jalan..

Yup, ikutlah kemampuan. kalau anda rasa berbaloi dan mampu membeli pakaian harga beratus..belilah.. Kalau anda tak mampu, jangan pula bersedih. maka bersyukurlah apa yang ada. Pakaian hanya menutupi luaran.. yang penting dalaman kita. hati kita. Namun, sebaik-baik pakaian ialah pakaian taqwa.. Biarlah menutup aurat kerana Allah.. Bukan kerana bermegah-megah dek kecantikkan yang ada. Semoga Allah memberkati kita semua.. InsyaAllah.

Saturday, May 7, 2011

Pinanglah Daku Kerana Dakwah

Perkahwinan Atau Baitul Muslim (BM) merupakan satu urusan besar.
Saya katakan, ianya URUSAN AMAT BESAR.
Saya tanya pada kamu, susah tak nak bina individu muslim?
Susahkan....?
Apatah lagi sebuah baitul dakwah (rumah dakwah). Ianya bukan sekadar sebuah akad nikah. Ianya adalah satu wasilah untuk urusan lebih besar dari itu. maka bersedialah dan berfikirlah sewajarnya akan hal ini. Berbicara tentang perkara ini amat berbeza sekali fenomenanya dikalangan ikhwah dan akhawat sendiri.
Berbual dengan suami saya sendiri mengenalkan saya akan kepelbagaian sikap-sikap ikhwah (rakan-rakan seperjuangan) mahupun saya sendiri mengenali banyak kisah-kisah akhawat yang ada.
Lain orang, lain ragam dan ceritanya.
Sebelum melangkah, mengambil keputusan dan memasang niat, jadilah perjalanan antum menuju anak tangga seterusnya, perjalanan yang terbaik sekali dari awal, sehinggalah pengakhirnya.
Di situ ada barakah, di situ ada kemanisan, di situ ada sebuah cerita yang layak diabadikan untuk dijadikan contoh buat anak-anak kita nanti. Kisah kita takkan sama dengan kisah ibu bapa kita dahulu.
Dakwah di zaman ini berbeza. Sikapnya pun berbeza. Maka penjagaannya begitu juga.
Sikap ikwah dalam menjaga ikhtilat (perhubungan lelaki dan perempuan) ini berbeza sekali. Ada yang sangat menjaga hingga tak memandang perempuan pun (ehem ehem), sehinggalah yang suka memandang akhawat untuk mencari calon pasangannya. Ada yang mahu menunggu hingga umur 30 tahun, mencukupkan keperluan serba serbi barulah nak dibina mahligai rumah tangga ini. Ada yang sedari belasan tahun sudah decide untuk bertunang demi berumah tangga.
Begitu juga naluri seorang akhawat berbeza sekali. Ada juga yang dah bersedia awal. Ada yang belum lagi. Dan saya nampak indahnya ikhwah akhawat ini kerana mereka tak memilih couple sebagai jalan penyelesaian dalam menyelamatkan perasaan. Mereka tetap memilih akad demi menyelamatkan perasaan mereka.
Banyak orang banyak kisahnya. Banyak contoh boleh didapati. Ada yang memberi contoh terbaik. Ada yang amat menjaga segala proses BMnya sehingga semua terkejut saat dia mengumumkan tarikh pernikahannya. Ada juga yang sedikit longgar dalam urusan BMnya. Contact tanpa orang tengah dan sebagainya. Antum lihat, dan tanyalah hati antum apa yang terbaik mahu antum ikuti.
Kerana antum akan menjadi contoh pada anak binaan antum dan anak-anak antum sendiri. Jika antum sendiri longgar, maka longgarlah anak binaan antum. Begitu juga anak-anak antum. Namun jika kita benar menjaga langkah-langkah kita semenjak awal, hingga akhirnya, itu akan menjadi contoh pada anak binaan kita.
Bukan itu sahaja, bagaimana penjagaan hati anda dengan Allah? Takkah anda malu cintamu pada Allah telah tercemar? Sebab ada juga yang bertunang lama, dan akhirnya membuka ruang untuk diri mereka bercouple tanpa disedari, bercinta tanpa sah. Ini adalah suatu virus yang akan melemahkan jiwa seorang akhi dan juga ukhti.
Melamar secara direct
Ada juga akhwat yang melamar ikhwah secara direct. Walaupun paling ramainya adalah ikhwah sendiri. Ada yang secara sms mahupun email. Saya tersenyum terkadang menerima berita ini. Dan terkadang saya berfikir, takkan naqib ikhwah tersebut ataupun ikhwah lain tak memberikan contoh kepada ikhwah tersebut bahawa; sebelum melamar, rujuk dahulu naqibah akhawat tersebut.
Itu lebih gentleman, dan sejahtera untuk hati ikhwah dan akhawat tersebut.
Akhwat rasa sangat offended bila ikhwah melamar tanpa adanya kehadiran orang tengah. Walau beremel, biarlah ada orang tengah. Jika bersms, biarlah ada orang tengah mengetahuinya.
Suka itu penting dalam berbaitul Muslim, walaupun itu bukan satu syarat kerana perasaan itu boleh dibina. Ada yang dah berkenalan terlebih dahulu, ada mengenali lewat program ataupun emel.
Namun untuk memilih calon isteri itu, bukanlah memberi ruang untuk mata kita meliar mencari siapakah calon isteri kita.
Kerana kita berkahwin sendiri untuk menjaga hati kita. Agak ironi dan pelik, jika sebelum kahwin sendiri kita sudah tidak menjaga hati kita dan membenarkan syaitan-syaitan memasuki ruang hati kita.
Kerana itu, walaupun tidaklah semua cerita Baitul Muslim ini indah, namun pada kebanyakannya, jika proses itu dimulakan dengan perbincangan bersama nuqaba, outcomenya pasti indah samada positif mahupun negatif.
Kebanyakan akhwat yang merujuk saya apabila ada ikhwah melamar secara direct, outcomenya pasti sedikit mengecewakan ikhwah tersebut. Samada ditolak bulat-bulat, mahupun akan berlaku masalah di perjalanan.
Indahnya apabila dakwah menjadi sandaran kita.
Ada kata-kata dikalangan ikhwah yang mengatakan bahawa, kalau kahwin dengan akhawat ini, confirm settle agama. So, sekarang kita kena carilah yang comel dan cantik pula.
Saya tergelak juga menerima kenyataan ini, sebab memang sisters sendiri beranggapan begitu. Ada kata-kata mengatakan:
' asalkan ikhwah sudah! tak kisahlah siapa pun dia!!'
Niat untuk kahwin sesama ikhwah akhawat itu sangat bagus. Dan itulah yang lebih utama. Tapi berkahwin ini melibatkan dua pasangan yang ada hati dan perasaan . Bukan nak kahwin dengan benda. Di situ ada nilai-nilai manusiawi. Manusia ada kelemahan - kelemahannya. Tak semua akhwat sama level dalam tarbiyah dan dakwah. Ada yang tak cukup muwasafatnya lagi. Ada yang lebih utama untuk dikahwini lebih dahulu berbanding lain.
Jika kamu letakkan dahulu citarasa diri kamu berbanding dakwah, adakah kamu ini wajar digelar rijal dakwah? Allah akan beri kamu yang terbaik. Jika kamu memilih pasangan kamu kerana Dia.
Sebab itulah nuqaba perlu disantuni dahulu. Ada yang bermasalah dengan nuqaba, maka santunilah orang tengah yang lebih ditsiqahi. Di situ orang tengah akan suba sedaya upaya menjaga ego seorang lelaki mahupun seganya seorang perempuan dalam proses ini. Pengenalan dalam pertunangan berlaku di bwah pandangan mata Allah, bukannya syahwat. Dan insyaallah kamu akan dikurniakan orang yang terbaik buatmu.
Saya tak tahu berapa ramai ikhwah yang baca artikel ini, namun ingin saya katakan pada mereka, pinanglah akhawat (rakan perempuan) kerana dakwah.
Jangan kaburinya dengan perasaan suka mahupun cinta pada sebuah keindahan wanita. Maknanya terkadang terkaburnya niat kita itu menjadikan istikharah kita tak menentu, mahupun kita tergopoh gapah dalam bertindak. Bila kita berkahwin kerana Allah, kita akan menjaga setiap langkah-langkah kita dalam berBM ini termasuk tempoh pertunangan itu sendiri yang banyak mengundang fitnah dalam hati ini.
Tempoh pengenalan sebelum berkahwin itu penting untuk melihat keserasian. Namun berkenalan selepas kahwin itulah terlebih indah serta manis. Setiap saat akan ditunggu demi mempelajari sifat baru pasangan kita.
Jagalah gentlemannya anda dengan tidak bertanya direct pada akhwat. Jangan malu untuk meminta bantuan orang tengah. Anda akan dihormati dan dikagumi oleh mana-mana akhwat pun. Jika mereka menolak, keegoan anda tidak terusik dan anda pasti akan dicarikan akhwat lainnya.
Untuk akhwat, keadaan diri kita berbeza. Satu ekstreme, ramai akhwat sudah meniti senja usia, menantikan pinangan ikwah yang mahu meminangnya kerana dakwah. Mungkin umur sudah beranjak, muka sendiri tak berapa comel. Sangat tangkas pula tu dalam dakwah menyebabkan ikhwah sedikit kecut untuk meminang. kita jelas dalam memilih ikhwah sebagai pasangan hidup kita kerana kita mahukan ketenangan hati dan kestabatan di atas jalan dakwah. Namun bagi ikhwah, keadaan mereka berbeza pula.
Jika ada orang soleh meminangmu, jangan menolak dahulu sebelum bersyura dengan orang yang bertanggungjawab ke atasmu (ini jika pinangan itu direct padamu). Walaupun cara itu salah dan tidak menghormati statusmu sebagai akhawat (rakan perempuan), namun di situ ada nilai ukhuwah yang perlu kita santuni pada ikhwah. Ada tarbiyah yang perlu kita ajarkan pada ikhwah dengan cara yang mudah dia terima tanpa merendahkan egonya.
Dahulu pernah ikhwah mengatakan akhwat kita ibarat warden penjara. Mereka tak tahu kita bertindak sedemikian kerana kita amat menjaga hati kita dengan Allah. Kita tahu kelembutan kita mesti mencairkan hati para ikhwah. Kerana itu kita tak mahu menjadi bahan fitnah.
Namun seluruh fikrah ini mengajarkan kita untuk berlemah lembut dengan manusia dan juga sentiasa mengajari manusia yang silap dengan cara yang terbaik. Maka bersyuralah. itu kuncinya.
Dan nak tahu something? Jika antunna sendiri berkenan untuk berkahwin dengan seorang ikhwah, jangan segan untuk bertanya naqibahmu. Itu bukan perigi mencari timba. itu usaha untuk menyelamatkan hatimu. Bila adanya orang tengah, takkan terasa segan dan malu. Orang tengah akan memainkan peranannya, walaupun prosesnya lambat.
Tidak semua yang melalui BM ini perfect.
Sepertimana orang yang kahwin selepas couple pun ada masalahnya, ada yang bercerai even. Begitu juga dengan BM. BM ini wasilah untuk kita dapat redha Allah, tapi kita pasti diuji. Fasa pengenalan pada awalnya sukar bagi dua insan yang langsung tidak pernah bercakap dan bertentang mata pun, namun disebalik itu ada kemanisan yang amat sukar diungkapkan.
Ianya amat manis, subhanalllah.
Tetapkan matlamatmu. Biar jelas. Biar terang.
Itulah dia kerana dakwah dahulu. Kerana Allah dan rasulNya dahulu.
Tak semua ikhwah perfect dan tak semua akhwat perfect. Carilah kesempurnaan itu betul-betul pada dakwah, baru yang lainnya. Allah akan cukupkan keperluanmu akhi wa ukhti, jika kamu memilih Allah sebelum yang lainnya insyaallah.
Jadilah moderate dalam prosesnya
Alhamdulillah, jika proses BM itu dimudahkan Allah. Berimbanglah. Berbincang itu perlu untuk menetapkan perkara-perkara yang penting di dalam kehidupan rumah tangga. tapi di situ jangan terlalu bermudah-mudahan dan menganggap bahawa tunangan kita itu milik kita dan kita boleh menyintai dia sesuka hati kita. Bila Allah sebagai sandaran, segalanya kelihatan dan dirasai rasional.

artikel http://iluvislam.com/

Thursday, May 5, 2011

Jangan Kawan Dia!!!

Assalamualaikum WBT
Alhamdulillah..syukur pada Allah akan kesempatan yang diberikan..
Semoga pembaca semua juga dirahmati Allah SWT.


Kali ini, sekali lagi saya ingin mencoretkan peristiwa yang berlaku di Taska Ihsan.. MasyaAllah.. indahnya berdakwah dengan anak-anak.. perlukan kesabaran dan hikmah. Alhamdulillah.. InsyaAllah mereka semua akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Macam-macam ragam yang saya jumpa di sana.. Pernah suatu masa dulu saya ceritakan kisah 2 beradik.. Syahim dan Syakir. Masa tu saya tak sedar mereka ini bersaudara. Ingatkan sekadar kawan kerana wajah mereka sangat berbeza. Petang itu..saya menegur mereka:

Cikgu Nurin: Eh, cantik la baju Syahim dengan Syakir. Sama pula tu... Ada Ben10.
Shakir:          Mestilah.. sebab hari ini kitorang nak belajar doa Ben10.
Cikgu Nurin: Erkk..doa Ben10? Macam mana tu???
Syahim:        Bismillahirrahmanirrahim... Ben10... Ben10 (sambil menadah tangan)
Cikgu Nurin:(Sambil tepuk dahi) Isk..mana ada doa macam tu?
Syakir:         Ada la..nanti nak belajar. 

Saya cuma mampu menggelengkan kepala.. Nahh..itulah anak-anak.. mereka ni ibarat kain putih. Kita inilah yang mencorakkannya. Mereka masih dalam proses menjelajah.. Belajar mengadaptasi apa yang berlaku di sekitar mereka. Waktu usia sebegini adalah sangat penting bagi ibu-bapa untuk membentuk imiginasi mereka. Kalau hari-hari disogokkan dengan kartun Ultraman.. Ben10 dan bermacam lagi..maka imiginasi mereka hanya disekitar itulah.

Lagi satu...saya tak tahulah orang lain. Tapi saya selalu saksikan fenomena ini dikalangan anak saudara dan nak-anak tadika mahupun taska. Malah suatu ketika dahulu..saya sendiri pernah mengalaminya. Kes...main tak kawan..tak kawan..

Puteri: Miza, Amirah..korang jangan kawan Farisya. tadikan dia tak nak bagi kita gula-gula. Dia kedekut.
Farisya: Cikgu!!!! Puteri dia tak nak kawan kita!!!
Puteri: Awak jahat, kedekut. Tak nak saya kawan dengan awak.
Miza dan Amirah Wardah berdiri di belakang Puteri. Dan saya dengan muka ala-ala komander mendekati mereka sambil bercekak pinggang.
Cikgu Nurin: Kenapa main tak kawan..tak kawan ni?
Miza: Farisya mula dulu cikgu. 
Farisya: Tak, Puteri yang tak kawan kita dulu.
Cikgu Nurin: Ok, kalau macam tu.. Yang lain semua jangan kawan Puteri, Miza, Farisya dengan Amirah. Faham tak?
Murid lain: Fahhaaaammmmm..
Kelihatan Puteri dan Miza sudah mula mengalirkan air mata.
Cikgu Nurin: Kenapa menangis? Sedih tak kalau semua orang tak nak kawan kita? 
Miza dan Puteri mengganggukkan kepalanya.
Cikgu Nurin: Dah tu, kenapa buat kawan macam tu? Kalau hari ni kita buat kawan amcam tu..esok-esok semua orang tak nak kawan dengan kita. Allah tu Adil, nanti dia balas. 
Farisya: Adil tu apa cikgu?
Cikgu Nurin: Adil tu maksudnya..kalau hari ni kita buat baik kat orang..esok Allah akan balas dengan perbuatan baik kat kita. Sama juga kalau kita buat jahat..esok Allah bagi balasan jahat kat kita. 
Amirah Wardah: Ooo..dah tu kita tak boleh buat jahat la cikgu?
Cikgu Nurin: Mestilah tak boleh..nanti orang lain yang akan buat jahat kat kita. Nak ke kalau orang buat jahat kat kita?
masing-masing menggeleng kepala.. 
Cikgu Nurin: Ok, lepas ni jangan buat lagi. Faham? Sekarang salam...

Begitulah anak-anak..nampak macam remeh temeh, tapi yang remeh temeh tu la jangan sampai berdarah menjadi nanah. Kena sentiasa ajar anak kita sikap saling memaafkan dan saling menjaga silaturrahim.. Jangan mudah menyakiti hati orang dan sentiasa menjaga hubungan yang baik sesama makhlukNYA.

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

wallahu'alam..

Wednesday, May 4, 2011

Seandainya Ku Mampu...

Assalamualaikum WBT
Alhamdulillah...segala pujian buat Allah yang Mentadbir Sekalian Alam..
Semoga kita semua diberikan hidayah dan rahmatNYA..

Duhai hati.. Sukarnya berbicara soal hati.
Betapa kosongnya hati ini.. jauh dari keluarga.. sahabat...segalanya sendiri..
Hanya Allah tempat mengadu, dikala suka dan duka.. tempat dicurah air mata..
Beratnya beban ditanggung tak siapa tahu.

Terkadang diri dihimpit cemburu..melihat hidup orang disekeliling.
namun segera istighfar membasahi bibir, tatkala tersedar, segala yang berlaku diatur Allah terbaik buat hambaNYA..
Lantas mudahnya air mata ini menitis..
bukan kerana kesal akan taqdir...
Namun hancurnya hati kerana tidak mampu menempuh segala rintangan yang mendatang..

Ya Allah..seandainya ku mampu mengisi segala kekosongan ini..
Ya Allah..andainya ku mampu menahan segala tohmahan mereka..
Ya Allah..andainya ku mampu memberikan apa yang mereka inginkan..
Ya Allah...andainya ku mampu terus bertahan...

Aku sedar Ya Allah, betapa kerdilnya aku di sisiMU
Justeru, hanya padaMU YA ALLAH..ku memohon
Kau berikanlah kepadaku segala kekuatan..

Monday, May 2, 2011

Antara Tadbir dan Takdir..

bila takdir berbicara
kelu tadbir untuk menyanggahnya,,
akurlah bahawa DIA TUHAN..kita hamba..


takdir sentiasa mengatasi tadbir...takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya daripada kita hambaNYa...kekadang takdir dan tadbir selari, maka..terjadilah apa yang kita inginkan terjadi....Alhamdullilah....
namun, acap kali jua takdir dan tadbir bersalahan...bertentengan...maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi...kita mentadbir kewangan kita dengan baik sekali, namun takdir Allah menentukan masih ada lagi hal yang memerlukan kewangan..kita dambakan kejayaan, namun kegagalan pula yang menimpa...ketika itu..hati kita akan bertanya,,

"APA LAGI YANG TIDAK KENA??"

ketika itu, hati pun merintih...

"SEMUA TELAH KUTADBIRKAN, TETAPI KENAPA GAGAL JUA???"

ketika itu, timbullah bunga-bunga pemberontakan daripada dalam diri hamba yang kerdil berhadapan dengan ketentuan Allah Yang Maha Perkasa.....samada kita sedari atau kita tidak sedari...kita mneyalahkan segala-galanya.....

perkara sebegini, kurasakan bukan diri ku seorang pernah mengalaminya....ku pasti, ramai lagi hati hamba Allah turut merasakan sebegini...namun....perlu kita fikirkan kembali...Allah itu tuhan kita, Allah itu sayangkan kita....kalau Dia sayang, manakan Dia ingin memberikan kesusahan kepada kita....pasti ada sesuatu disebalik ujian yang dikurniakan...fikirkan kembali...

ku fikir-fikir..kini, kutemukan jawapannya...takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmahnya...ia mnegandungi mehnah iaitu didikan secara lansung daripada Allah, bukan menggunakan perantara guru atau sebaliknya,,,,..hikmah ini terkadang tersembunyi daripada pengetahuan fikiran biasa...selalu ku bertanya pada diri..mengapa diriku sukar melihat hikmah disebalik ujian itu...mengapa Encik Anugerah, mudah dan senang hatinya bila ujian mendatang, sedangkan diriku, selalu sahaja menangis kerana itu dan ini...

diri ini mula sedar...ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat...

jesteru dengan akal semata-mata tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak seiring dengan diri dan kehendak kita..mengapa jadi begini? sedangkan diriku telah berusaha?

untuk mengelakkan perkara sebegitu terjadi. kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang tersembunyi dalam ketentuan Allah..hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya...

Allah itu Maha Adil.. Maha Mengetahui apa yang terbaik buat si hamba.. Kita hanya mampu merancang selangkah ke hadapan..namun Allah telah merancang berjuta langkah kita..

Qada' dan Qadar Ketentuan Allah..

Kita sebagai makhluk-Nya wajib meyakini tentang qadha’ dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana terkandung di dalam rukun iman yang enam. Beriman kepada qadha’ dan qadar ertinya kita percaya dan yakin dengan sapenuh hati bahawa Allah Subhanahu Wata’ala telah menentukan tentang segala sesuatu bagi makhluk-Nya .
Di dalam Masyarakat Melayu kita istilah qadha’ dan qadar kadangkala disebut dengan “Takdir Tuhan” atau “Ketentuan Tuhan”.  Kedua-duanya memberi maksud qadha’ dan qadar.
Berkaitan dengan qadha’ dan qadar, Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang itu diciptakan dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah, 40 hari menjadi segumpal darah, 40 hari menjadi segumpal daging, kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya dan menuliskan 4 ketentuan, iaitu tentang rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya, dan (jalan hidupnya) sengsara atau bahagia”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim) .
Dari hadith tersebut dapatlah kita ketahui bahawa nasib manusia telah ditentukan oIeh Allah Subhanahu Wata’ala sejak sebelum ia dilahirkan. Walau pun  setiap manusia telah ditentukan nasibnya, ianya tidaklah bererti bahawa manusia hanya duduk diam menunggu nasib tanpa berusaha dan berikhtiar. Walau apa pun keadaannya, manusia tetap berkewajipan untuk berusaha, sebab kejayaan sesuatu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ar-Ra’du ayat  11:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Dia”.
Berdasarkan ayat yang dibacakan tadi jelaslah bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala, namun hakikatnya manusia tetap diberikan peluang oleh-Nya untuk terus berusaha mengubah sesuatu keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik. Kita harus yakin dengan sepenuh hati bahawa segala sesuatu yang terjadi pada diri kita, baik yang menyenangkan mahu pun yang susah adalah atas kehendak Allah Subhanahu Wata’ala.
Kejadian bencana yang sering berlaku seperti banjir besar, gempa bumi, ombak besar sunami dan sebagainya hendaklah diterima dengan penuh keinsafan dan meyakini kesemuanya itu adalah ujian dari Allah Subhanahu Wata’ala. Kita juga mesti meyakini bahawa di sebalik kejadian-kejadian itu ada hikmah yang amat bernilai, seumpama khazanah yang tersimpan di dalam perut bumi yang perlu digali untuk mendapatkannya.
Segelintir masyarakat kita pada hari ini menjadikan takdir dan ketentuan Tuhan itu sebagai alasan untuk malas berusaha dan berbuat kebaikan.  Segelintir yang lain pula meletakkan kesalahan dan kejahatan yang mereka lakukan kepada takdir dan ketentuan. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan seperti ini merupakan satu fitnah yang boleh menjejaskan kemuliaan agama Islam itu sendiri.  Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya malas berusaha. Islam juga tidak pernah menyuruh umatnya melakukan sebarang bentuk kejahatan.
Pernah terjadi pada Zaman Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab, seorang pencuri tertangkap dan dibawa ke hadapan Khalifah ‘Umar.  Beliau bertanya: “Mengapa engkau mencuri?”.  Pencuri itu menjawab: “Memang Allah sudah mentakdirkan saya menjadi pencuri”. Mendengar jawapan demikian, Khalifah ‘Umar pun marah lalu berkata: “Pukul sahaja orang ini dengan cemeti setelah itu potonglah tangannya”. Orang-orang yang berada di situ bertanya: “Mengapa hukumannya diberatkan seperti itu?”.  Khalifah ‘Umar menjawab: ” Ya, itulah yang setimpal. Ia wajib dipotong tangannya sebab mencuri dan wajib dipukul kerana berdusta atas nama Allah”.
Di dalam sebuah kisah yang lain pada Zaman Nabi Muhammad s.a.w. pernah terjadi di mana seorang Arab Badwi datang menghadap Nabi. Orang itu datang dengan menunggang kuda. Setelah sampai, ia turun dari kudanya dan terus menghadap Nabi, tanpa terlebih dahulu mengikat kudanya. Nabi menegur orang itu, “Kenapa kuda itu tidak engkau ikat?”.  Orang Arab Badwi itu menjawab: “Biarlah, saya bertawakkal kepada Allah”.  Nabi pun bersabda: “Ikatlah kudamu, setelah itu bertawakkallah kepada Allah”.
Terdapat banyak hikmah yang amat berharga bagi kita apabila kita meyakini dan redha dengan sepenuhnya segala ketentuan Ilahi.  Di antara hikmah tersebut ialah:
1.           Melatih diri untuk bersyukur dan bersabar.
Firman Allah SWT. dalam Surah An-Nahl ayat 53:
“Segala nikmat yang ada kepada kamu, maka adalah daripada Allah, kemudian  apabila kamu ditimpa kesusahan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan”.
2.           Menjauhkan diri dari sifat sombong dan putus asa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Muslim bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sebiji sawi dari sifat kesombongan”.
3.          Memupuk sifat optimis dan giat bekerja.
Manusia tidak mengetahui takdir apa yang terjadi pada dirinya. Semua orang inginkan keberuntungan tetapi ianya tidak datang begitu sahaja. Ia haruslah diusahakan. OIeh sebab itu, orang yang beriman kepada qadha’ dan qadar sentiasa optimis dan giat bekerja untuk meraih kebahagiaan dan keberuntungan  itu.
4.      Dapat  menenangkan jiwa.  Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27 – 30 bermaksud:
“Wahai jiwa yang tenang!, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia; dan masuklah ke dalam syurga-Ku”.
Sebagai orang beriman!, kita harus redha menerima segala ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala atas diri kita. Di dalam sebuah hadith  Qudsi Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang maksudnya:
“Siapa yang tidak redha dengan qadha’ dan qadar-Ku dan tidak Sabar terhadap bencana-Ku yang Aku timpakan atas-Nya, maka hendaklah mencari Tuhan selain Aku”.
(Riwayat At-Thabrani).
Takdir Allah merupakan kehendak-Nya semata-mata. OIeh sebab itu takdir tidak selalu bersesuaian dengan keinginan kita. Tatkala takdir kita sesuai dengan keinginan kita, hendaklah kita bersyukur kerana hal itu merupakan nikmat yang diberikan oIeh Allah kepada kita. Ketika takdir yang kita alami tidak menyenangkan atau merupakan musibah, maka hendaklah kita terima dengan sabar dan ikhlas.  Kita harus yakin, bahawa di sebalik musibah itu ada hikmah yang kita belum mengetahuinya. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan-Nya.
“Apa sahaja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.  Kami mengutusmu menjadi rasul kepada segenap manusia.  Dan cukuplah Allah menjadi saksi”.
(An-Nisa’:79)