Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Sunday, November 27, 2011

Cinta Tak Bersyarat..


" Itulah, kamu doa letak syarat, mana tak frust macam ni."

Dua orang siswi aktivis dakwah terkebil-kebil di hadapan saya. Mereka datang
mahu menghambur kekecewaan yang meraja gara-gara keputusan
 peperiksaan semester lalu yang tidak berapa menjadi.

" Ya Allah Ya Tuhanku, aku telah banyak beribadah kepadaMu,
 melakukan kerja dakwahMu, mengorbankan waktu dan tenaga untukMu.
 Oleh itu, aku sangat-sangat harapkan agar kau balaslah dengan memberikan kecemerlangan kepadaku dalam pelajaran."

Sudah! Kita pula yang memberi arahan supaya Allah membalasnya
dalam KONTEKS pelajaran. Ini sekadar contoh ‘balasan’ yang kita minta
Allah istijab dengan HANYA cara itu. Tidak salah meminta. Pintalah,
pasti Allah kabulkan. Cumanya! Ya, cumanya sikap demand kita dalam berdoa menyebabkan kita menanggung kekecewaan yang keterlaluan dengan
persangkaan buruk kepada Allah bahawa Dia tidak menunaikan janjiNya.

BERDOALAH TANPA SYARAT.

Biarlah Dia yang menentukan dengan cara apa Dia akan membalas
kebaikan-kebaikan itu. Jangan meletakkan pensyaratan bahawa segala
pengorbanan yang kita lakukan untukNya terutama buat para daei, adalah
 dengan pertimbangan kita mesti diluluskan dengan DEAN LIST sebagai
bukti ayat Al-Qur’an :

“ Jika kamu menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kamu.”

“ Allah kata, kalau kita tolong agama Dia, Dia akan tolong kita balik.
Awat dalam exam, rasa blank saja. Result makin lama makin down.
Kenapa Allah tak tolong pun?.”Rungutan seorang siswi aktivis dakwah.
 Beliau sedang kecundang dalam mengendalikan keyakinan bahawa
 Allah tidak akan menyalahi janjiNya.

Jelas sekali! masalah awalnya adalah dengan niat. Beramal bukan kerana
 cinta, tetapi menantikan balasan yang bersyarat. Semestinya tidak langsung
menjadi kesalahan untuk membuat sesuatu amal dengan mengharapkan
balasan baik daripada Allah. Tetapi ia lebih Allah hargai andai kita membuat
sesuatu amal dengan segala bentuk pengorbanan yang susah-susah kita
 lakukan adalah kerana kita tahu, kita lakukan demi CINTA yang tak
 terungkapkan buat Dia. Ini tanda tingkat ikhlas yang paling tinggi.

Kalaulah boleh didengar suara rintih Rabiatul Adawiyah :

“ Aku melakukan semua ini bukan kerana mengharap syurgaMu, bukan
kerana takut dengan nerakaMu. Tetapi semata-mata aku sangat mencintaiMu.
Sungguh, tiada apa yang aku harapkan balasan dariMu. Hanyalah kerana
 jiwaku terlalu mencintaiMu.”

Sangat indah andai ini yang terungkap dari bibir kekasih kita bukan.
Semuanya demi cinta yang membesar buat kita. Hanya kerana cinta
tanpa perlu balasan. Indahnya!

JANGAN MENGAJAR TUHAN ITU DAN INI

“ inilah bahayanya. Sekarang bila kamu tak dapat score, kamu cepat hilang
 harapan. Sebab kamu fikir, kebaikan itu Allah akan balas ikut apa yang kamu
minta. Jangan mengajar Tuhan hendak buat itu dan ini. Entah-entah
 Allah hendak bagi yang lebih baik. Dengan cara apa, bila dan apa benda tu,
kita nantikan saja. Tapi ia PASTI!”

Letih juga mahu memujuk jiwa murung yang hanya kehilangan sedikit nikmat
 dunia. Kadang-kadang begitulah kita. Dalam Allah menghilangkan
sedikit-demi sedikit nikmat dunia yang kita selesa dengannya dahulu,
sebenarnya dalam diam Dia telah gantikan nikmat akhirat yang kita tidak sedari.
Dia cuba mengubah selera kita dalam memandang nikmat apa yang membawa
 ke syurga.

Berapa ramai yang mahu menghargainya!

Di sini, sedikit pemfokusan kepada peserta tarbiyah. Berapa ramai yang
‘menghilang’ gara-gara teruji dengan ‘pointer’ yang terjejas. Dengan
hukuman, semuanya berpunca daripada komitmen dalam tarbiyah.
 Sungguh malang pengadilan yang dilakukan. Rata-rata kes yang terkumpul
dalam rekod ‘kehilangan’ para daei adalah berpunca daripada
BERDOA DENGAN SYARAT.

“ Ya Allah, aku korbankan waktu datang Usrah hanya demiMu.
Mudah-mudahan, Kau permudahkanlah aku menjawab peperiksaan esok,
Ameen.”

Sekilas pandang doa sebegini nampak rona-rona ‘keikhlasannya’.
Namun, rupanya punya syarat buat Allah. Dengar sini. Saya bercakap melalui pengalaman melalui perubahan nikmat yang Allah paksakan kepada saya.
Doa yang sebegini kadang-kadang lekas mengecewakan kita apabila tiada
pengabulan daripada Allah secara express. Apabila syarat yang diminta tidak
dipenuhi, bagaikan terasa Allah tidak mahu menolong kita. Saat itu, dengan
kedangkalan akal yang digayuti para syaitan, kita mulalah merasakan
pengorbanan yang mulanya DEMIMU adalah sia-sia.

Tanyalah hati. Jika ia salah, maka ia hanya pengalaman saya dan beberapa individu. Secara pengalaman juga, Dia sungguh tidak memungkiri janji. Banyak sekali
peristiwa ‘pertolongan’ yang saya tidak sangka-sangkakan akan berlaku.
 Bahkan lebih besar daripada syarat yang kita letakkan. Biarlah ia menjadi
‘simpanan’ cerita saya yang akan saya bongkarkan nanti-nanti. Apa yang penting,
mulai sekarang lupakan syarat dalam berdoa, serta yakinlah Allah tidak akan
sia-siakan pengorbanan kita. Tidak akan sia-siakan.

Saturday, November 26, 2011

Bukan Sekadar Tudung...

Assalamualaikum WBT
Semoga Allah SWT merahmati sahabat sekalian..



Apabila wanita muslim menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhrim, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.


Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.


Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.


Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.


Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.


Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?


Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.


Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.


Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.


Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.


Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.


Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.


Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.


Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.


Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.


Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.


Wallahu 'alam.


Imam Muda Nazrul

Friday, November 25, 2011

Duhai Sahabat...


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

  • ·        Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • ·        Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • ·        Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu ka
  • ·        mu;
  • ·        Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • ·        Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • ·        Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • ·        Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • ·        Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • ·        Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • ·        Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • ·        Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • ·        Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • ·        Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • ·        Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah: 
  • ·        Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  • ·        Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  • ·        Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
  • ·        Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
  • ·        Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.

Ujian Dan Musibah Buat HambaNYA..

Assalamualaikum WBT
semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT,



MUSIBAH atau masa KESULITAN adalah lumrah dalam kehidupan. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan, musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan.

Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti samada seseorang itu benar-benar beriman atau berdusta dalam mengaku beriman.

Dalam kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang mengikuti mereka dan seterusnya".

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…"

Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan selain dari mereka.

Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?

Rahsia Umum di Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.

Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa seseorang muslim.

Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang ditimpa musibah tersebut.

Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada mereka di dunia lagi.

Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t. dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.

Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka.

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi

Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.

Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:

Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya.

Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifat jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.

Dalam hal ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..

Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redho dengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..

Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.

Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.

Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifat Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan  pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.

Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.

Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t..

Thursday, November 24, 2011

Oo.. Aku Tergoda.. Aku Tergoda Terkesima...

Digoda dan tergoda? Aduhh parah dah Cik Nurin oi.... Dengan siapa pula yang Cik Nurin gila bayang ni??? Ohoh, mana ada sapa-sapa.. tak de, cuma pagi-pagi ni sambil bersarapan mee hoon goreng putih dengan sambal udang, tiba-tiba mata saya tertancap pada blog Kak Intan kita ni.. Ape lagi kalau bukan blog masam manis.

Kak Ita ni memang tau, suka menggoda mata saya dengan gambar-gambar makanan yang sedap-sedap belaka. Kak Ita duduk kat Johor, tapi belum berkesempatan nak jumpa... Tapi cukup memberikan inspirasi pada saya untuk mencuba pelbagai jenis resepi.. Cuma tu la, banyak kelengkapan tak mencukupi.. Sebab kat rumah ni Cik Nurin je suka buat kuih.. Tak pe la...

Ok la, Cik Nurin pinjam gambar pau Kak Ita tau.. sebab...Cik Nurin tak de kamera.. Tak boleh upload gambar. lagipun laptop ni susah betul nak save gambar. Pening kepala saya ni.. 

PURPLE SWEET POTATO ROSE PAU


250 gm keledek manis warna purple - di kukus atau di rebus
200 gm air
500 gm tepung pau
1 t/s baking powder
100 gm gula
50 gm shortening atau lemak sayuran
1/4 t/s garam
11 gm yeast segera


Keledek, dicuci bersih dan di rebus. Buang kulit keledek dan kisar keledek dengan air sehingga halus.
Ita masukkan semua bahan kedalam bread maker dan set doh dan biar hingga ia menjadi doh yang lembut. 
Kalau guna tangan.
Bancur sedikit air suam dengan yis dan biar ia berbuih. ( sukatan air mestilah sama dengan sukatan yang di beri - gunakan 1/2 air untuk kisar keledek dan 1/2 lagi untuk naikkan yis)
Campurkan semua bahan kecuali shortening, dan uli hingga menjadi doh yang lembut
Masukkan shortening dan uli hingga menjadi doh yang lembut dan tak melekat di tangan.
Jika adunan terlembik boleh tambah sedikit lagi tepung.
Tutup doh dengan towel dan simpan doh dalam almari atau tempat yang hangat sehingga doh naik 2 kali ganda lebih kurang 1 jam.
Setelah doh naik tumbuk2 doh untuk keluarkan angin.


Untuk membuat pau biasa bahagikan doh kepada beberapa bahagian dengan berat 50 gm, isi inti dan letak doh atas kertas lapik.
Rehatkan doh sehingga naik 2 kali ganda
Kukus doh dalam kukusan yang telah di panaskan terlebih dahulu selama lebih kurang 10 - 12 minit.
Untuk membuat pau bentuk ros kita lihat cara dan step di bawah.






Kemaskan dasar kuntuman ros supaya membentuk sekuntum bunga ros.
Letakkan dalam paper cup atau kertas minyak. Sebaik-baiknya letak dalam paper cup supaya ros boleh duduk cantik.
Rehatkan doh dan biarkan ia naik 2 kali ganda
Doh yamg telah siap bolehlah di kukus dalam kukusan yang telah di panaskan terlebih dahulu.
Kukus pau selama 10-12 minit

Tuesday, November 22, 2011

Karipap-Karipap Cinta..

Assalamualaikum WBT
Semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT

Masih mood memasak walaupun tak ada apa lagi nak dimasak.. Huuu... Akhirnya habis juga kuih Seri Muka yang saya buat petang tadi.. masa tengah borak-borak kat facebook pasal kuih seri muka ni, ada sorang ukhti ni request Karipap daging.. Alamak, baru je buat dik ahad lepas. Tapi karipap sardin la sebab kat rumah ni paling laju karipap sardin dengan telur..

Banyak cara nak buat kulit karipap ni.. Ada yang mudah rapuh, liat dan ada juga yang rangup.. Berfgantung pada bahan dan cara menguli. Tapi kali ni saya nak kongsi kulit karipap yang memang rapuh.. Walaupun dah sejuk tetap rapuh..tak liat punya..

Kalau bercerita pasal karipap ni, banyak memorinya.. dulu masa sekolah rendah, mak masak untuk kantin sekolah kat kampung.. Hari-hari kami tolong mak buat kuih.. Dan sedari umur 8 tahun, saya dah dipaksa menguli, menggelek karipap.. Bila umur 10 tahun, saya dah pandai kelim karipap.. Best tak?

Ok la.. tak nak cakap banyak.. Saya kongsi bersama resepi karipap turun temurun daripada my mak ok..

Kulit Karipap
2 sudu marjerin
4 cawan tepung gandum
1/2 cawan minyak
1/2 cawan air (campur ais)
1/2 sudu kecil garam

marjerin dan tepung gandung digaul bersama (macam serbuk roti jadinya)
minyak dipanaskan.. buat bulatan kat tengah tepung..masukkan minyak panas.. Uli guna senduk kayu sampai tepung sebati. Garam dibancuh dalam air sejuk.. masukkan sikit-sikit dalam adunan tepung dan gaul sampai sebati..tidak berketul dan lembut

Inti
3 ketul sardin (buang kuah)
2 biji bawang besar (dihiris halus)
2 ulas bawang putih (cincang)
2 biji cili api (ditumbuk)
garam dan serbuk perasa
minyak untuk menumis.
kalau nak tambah serbuk kari or kentang boleh..

Panaskan minya, tumis bawang dan lada, kemudian masukkan sardin dan hancurkan.. masukkan bahan perasa.

p/s: kalau nak inti telur, semua bahan menumis kena tumbuk halus.. tumis dan kemudian masukkan 5 biji telur dan hancurkan..

Ok.. masa nak uli tu, jangan terlalu tebal..nanti tak rangup dan tak masak dalamnya. Kulitnya agak rapuh jadi jangan terlalu nipis masa menguli. kalau nak buat frozen, goreng karipap setengah masak untuk matikan minyak dalam doh.. pastu simpan dalam bekas kedap udara.. masukkan dalam frozen, tahan lebih seminggu.

Mood Masak Yang Terlebih..

Assalamualaikum WBT
Semoga sahabat semua dirahmati Allah..


Hari ni Johor cuti.. So, banyaklah masa terluang kat rumah. Pagi-pagi lagi abah dan yang lain-lain bersiap nak ke kebun.. Tinggal la saya kat rumah dengan mak dan abang rudi. 


Agenda pagi ni ialah mengemas.. Adoii la.. Penatnya mengemas 2 bilik yang ada (tangan lenguh sebab kena injection typoid). belum lagi 2 ruang tamu dan dapur. Nasib baik 4 bilik yang lain tak perlu dikemas. Ohoh..bukan nak raya la.. Bukan juga sebab nak buat kenduri apa lagi kenduri kahwin.. Kih..kih.. tapi kakak saya yang kat Sabah bersama suami dan anak-anaknya yang "comel2" nak balik kampung. yelah, duduk jauh, setahun sekali je la balik..


Siap mengemas...masak untuk makan tengah hari pula.. Simple je. ikan talapia goreng, sayur air bendi dan sambal belacan ala-ala sambal penyet.. Marvellous.. Ringkas namun membuka selera.. Ikan talapia tu bela sendiri tau.. kebetulan ahad lepas abah lupa nak tengok kolam dia.. Yelah, sibuk dengan kenduri kahwin sedara-mara. Sudahnya lebih 6 kilo ikan telah terkorban. Huuu.. Tak pe la..Jimat sikit duit nak beli lauk minggu ni.


Lepas masak tengah hari..dek kerana kerajinan terlebih maka saya berhasrat nak buat kuih.. memang feberet ni... Dulu mak selalu buat.. Tapi cara mak tu agak cerewet sebab nak kena tanak pulut dalam periuk..masak bahagian atasnya dalam periuk.. tapi cara saya ni agak mudah.. Kukus je pulut dalam loyang.. Dah masak pulut, tuang pula bancuhan atas yang berwarna hijau.. Kukus selama satu jam. Siap..


Nak resepi ke? Saya tempek ye.. Saya ambil resepi ni kat my resepi tapi saya modified.. pulut kat bawah tu saya kukus dengan santan. pulut tu saya gaul dengan kelapa parut sikit.. So makin la rasa lemak masin yang sungguh menyelerakan.



Bahan-bahan ( size loyang 22cm / 3'' )

  • Bahan lapisan bawah:-
  • 500gm beras pulut
  • 400ml santan cair
  • 1 st garam
  • 2 sm minyak
  • 4 sudu kelapa parut (optional)
  • Bahan lapisan atas:-
  • 120gm tepung gandum
  • 3 sm tepung jagung
  • 140gm gula
  • 3 biji telur
  • 450ml santan pekat
  • 1/2 st garam
  • 300ml air + 10 helai daun pandan dikisar utk dijadikan air pandan (bagi yg tak mudah nak dptkan daun pandan..boleh digantikan dgn 1 st pandan paste)

Cara-cara

  1. Untuk lapisan bawah:-
  2. A) Sediakan kukusan terlebih dahulu. Biarkan air mendidih.
  3. B) Bersihkan beras pulut dan direndam selama 10-20min.
  4. C) Toskan beras pulut. Tak perlulah lama2 sekejap je pon boleh.
  5. D) Satukan semua bahan2 didlm loyang dan dikacau sedikit agar minyak dapat diratakan.
  6. E) Kukus diatas kukusan yg telah sedia mendidih selama 20-30min.
  7. F) Keluarkan loyang dari kukusan dan ratakan permukaan pulut tadi. Siap untuk dilapis dgn lapisan atas.
  8. Untuk lapisan atas:-
  9. 1) Pukul gula bersama telur hingga kembang..sikit je pon boleh.
  10. 2) Masokkan santan yg telah dilarutkan bersama garam. Diikuti dgn air pandan dan dipukul/dikacau lagi...
  11. 3) Akhir sekali ayakkan tepung gandum & tepung jagung ke dlm adunan tadi. Dipukul/dikacau lagi agar tidak berbiji. Hendakla ditapis adunan ini dan siap untuk dikukus!!
  12. 4) Sekali lagi dgn kukus yg sedia mendidih tapi INGAT api biar sederhana aje...letakkan loyang yg berisi pulut tadi tu....kedlm kukusan dan dgn perlahan tuangkan lapisan atas. Kukus la selama 45min atau 1jam....
  13. PERINGATAN...kuih ini hendak la betol2 sejuk barula mudah dipotong n cantik dihidangkan...jadi SELAMAT MENCUBA!!

Ok..gambar ni bukan gambar kuih yang saya buat.. Sebabnya kuih saya bahagian atas tu merekah.. Bukan sebab adunan salah..adunan dah marvellous dah.. Cumanya dek kerana saya tak sabar-sabar nak tunggu sejuk..maka saya potong je kuih tu time panas.. So memang tak cantik la jadinya..
Moral of the story... Sabar itu sebahagian daripada imaannn..