Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Sunday, November 28, 2010

taubat Seorang Hamba


Bismillahirrahmanirrahim
Taubat. Satu istilah yang tidak asing di telinga. Tidak sukar untuk disebut. Tapi terlalu berat untuk dipraktikkan. Belum bicara tentang Taubat Nasuha , yang punya kaifiat tersendiri. Perlunya bangun di tengah malam. Perlu itu dan ini. Bahkan taubat sehari-hari yang perlu dijadikan rutin pun masih ramai yang tenggelam timbul.

Soal taubat terkadang menjadi isu sensitif. Terkadang menjadi amalan bermusim. Tika dan masa tertentu sahaja. Taubat terkadang hanya difokuskan kepada mereka yang melakukan kesalahan seperti berzina, minum arak, membunuh dan mencuri. Taubat terkadang difahami hanya dalam konteks 'pergi ke Mekah' dan sebagainya.

Perlu diingat, orang yang tidak bertaubat mahupun beristighfar dari dosa2nya setiap hari adalah golongan manusia yang angkuh dan sombong. Sedangkan Nabi punya istighfar secara istiqamah setiap hari, apatah lagi kita. Istighfar adalah memohon ampun. Memohon ampun tidak sempurna tanpa taubat. Taubat pula ada prasyarat.

Pertama, perlu tinggalkan segala dosa dan maksiat yang telah atau sedang dilakukan

Kedua, benar2 menyesal dan insaf atas kesalahan tersebut

Ketiga, berazam bersungguh2 untuk tidak mengulangi kesalahan dan maksiat yang dilakukan

Apa yang menyukarkan adalah apabila gagalnya seseorang itu melengkapi prasyarat di atas. Maka segala istighfar dan taubatnya menjadi 'kosong' dan tawar. Hakikatnya, bukan senang untuk tampil di hadapan Allah dengan melengkapi kesemua syarat di atas. Sering terjadi, insaf hanya bermusim. Ada ketika hati lembut dan insaf, ada ketika kembali kebal dan bebal.

Perkara yang sering terjadi juga adalah merasa putus asa dan lemah semangat apabila taubat yang pada awalnya dilakukan dengan bersungguh2 , kemudiannya gagal dijaga dengan baik. Akhirnya terjebak kembali dalam maksiat dan kejahatan. Untuk bertaubat kali seterusnya, hati menjadi kurang yakin. Bila taubat seringkali gagal, rasa putus asa mula bertandang.

Renungkanlah Firman Allah dalam Surah Yusuf :

" Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah "

Bilamana timbul soalan " Allah sudi lagi ke terima taubat aku..?" , maka ingatlah pula kepada satu firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi :

" Aku di sisi sangkaan hamba2Ku , maka sentiasalah bersangka baik padaKu "

Namun tidak bermakna 'kebaikan' Allah itu boleh dipermainkan. Sifat Maha Penyayang Allah tinggi, namun azabnya juga sangat berat.


Motivasi untuk bertaubat


Bukan mudah bagi mereka yang berada dalam kemaksiatan untuk kembali bertaubat. Kadang2 mereka terpanggil juga untuk berubah dan insaf , lantaran fitrahnya manusia itu suci dan bersih , tetapi faktor2 di atas adalah antara faktor yang kuat mengganggu hati2 mereka.


Justeru saya simpulkan persoalan ini secara ringkas.

Siapa perlu bicara tentang Taubat?
Jawapannya , semua orang, tetapi yang melakukan kesalahan dan maksiat bertaraf Dosa Besar adalah lebih aula dan utama untuk bertaubat.

Adakah taubat yang dilakukan kemudian gagal kemudian dilakukan lagi, kemudian gagal lagi - akan diterima oleh Allah?
Jawapannya, Allah akan menilai sejauh mana keikhlasan kita ketika bertaubat dan sejauh mana 'kesudian' kita apabila kembali semula kepada maksiat tersebut. Namun bagi kita, bersangka baik terhadap Allah tetap perlu ditanam dan dipasakkan dalam hati.

Adakah patut berputus asa untuk terus bertaubat buat kali seterusnya?
Jawapannya tidak , bahkan berputus asa dari rahmat Allah adalah haram dan berdosa.

Adakah perlu bertaubat walaupun belum bersedia?
Jawapannya , taubat sedemikian akan menjadi bahan permainan, dan mempermainkan taubat juga adalah haram.


Kesimpulannya :

Seorang yang ingin menghadirkan diri di hadapan Allah , memohon keampunan Allah, menginsafi kesalahan diri, terlebih dahulu perlu menyucikan diri secara zahir dan batin. Tidak seharusnya seseorang itu mengatakan kesediaan untuk bertaubat sedangkan di hatinya belum berikrar dan berazam serta benar2 menyesal untuk tidak mengulangi dosa dan maksiat tersebut.

Bukan bermakna seseorang itu perlu benar2 bersih dan hilang kesemua dosanya baru boleh bertaubat. Tetapi yang dihighlightkan adalah tentang kesediaan dan keyakinannya sebelum bertaubat. Bertaubatlah kiranya anda sedang 'on track' untuk benar2 berubah.

Tapi sekiranya tidak, taubat yang dilafazkan hanya akan menjadi sia2. Justeru kiranya anda tidak mampu meninggalkan sesuatu maksiat kerana sebab2 tertentu, maka menjadi WAJIB untuk anda mencari jalan bagi membolehkan anda bebas dari maksiat tersebut. Kiranya anda yakin mampu bebas dari sesuatu maksiat dengan memilih jalan2 tertentu, maka WAJIB bagi anda mengambil jalan tersebut terlebih dahulu. Sebagaimana wajibnya taubat atas anda, begitu jugalah wajibnya anda mencari jalan untuk menyempurnakan taubat anda.

Sekadar perkongsian

Irsyadee feat. Hafiz Hamidun Taubat Seorang Hamba Video Clip

Besarnya Cinta Allah Kepada Manusia

Tahukah anda, bahawa fenomena yang sedang berlaku pada hari ini, di mana ramainya manusia memuja cinta manusia , adalah disebabkan jahilnya mereka dari mengenal Cinta Allah? Benar, mereka solat dan berpuasa, mereka menutup aurat dan sangat menjaga, tetapi mereka tidak merasai mahalnya Cinta Allah sehingga akhirnya mereka tewas kepada cinta palsu sang manusia.

Pertama : Allah memberi, manusia meminta

Bukti pertama adalah, Cinta Allah itu sifatnya memberi, sedangkan cinta manusia banyak meminta. Sejak anda lahir ke dunia, sebelum anda mampu memberi, anda telah pun menerima. Anda menerima nikmat yang begitu banyak. Tidak perlu disenaraikan, cukup disebut tentang oksigen sahaja, di mana sehingga ke hari ini anda tidak putus2 menerima nikmat tersebut. Sedangkan manusia, usahkan oksigen, sehela nafas pun tidak mampu mereka berikan kepada anda. Sebaliknya, mereka pula yang meminta itu dan ini daripada anda.

Kedua : Allah kekal, manusia binasa

Sehebat mana pun anda bercinta di dunia, ianya tetap di dalam satu tempoh yang bakal menemui pengakhirannya. Lebih malang lagi jika cinta tersebut hanya bersandarkan kasih sayang insan semata2, maka seusai nafas terakhir dan berpindahnya anda ke alam barzakh, maka habislah cinta anda di situ. Tetapi Cinta Allah tiada mula dan tiada akhir. Cinta Yang Maha Kekal akan menjanjikan kebahagiaan yang kekal kepada anda selepas berakhirnya hayat singkat anda di dunia.

Ketiga : Allah sentiasa bersama, manusia hanya seketika

Rencah kehidupan menjanjikan sedih dan gembira sebagai teman setia anda. Tika bercinta juga begitu. Tetapi rapuhnya cinta manusia, sifatnya hanya selesa dan indah ketika keadaan senang dan bahagia. Namun ia tidak akrab ketika anda dilanda musibah atau bencana. Jarang manusia saat ditimpa ujian hidup dan tersepit akan mengadu pada kekasih bernama manusia, tetapi banyak sekali yang akan merintih pada Yang Maha Esa. Ajaibnya, walau tika gembira anda lupakan Dia, tetapi saat anda bersedih pun Dia tetap ada untuk mendengar kepada anda. Lalu anda akan merasa , betapa dekatnya Dia berbanding dia yang anda cinta.

Keempat : Cinta Allah tiada nilainya

Anda boleh membina satu bangunan umpama mahligai sebagai tanda cinta anda pada manusia, anda juga boleh memikat bahkan 'membeli' cinta manusia dengan harta serta wang ringgit yang anda ada, tetapi Cinta Allah tiada nilaiannya. Bahkan amal ibadah anda walau sehebat mana di dunia, belum tentu mampu untuk ditukar dengan syurga Allah di akhirat sana. Apatah lagi kalau anda hendak merebut Cinta Allah dengan material yang anda miliki, jauh sama sekali. Kerna Cinta Allah tersangat mahal, ukurannya jauh melangkaui batas nilaian lemah manusia.

Kelima : Tanpa Cinta Allah, manusia tiada cinta

Bahkan, bukti paling utama adalah, sekiranya Allah tidak menciptakan 'cinta' dalam diri anda, sehingga hari ini tiada seorang pun manusia yang kenal apa itu 'cinta'. Tetapi kerana Cinta Allah, Dia ciptakan cinta dalam diri manusia. Anehnya, kenapa pula manusia mengambil cinta itu sehingga membelakangkan Cinta dari Sang Penciptanya?

Sebenarnya banyak lagi bukti yang boleh anda cari, di mana akhirnya anda akan temukan nilaian hidup anda dalam alam yang bakal binasa ini. Berhentilah menghambakan diri anda pada cinta manusia dan berhentilah jua menagih cinta rapuh dari sang manusia semata2, tetapi berusahalah untuk mengenal Cinta Yang Maha Esa. Hakikatnya, orang2 yang benar2 beriman kepada Allah akan bersangatan rasa Cintanya pada Allah ta'ala. Jauh melangkaui sempadan cinta manusia yang terkadang penuh dengan curiga dan syak wasangka.

Ketahuilah, bahawa bila anda tersilap 'berkenalan' dengan cinta dan bukannya Cinta, maka hala tuju hidup anda juga akan semakin kabur dan suram dari cahaya. Dek kerana itu, kita perlu selalu ingat mengingatkan sesama kita. Bercinta tidak salah, kerana kita menghargai nikmatnya cinta, tetapi perlu dipastikan bahawa Cinta tetap di tempat paling utama. Barulah hala tuju cinta anda kekal di atas landasan yang sepatutnya.

Anda boleh tulis beratus2 cerpen dan berpuluh2 madah apabila berbicara tentang cinta, tetapi satu cerpen pun belum tentu mampu anda tulis untuk menggambarkan indahnya Cinta Yang Maha Esa. Lemahnya iman kita bila berbicara soal Cinta berbanding cinta...

Saturday, November 27, 2010

Solatlah Kamu Sebelum kamu Disolatkan


Hadis-hadis dibawah ini pula menceritakan betapa pentingnya solat kepada kita sebagai umat Islam dan kelebihan orang yang menunaikan solat. Jadi SEMBAHYANGLAH KAMU SEBELUM KAMU DISEMBAHYANGKAN
1- Amalan Membawa Ke Syurga
Daripada Abu Umamah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Bertakwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu; nescaya kamu memasuki syurga Tuhan kamu."
( Riwayat al-Tirmizi )
Keterangan:- Dikhususkan amalan dengan perkataan ‘kamu’ agar terdapat kesesuaian antara perkataan yang berkaitan dengan balasan iaitu ’syurga tuhan kamu’ . Juga dapat dilangsungkan akad jual beli antara hamba dan Tuhannya, sebagaimana yang difirmankan Allah s.w.t. (bermaksud): "Sesungguhnya Allah membeli daripada orang mukmin akan diri mereka." (Surah al-Tawbah: 111)
(Tuhfah al-Ahwazi)
2- Amalan Pertama Dihisab
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
Keterangan:- Dimaksudkan disini ialah hamba yang muslim dan amalan berkaitan hak Allah
-Perkara yang pertama yang dihisab pada hamba Allah yang kafir ialah iman. Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya perkara pertama seorang hamba Muslim dihisab pada hari kiamat ialah solat fardu."
- Disebut didalam hadis ini ‘hamba yang muslim’. maka terkecualilah hamba yang kafir. Perkara pertama berkaitan dengan hak manusia yang pertama dibicarakan ialah kezaliman dikalangan hamba yang melibatkan penumpahan darah. Rasullullah s.a.w. bersabda: "Perkara pertama yang dibicarakan antara manusia ialah perkara yang melibatkan darah."
(Adaptsi Syarah Sunan Ibn Majah)
3- Kesan Wuduk
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wuduk. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wuduknya, maka lakukanlah."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
4- Berwuduk Dan Bersiwak
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan perintahkan umatku berwuduk pada setiap kali solat dan bersiwak pada setiap kali wuduk."
( Riwayat Ahmad )
5- Menyempurnakan Wuduk Dan Doa Selepasnya
Daripada Uqbah bin Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak seorang pun daripada kamu yang berwuduk dan melebihkan basuhannya kemudian berdoa: "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba Allah dan utusan-Nya"; melainkan dibukakan untuknya lapan pintu syurga, ia boleh memasukinya melalui pintu yang ia kehendaki."
( Riwayat Muslim )
6- Solat Sunat Selepas Berwuduk
Daripada Uqbah bin Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang berwuduk dengan cara yang baik, lalu mendirikan solat dua rakaat, sambil melakukan kedua-dua perbuatanini dengan hati yang khusyuk dan perwatakan merendah diri; melainkan wajib baginya syurga."
( Riwayat Muslim )
7- Tempat Yang Disukai Dan Dibenci
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tempat yang paling disukai Allah ialah masjid. Tempat yang paling dibenci Allah ialah pasar."
( Riwayat Muslim )
8- Mendirikan Masjid Kerana Allah
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mendirikan masjid kerana Allah, nescaya Allah binakan untukknya rumah di syurga."
( Riwayat Muslim )
9- Membanyakkan Masa Iktikaf Di Masjid
Daripada Abu al-Darda’ r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla memberi jaminan kepada orang yang menjadikan masjid seperti rumahnya akan keamanan dan melepasi titian Sirat pada hari kiamat."
( Riwayat al-Bazzar )
10- Berjalan DiDalam Gelap Menuju Ke Masjid
Daripada Buraidah bin al-Husaib al-Aslami r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid, dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat."
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
11- Berulang-alik Ke Masjid
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang Allah akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
12- Kelebihan Solat Berjemaah
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
13- Kelebihan Doa Diantara Azan Dan Iqamat
Daripada Anas bi Malik, Nabi s.a.w. bersabda: "Doa tidak ditolak diantara waktu azan dan iqamat
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
14- Doa Selepas Azan
Daripada Jabir bi Abdullah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang berkata (berdoa) selepas mendengar azan: "Ya Allah, Tuhan bagi seruan (tauhid) ini yang sempurna dan solat yang didirikan; berikanlah kepada Muhammad kedudukan dan kelebihan yang tinggi, dan tempatkanlahnya ditempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan"; maka ia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat."
( Riwayat al-Bukhari )
15- Doa Masuk Dan Keluar Masjid
Daripada Abu Humaid r.a., atau Abu Usaid r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila kamu masuk kedalam masjid maka berdoalah: ‘Ya Allah, bukakanlah untukku pintu rahmat-Mu’. Apabila ia keluar berdoalah: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kelebihan daripada-Mu.’"
( Riwayat Muslim )
16- Solat Tahiyatul Masjid
Daripada Abu Qatadah al-Sulami r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila kamu masuk kedalam masjid maka dirikanlah solat dua rakaat sebelum duduk."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
17- Kedudukan Imam Dan Muazzin
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Seorang imam adalah penjamin, dan muazzin adalah orang yang diamanahkan. Ya Allah! berilah petunjuk kepada para imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan."
( Riwayat Abu Daud dan al-TIrmizi )
Keterangan:- ‘penjamin’ menjaga dan memelihara kesahihan soalt makmum
- ‘orang yang diamanahkan’ amanah dengan waktu-waktu solat.
18- Berterusan Mendapat Ganjaran Solat
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Seseorang hamba berterusan mendapat ganjaran solat selagi mana ia berada di tempat solatnya (menanti untuk menunaikan solat)
( Riwayat Muslim )
19- Melintasi Orang Sedang Solat
Daripada Abu Juhaim r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya seseorang yang melintasi di hadapan orang yang sedang solat mengetahui dosa yang akan menimpanya, nescaya ia berdiri disitu selama ‘empat puluh’ adalah lebih baik daripada melintasi dihadapan orang itu."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Abu Nadhr, salah seorang perawi hadis ini berkata: "Aku tidak mengetahui sama ada Nabi s.a.w. mengatakan: Empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun."
-Haram melintas dihadapan orang yang sedang solat tanpa penghadang.

Mak Yang Cakap...

Dah lama tak balik kampung sejak berhijrah ke UTM Skudai. Ada la dalam 2 minggu lebih. Padahal bukan jauh sangat pun rumah dengan UTM, tapi kos perjalanan pergi balik yang makan lebih kurang 40-50 ringgit buat saya kena fikir dua tiga kali juga nak balik.

Sampai rumah, budak-budak dah menyerbu. Seronoknya dapat jumpa nabil dan Aliya sebab dah sebulan lebih tak jumpa mereka. nabil dah makin tinggi (tak padan umur 5 tahun) tapi badan tetap sekeping. Tak lepas dia peluk mak ciknya ni. Terasa benar rindunya pada saya.

Lepas tu ke dapur cari mak.. Peluk, salam.... cium mak.. Nak tahu apa mak kata? Nak tahu tak? Ahaks.. Suka sangat nak bagi tahu ni. Mak cakap kan.. kan... kan...

"Aik, kenapa dah kurus?"

Haha.. nak tahu tak perasaanku ketika itu? Rasa macam nak terbang, hati berbunga carnation. (kalau dulu dalam hati ada kaktus). Perghhh...sukanya... mak  cakap den kurus! (Cehh, padahal turun sikit je berat badan!)
Tak pe, kata-kata mak aku jadikan motivasi untuk terus berusaha menurunkan berat badan lagi. nak membuktikan kata-kata mak, saya bongkar almari..cari sehelai baju yang dulunya agak muat-muat. Dengan lafaz bismillah..saya menyarungkan jubah itu kle badan.. Tadaaaa!!!!!!! Muat dan ada lebih! Yes!! Itu bermakna???? Ahaks..berbunga orkid dah hati ni..

Apa pun.. teruskan usaha.. 65, 65.... kih..kih.. Selalu terngiang-ngiang kat telinga.. Apa lagi menari-nari di mata nombor keramat itu. InsyaAllah, akan kuteruskan perjuangan ini.  Cehh!.

Doa Dipermudahkan Bertemu Jodoh


Berikut adalah kompilasi beberapa amalan dan doa yang yang boleh anda amalkan bagi dipermudahkan untuk bertemu jodoh. Namun setiap ketentuan itu datangnya daripada Allah s.w.t., dan kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal kepada-Nya… Mudah-mudahan dengan setiap amalan dan doa yang dilakukan ini akan memudahkan anda untuk mendapat jodoh yang beriman dan terbaik untuk diri anda. Yang pentingnya, jangan sekali-kali putus asa untuk berdoa…Wallahualam…
1.  Amalkan membaca doa Nabi Zakaria a.s. (surah Al-Anbiya, ayat 89)
Yang bermaksud:
“Dan (ingatlah kisah) Zakariya, tatkala ia menyeru Tuhannya ‘ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkau adalah Waris Yang Paling Baik’.”(QS. Abiya/ 21: 89)
Selain itu, adalah lebih baik juga jika anda lanjutkan doa tersebut dengan doa berikut ini:
“Ya Allah… Cukuplah Engkau saja yang menjadi pemeliharaku di dunia dan akhirat kelak. Dengarkanlah rintihan hamba-Mu yang dhaif ini. Jangan Engkau biarkan aku sendirian di dunia ini maupun di akhirat kelak. Sebab itu menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran. Maka, kuruniakanlah aku seorang pasangan yang beriman, supaya aku dan dia dapat membina kesejahteraan hidup ke jalan yang Engkau redhai. Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh, Amin… Amin… Ya Rabbal Alamin.”
2.  Amalkan ayat 131 dan 132 daripada Surah Toha selepas solat setiap solat fardu, bermula dari :
“Walaa tamuddanna’ainaika illa ma mata’na bihi azwajanminhum zahratul hayattu linaftinahum fiih, warizqo robbikaa hairu wa abqa, wa’ mur ahlakaa bisSolaati,wastabir ‘alaiha, laa nas aluka rizqo, nahnu narzukuqa, wal’aqibati lit taqwa…….”
Ertinya:
“Jangan lah pandangan mata kamu terpesona melihat perhiasan kehidupan (yang Kami beri kepada orang2 kafir) yang menjadi ujian padanya. Dan rezeki kurniaan daripada tuhanmu (Allah) itulah lebih baik dan kekal(balasan Syurga). Dan suruhlah /arahkan ahlimu (keluarga dan anak2 serta org terdekat) mengerjakan solat, dan bersabarlah kamu atas perkara itu. Tidak lah Kami minta rezeki dari mu, tetapi Kamilah (Allah) yang mengurniakan rezeqi kepadamu dan ‘akibat kesudahan baik itu adalah bagi mereka yang bertaqwa”
3. Perbanyakkan amalan membaca selawat Nabi Muhammad s.a.w seperti di bawah ini. Hendaklah dibaca paling minimum 1000 kali dalam sehari semalam. InsyaAllah doa anda akan termakbul oleh Allah SWT.
“Allahumma shalli wasallim ëalaa sayyidinaa Muhammad. Waíalaa aali sayyidinaa Muhammad.”
Ertinya:
Ya Allah, semoga kesejahteraan dan keselamatan tercurah kepada junjungan Nabi Muhammad saw., dan segenap keluarga beliau.
4. Doa bagi mendapat bakal isteri yang baik – amalkan membaca surah al-Furqan, ayat 74
Yang bermaksud:
“Ya Tuhan kami, anugerahlah kami, isteri kami dan keturunan kami, sebagai penyayang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertakwa (Muttaqin)”
5. Baca Surah Yusuf, ayat 4 pada semangkuk atau segelas air, kemudian sapu air itu pada muka. InsyaAllah doa akan dimakbulkan.
6. Cubalah membaca Surah Yusuf pada sebekas air yang bersih sebanyak 3 kali pada malam Jumaat. Gunakan air itu untuk mandi pada tiga pagi berturut-turut dan diminum 7 kali setiap hari selama tiga hari berturut-turut. InsyaAllah doa akan dimakbulkan.
7. Amalkan membaca surah Yassin pada setiap malam. Sebelum membaca, niatkan di dalam hati supaya Allah SWT menyegerakan jodoh, memberikan jodoh yang terbaik dan beriman untuk anda.
8. Surah al-Fatihah juga mengandungi banyak faedah dan keberkatan jika sentiasa diamalkan. Salah satu kebaikan yang datang daripadanya ialah dikurniakan jodoh. Amalkan membaca surah ini sebanyak yang mungkin sambil berniat diberikan jodoh yang baik dan beriman kepada Allah SWT.

Friday, November 26, 2010

Walimah Abang

Seminggu saja lagi abang rudi akan bertukar status.. Saat ini, rumah memang kelam kabut. Sibuk dengan persiapan perkahwinan abang. Adik beradik yang lain dah mula berkumpul. buat abang rudi.. "selamat pengantin baru". Mungkin titipan ini boleh menjadi satu panduan buat abang,



Perkahwinan itu bukan hanya menghalalkan apa yang haram dilakukan oleh seorang lelaki dan wanita, tetapi hakikat kepada perkahwinan itu adalah perkongsian hidup, amanah dan tanggungjawab untuk membawa seluruh isi keluarga sama ada menuju ke syurga atau neraka. Kerana janji Allah itu pasti, kematian itu menanti, seksa kubur itu benar, syurga dan neraka itu ada, dan di situlah destinasi terakhir manusia. Kerana Allah telah berfirman :

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah at-Tahriim: ayat 6)

Tatkala lafaz “aku terima nikahnya” disahkan oleh para saksi, bermulalah perkongsian kehidupan di mana kita mempertaruhkan baki umur yang dipinjamkan oleh Allah Yang Maha Penyayang sama ada digunakan dengan sebaiknya atau sebaliknya. Kerana itulah persediaan kepada sebuah perkahwinan yang diredhaiNya, membina baitul muslim amat-amat diperlukan. Dunia remaja hanya sekali, ia bukan untuk seronok-seronok kerana yang ‘hanya sekali’ itu tak kan datang lagi. Andai tidak dipenuhkan dengan ilmu dan membina jati diri bersulamkan taqwa, pasti penyesalan yang akan menanti di kemudian hari.

Membina Baitul Muslim menjadi impian saya dan tentu juga kalian. Apakah Baitul Muslim? Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai ALLAH, keperluan mencari isteri atau suami yang diredhai ALLAH, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan ALLAH, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat. Subhanallah indahnya =) 
Saat mendengar penceramah berbicara mengenai peranan suami dan isteri, pengurusan masa, wang dan ekonomi, pengurusan stress dan konflik, namun amanah menjadikan zuriat seorang yang ‘menjadi’ masih terletak di tangga nombor satu di hati saya. Anak adalah amanah daripada Allah dan kelak Allah akan bertanya setiap penanggungjawaban ke atas amanah tersebut sama ada kita telah memeliharanya atau mensia-siakannya.

“Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya. Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya.” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Luqman Al-Hakim adalah salah satu contoh seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya. Allah sendiri telah merakamkan nasihatnya kepada anaknya:
“Wahai anak kesayanganku, jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah (untuk dihakimi atau dibalasNya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya, lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman: ayat 16)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan dan laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki mengambil berat melakukannya.” (Surah Luqman: ayat 17)

Jelas di sini Luqman seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya dalam mendidik zuriatnya. Wahai anak kesayanganku, wahai anak kesayanganku Luqman memulakan bicaranya, lembut dan bermakna sungguh nasihatnya buat permata hatinya. 
Setiap orang mengimpikan keluarga yang penuh dengan mawaddah, sakinah dan rahmah. Begitu juga saya dan semestinya kalian juga. Jika kita ingin jadi orang yang pertama sampai ke garisan penamat dalam larian 100 meter, sudah tentu kita perlu kepada latihan dan berlari dengan bersungguh-sungguh di hari pertandingan. Begitu juga dengan impian untuk memiliki sebuah keluarga yang penuh mawaddah, sakinah dan rahmah, ia haruslah bermula semenjak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumahtangga. Apabila batas pergaulan dipelihara dan keberkatan pertunangan dijaga, mudah-mudahan dengan kasih-sayang Allah, rumahtangga yang bakal dibina mendapat rahmatnya. Anak-anak pula menjadi dan mudah dididik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”( Surah al Furqan ayat 74 )

Kita selalu melafazkan doa seperti di atas, meminta agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang soleh ataupun solehah, apabila melihat kepadanya sejuk mata memandang, dingin kalbu merasakan. Tapi, renunglah kembali ke dalam diri, tanyakan pada diri, adakah kita telah berusaha ke arah itu ? Bukan sekadar meminta tapi berusaha memperbaiki peribadi diri (peringatan untuk saya juga). Anak-anak umpama pucuk manakala ibu dan bapa umpama akar. Jika akar telah rosak, manakan pucuk akan tumbuh dengan baik? 

Anak-anak adalah harta yang paling berharga bagi ibubapa untuk kebahagiaan di akhirat sana. Apabila nafas kita terhenti, apa lagi yang kita harapkan selain doa daripada anak-anak. Hanya doa anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat menerangi alam kubur kita selain daripada ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Alangkah bahagianya kita jika anak-anak kita membesar menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang dalam dirinya penuh dengan cinta kepada agama.

Sebesar hasrat kita, maka sebesar itulah kita perlu merancang. Perancangan yang teliti akan perihal didikan anak-anak sedari kecil lagi perlu dibuat oleh pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga. Kata-kata ini selalu mengingatkan saya, “kita telah membawa mereka lahir ke dunia, tapi bagaimana pula dengan pek bekal iman untuk mereka dihantar ke masa hadapan yang penuh cabaran?” ye..masa hadapan yang penuh cabaran..yang ketika itu kita telah tua..atau mungkin juga kita telah tiada lagi di dunia ini..masa hadapan itu yang penuh cabaran..

Allah telah berfirman yang bermaksud: 

“Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir.”(Surah Al-An’am : ayat 32)

Peringatan untuk diri saya sendiri dan kalian..
1.jika mahu anak-anak yang soleh dan solehah, berusahalah untuk menjadikan diri kamu soleh dan solehah dahulu (^_^) 
2.sentiasa ingat bahawa anak adalah amanah Allah yang akan ditanya di akhirat kelak.

Jagalah batasan pergaulan selagi syariat tidak menghalalkan. Jauhilah perkara yang melalaikan agar hati sentiasa ingat pada Tuhan. Moga saya dan kalian dikurniakan teman hidup yang soleh ataupun solehah dalam membentuk baiti jannati =)


Adik doakan yang terbaik buat abang. maaf, adik tak mampu nak hadiri majlis abang. Mungkin keluarga dan yang lain tak tahu, asbab sebenar adik tiada pada hari itu. Maaf, bukan niat adik untuk tidak berada di samping kalian menjadi saksi momen indah itu. Namun adik tak mampu. Biarlah... Hanya Allah yang mengetahui apa yang tersurat. Memang hati adik redha.. Namun luka itu masih ada. Tak mengapalah..hadirnya adik atau tidak tak membawa apa-apa kepentuingan. majlis tetap berlangsung bukan? Apa pun.. Adik sayang abang adik ni.