Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Thursday, August 25, 2011

Menghidupkan Lailatul Qadar..

Assalamualaikum WBT
Semoga sahabat semua dilindungi dan dirahmati Allah SWT. InsyaAllah..


‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Kita sama-sama telah berada pada puasa yang ke 24 dan pada malam ini kita berada pada malam ke 25 Ramadan. Ini bermakna pada malam ini kita berada pada malam ganjil ke 3 dan ada 2 lagi malam ganjil yang mana baginda SAW menyatakan bahawa Lailatul Qadar berada pada malam-malam ganjil.

Berdasarkan hadis riwayat Bukhari di atas secara khusus Nabi SAW menjelaskan bahawa Lailatul Qadar kemungkinan besar berada di dalam malam ke 25, 27 dan 29. berbandiang malam ke 21 dan 23.

Oleh itu saya berpesan pada diri saya sendiri dan kepada kalian semua anggaplah malam ini (25 Ramadan) seolah-olah  malam Lailatul Qadar dan buatlah persiapan serapi mungkin kerana jika jatuh Lailatul Qadar pada malam ini sungguh besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Segala amal ibadah, solat fardu dan solat terawih, solat tahajjud, berdoa dan munajat, zikir, bacaan al-Quran, sedekah dan amal-amak soleh yang lain fadilatnya lebih baik daripada 1000 bulan. Maksud lebih baik daripada 1000 bulan adalah amalan kita kebaikannya  melebihi 1000 bulan.

Pada malam Lailatul Qadar turun para malaikat rahmat dan membawa rezeki dan mendoakan kesejahteraan orang mukmin yang sedang beribadah  dan berikhtikaf di masjid.

Doa pada malam itu mustajab di sisi Allah SWT dan terbuka pintu-pintu langit. Turun rahmat Allah SWT mencurah-curah bagaikan hujan , amat rugilah sesiapa yang mensia-siakan malam yang penuh berkat ini dengan tidur atau melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Antara kelebihan Lailatul Qadar ialah malaikat yang berada di Sidratul Muntaha turun ke bumi dengan izin Allah pada malam itu. Sidratul bererti pokok bidara manakala Muntaha ialah sempadan iaitu sempadan sebelah atas langit, selepas langit yang ke tujuh. Semasa peristiwa Isra’ Mikraj, malaikat Jibril hanya boleh menghantar Rasulullah s.a.w. hingga setakat pokok bidara ini sahaja.
Firman Allah SWT maksudnya :  [13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, [14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”; [15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.(Surah an-Najm ayat 13-15)

Bermula solat magrib berjemaah, selepas itu perbaharui niat-niat yang baik untuk membela agama Allah SWT, menegakkan Islam dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, perbanyakkan berdoa minta kebaikan di dunia dan akhirat dan minta dijauhi oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka. Dan juga berdoa dengan doa yang diajarkan Nabi SAW kepada Aisyah "Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : "Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)."

Marilah sama-sama kita menghidpkan malam ini dan baki malam  yang lain dihujung Ramadan ini dengan amalan yang bersungguh-sungguh. Jangan leka dan buang masa sia-sia kerana Ramadan yang akhir inilah yang menentukan kedudukan kita disisi Allah SWT samaada kita menjadi orang mukmin yang bertakwa atau seorang muslim yang berdosa di sisi Allah SWT.

Ibadah puasa kita dan seluruh amal ibadah kita akan dinilai dan digandakan oleh Allah SWT tanpa batas kerana malaikat tidak mampu mencatat pahala puasa yang ikhlas kepada Allah SWT. Kebaikan malam Lailatul Qadar melebihi 1000 bulan itu juga sesuatu yang tidak mampu dicatatkan oleh malaikat berapa jumlah pahalanya kerana yang akan menilai dan memberikan pahala adalah Allah SWT.

Sunday, August 21, 2011

Ramadhan Dinikmati...Syawal Tetap DInanti...

Assalamualaikum WBT..
Semoga sahabat semua dirahmati Allah...

Alhamdulillah..diberi kesempatan menulis di blog ini sekali lagi. Agak sibuk sekarang ni dengan aktiviti sepanjang Ramadhan.. Ya Allah..sedar tak sedar lagi berapa hari saja Ramadhan bakal meninggalkan kita. Cepatnya masa berlalu, bagai semalam bermulanya puasa.

Kalau pergi ke pasar raya...masing-masing dah sibuk memutarkan lagu raya.. Orang ramai mula bersesak membeli kelengkapan raya.. Malah ada rumah yang mula diterangi pelita. Itu belum lagi bunyi mercun dum..dam..dum..dam.. Kuih raya sana sini ada..macam-macam warna, bentuk..rasa? lebih kurang sama. Namun banyak juga orang mengeluh..kenaikkan harga barang sedikit sebanyak membebani mereka.. lebih-lebih lagi yang memiliki isi rumah yang besar. Anak-anak semestinya diutamakan..

Ada juga yang post di facebook..memberi peringatan agar tidak terlalu asyik dengan persiapan raya sedangkan Ramadhan masih jauh menemui penghujungnya.. Ye, saya sangat setuju. Sebaiknya Syawal disambut dengan penuh kesederhanaan.. Tidak perlu terlalu membazir, berlumba menukar perabot, langsir dan warna rumah dan sebagainya.. Apa yang masih boleh diguna..gunalah..

Tahun ni, di pihak keluarga saya sendiri tak banyak persiapan yang dibuat. Kuih muih kalau tahun sebelum ni memang penuh almari, kali ini memang tak beli pun. Kalau tahun lepas, saya banyak masa juga nak buat biskut sendiri. Tahun ni nampaknya tak berhasil la nak buat itu buat ini. Sekadar berjaya menyiapkan Almond london, biskut bunga cina, tart dan cornflakes madu. Tak ada kuih beli. Kerepek pun 2 jenis saja (itupun jiran jual dan sebagai tanda kami meyokong usahanya). Selain tu, terfikir-fikir juga nak buat muffin dan kek 2 hari sebelum raya. Buat kelainan sikit. Kalau sempat la. Biasanya tinggal harapan je. Sebab mak kalau masak ketupat bukan sikit-sikit. Mau dekat 15 ekor ayam dan 200 biji ketupat juga selamat dalam kuali. Yelah..nak hantar satu kampung (sebab semua sedara) Oh ya..tahun ni ayam kampung banyak..itik pun ada...jadi bolehlah dikorbankan.. Huu...sembelih sendiri baru tanpa was-was.

Baju raya? Baru beli tadi.. Jubah.. Ce teka..ce teka.. warna apa? ohoh...betul!!!! warna hitam. Saya jarang beli jubah warna lain, kebanyakkannya hitam. Memang ada yang berwarna tapi tak banyak jika nak dibandingkan dengan hitam.. Hitam itu menawan, betul tak? Beli dengan Aisyah dan Anisya..sementara kakak dan abang ipar pilih kasut (beli senyap-senyap). Bukan apa, kalau beli depan dia mesti kena komplen, asyik hitam saja.. Nak buat macam mana, Allah dah jadikan adikmu seorang ni mudah jatuh hati dengan warna hitam.. Itu sajalah persiapan raya kali ni. Alhamdulillah...

Bila saya beli belah untuk raya ni bukan bererti saya me;upakan Ramadhan dan berlebihan menyambut Syawal.. Tidak sama sekali.. Ramadhan tetap dirai..dengan ibadah kepadaNYA..Di samping itu, Syawal tetap dinanti tanda kemenangan kita menahan nafsu dan godaan selama sebulan.. Dan berharap agar terus istiqomah...terus ke bulan-bulan berikutnya.. InsyaAllah.. Allahumma Amin Ya Lathif..


Thursday, August 11, 2011

Rezeki Ramadhan..

Alhamdulillah..bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi kesempatan menikmati Ramadan yang penuh barokah ini.. Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah 11 hari kita berpuasa. Pantasnya masa berlalu..masih banyak masa yang disia-siakan.. Tapi azam untuk khatam al-Quran masih tebal.. Cuma tak berkesempatan nak bertadarus di masjid sebab jauh daripada taska.. Belum ada rezeki.

Ramadhan kali ini disambut dalam 2 situasi berbeza.. Di rumah bersama keluarga.. Di taska bersendirian.. Dua suasana yang berbeza namun nikmatnya Ramadhan masih mampu dirasai.. Di rumah..memang meriah. Yelah, berbuka dengan 12 ahli keluarga dengan ragam anak-anak saudara berbuka puasa memang menghiburkan hati. Walaupun penat namun segalanya hilang disebalik wajah gembira mereka kerana berjaya melaksanakan puasa pada hari itu..

Di taska.. banyak mengajar saya erti sabar.. Sabar tatkala mengadap makanan sendirian sekaligus menyapa keinsafan di hati.. Betapa beruntungnya saya..walaupun berbuka sendirian masih diberikan nikmat rezeki yang melimpah ruah. Di saat yang lain tidak punya apa-apa..saya pula terpaksa menolak pemberian jiran kerana tidak mampu menghabiskan makanan yang ada.. Daripada terbuang, lebih baik diberikan pada jiran yang lain mahupun dihabiskan oleh anak-anak mereka. Tidak sanggup mengtongsampahkan juadah berbuka puasa..

Sudah menjadi kebiasaan, sedari kecil mak selalu mengajar kami erti berkongsi apa yang ada dengan jiran tetangga.. Saya tak lepaskan peluang mengamalkan apa yang diajar mak di sini. Seiap minggu sekurang-kurangnya sekali saya akan masak lebih dan hantar ke rumah jiran-jiran. Yelah, asyik mereka saja yang hantar makanan ke saya… bak kata pepatah.. orang berbudi kita berbahasa.. Minggu lepas saya masak bubur pulut hitam seperiuk besar.. Minggu ni pula saya masak nasi lemak dan sambal udang.. Alhamdulillah..banyak mana saya masak tak pernah kurang tak pernah lebih. Semuanya cukup-cukup bahagi sama rata dengan 9 jiran yang ada (saya duduk di apartmen, so ramai la jiran).

Bila hantar makanan, saya terpaksa pesan..tak payah balas ye. Sebabnya…kalau 9 orang balas apa yang saya beri..bayangkanlah, macam mana saya nak habiskan??? OOHoh, nampaknya rencana diet saya musnah lagi tahun ini.. Memang tak sopan rasanya bila terpaksa menolak pemberian orang tapi saya tak mampu nak menghadap juadah yang terlalu banyak.

Alhamdulillah..semuanya berkat ramadhan.. Rezeki melimpah ruah.. Wang gaji pun dapat dijimatkan. Kalau dulu sesaknya nak kumpul 50 dalam masa sebulan.. Tapi sekarang Allah beri saya rezeki yang lain. Duit lebih boleh masuk tabung masjid. Ooohoh..

Hm..nak kongsi sikit ni… kembali bab berkongsi juadah… Alangkah besarnya ganjaran bagi mereka yang menyediakan juadah  untuk berbuka puasa.. Rasulullah s.a.w berpesan.. untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya “(Tirmidzi dan Ibn Majah)

Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa.

Jadi apa lagi?? Jangan lepaskan peluang mendapat lebih banyak ganjaran di bulan Ramadhan ini.. Rajin-rajinlah ke dapur ya!

Monday, August 1, 2011

Kelebihan Ramadhan...

Entri kali ini sekadar copy paste daripada Blog Layarminda2... Sekadar untuk perkongsian bersama... semoga memberi manfaat.. InsyaAllah.







KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.


Sembang-sembang Ramadhan...

Assalamualaikum WBT...
Alhamdulillah..syukur pada Allah kerana dipertemukan dengan Ramadhan..

Hari ni berakhirnya hari pertama Ramadhan.. Alhamdulillah.. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik berbanding Ramadhan seterusnya..Di samping mempertingkatkan amalan dengan membaca al-Qur'an (berusaha untuk khatam).. Bulan Ramadhan kali ini jugalah sebenarnya bulan untuk kami sekeluarga mempereratkan lagi hubungan.. Yelah, sahur bersama..berbuka puasa bersama.. Terselit juga kenangan di hari pertama berpuasa ni..

Bangun pukul 4.00 pagi. Terlewat sikit, nasib baik dah masak nasi malam tadi. Terus tumis sayur buncis..Tumis ikan bilis goreng dengan bawang dan cili api.. dan last sekali goreng ayam untuk budak2. Oh ya, pagi-pagi ni kami tak makan lauk yang comoplecated. Tak ada gulai ke..asam pedas ke.. sebab memang akan dipandang sepi saja la.. Yang laju mesti ikan bilis berlada ni. Abah memang bersahur pukul 4.30 sebab pukul 5 dia dah ke masjid. Sebab tu kami sahur awal.. Walaupun disunatkan melewatkan sahur. Tapi dekat-dekat nak imsak tu kami makan la kurma... (yang ni buat saya terkulat-kulat). Lepas sahur terus kemas dapur, basuh baju dan buat kerja rumah... Jadi tengah hari tak lah penat sangat.

Bila nak uruskan diri sendiri memang mudah, tak perlu sangat nak fikirkan soal juadah sahur dan berbuka..makan saja apa yang ada. Tapi bila ada 14 mulut yang nak disuapkan..nak tak nak bila pukul 1 lebih, dah mula risau..Buka puasa apa ya hari ini. Lebih-lebih lagi ada 2 mak buyung yang sakan mengidam nak makan itu makan ini... Ditambah lagi 6 orang askar kecil yang perlu dipancing seleranya agar tetap berpuasa.. Yang membanggakan, my "baby" Nabil yang berusia 6 tahun dah puasa penuh sehari. Syabas..Ada minta nasi ayam.. ada minta mee soto..kue teow goreng la.. popia la..karipap la..bla..bla..bla.. adoi la..
Pening punya pening nak makan apa..last-last masak saja ikut tekak sendiri.. Huuu, sapa suruh tak nak tolong kat dapur. Pukul 3 lagi dah mula siapkan bahan... Cucur udang dibancuh.. Abah bawa balik ketam..so kukus. Ada ikan sembilang den masak asam pedas. Pastu sebagai tambahan..ada la mee goreng. Macam banyak kan..kan..kan... Tapi kuantiti sedikit. Lagipun mak suruh bagi kat jiran sebelah menyebelah.. Jadi memang tak ada yang lebih dan membazir.

Anak sedara merengek juga nak ke bazaar tapi saya tak layan.. kalau nak ajak la abah diorang. Pergi juga tapi beli air je. Kalau ajak mak cik nurin dia ni...memang tinggal harapan la sebab mak cik nurin dia dah kata: tak nak pergi bazaar Ramadhan dah kali ini..

Ok la..itu untuk hari ni.. nanti ada masa sambung lagi. Oh ya..hari ni tak sempat nak tepek resepi.. InsyaAllah esok lusa saya kongsi ye.. esepi berbuka puasa..bersahur mahupun untuk hari raya nanti...InsyaAllah k.. Jumpa lagi...