Tahukah anda, bahawa fenomena yang sedang berlaku pada hari ini, di mana ramainya manusia memuja cinta manusia , adalah disebabkan jahilnya mereka dari mengenal Cinta Allah? Benar, mereka solat dan berpuasa, mereka menutup aurat dan sangat menjaga, tetapi mereka tidak merasai mahalnya Cinta Allah sehingga akhirnya mereka tewas kepada cinta palsu sang manusia.
Pertama : Allah memberi, manusia meminta
Bukti pertama adalah, Cinta Allah itu sifatnya memberi, sedangkan cinta manusia banyak meminta. Sejak anda lahir ke dunia, sebelum anda mampu memberi, anda telah pun menerima. Anda menerima nikmat yang begitu banyak. Tidak perlu disenaraikan, cukup disebut tentang oksigen sahaja, di mana sehingga ke hari ini anda tidak putus2 menerima nikmat tersebut. Sedangkan manusia, usahkan oksigen, sehela nafas pun tidak mampu mereka berikan kepada anda. Sebaliknya, mereka pula yang meminta itu dan ini daripada anda.
Kedua : Allah kekal, manusia binasa
Sehebat mana pun anda bercinta di dunia, ianya tetap di dalam satu tempoh yang bakal menemui pengakhirannya. Lebih malang lagi jika cinta tersebut hanya bersandarkan kasih sayang insan semata2, maka seusai nafas terakhir dan berpindahnya anda ke alam barzakh, maka habislah cinta anda di situ. Tetapi Cinta Allah tiada mula dan tiada akhir. Cinta Yang Maha Kekal akan menjanjikan kebahagiaan yang kekal kepada anda selepas berakhirnya hayat singkat anda di dunia.
Ketiga : Allah sentiasa bersama, manusia hanya seketika
Rencah kehidupan menjanjikan sedih dan gembira sebagai teman setia anda. Tika bercinta juga begitu. Tetapi rapuhnya cinta manusia, sifatnya hanya selesa dan indah ketika keadaan senang dan bahagia. Namun ia tidak akrab ketika anda dilanda musibah atau bencana. Jarang manusia saat ditimpa ujian hidup dan tersepit akan mengadu pada kekasih bernama manusia, tetapi banyak sekali yang akan merintih pada Yang Maha Esa. Ajaibnya, walau tika gembira anda lupakan Dia, tetapi saat anda bersedih pun Dia tetap ada untuk mendengar kepada anda. Lalu anda akan merasa , betapa dekatnya Dia berbanding dia yang anda cinta.
Keempat : Cinta Allah tiada nilainya
Anda boleh membina satu bangunan umpama mahligai sebagai tanda cinta anda pada manusia, anda juga boleh memikat bahkan 'membeli' cinta manusia dengan harta serta wang ringgit yang anda ada, tetapi Cinta Allah tiada nilaiannya. Bahkan amal ibadah anda walau sehebat mana di dunia, belum tentu mampu untuk ditukar dengan syurga Allah di akhirat sana. Apatah lagi kalau anda hendak merebut Cinta Allah dengan material yang anda miliki, jauh sama sekali. Kerna Cinta Allah tersangat mahal, ukurannya jauh melangkaui batas nilaian lemah manusia.
Kelima : Tanpa Cinta Allah, manusia tiada cinta
Bahkan, bukti paling utama adalah, sekiranya Allah tidak menciptakan 'cinta' dalam diri anda, sehingga hari ini tiada seorang pun manusia yang kenal apa itu 'cinta'. Tetapi kerana Cinta Allah, Dia ciptakan cinta dalam diri manusia. Anehnya, kenapa pula manusia mengambil cinta itu sehingga membelakangkan Cinta dari Sang Penciptanya?
Sebenarnya banyak lagi bukti yang boleh anda cari, di mana akhirnya anda akan temukan nilaian hidup anda dalam alam yang bakal binasa ini. Berhentilah menghambakan diri anda pada cinta manusia dan berhentilah jua menagih cinta rapuh dari sang manusia semata2, tetapi berusahalah untuk mengenal Cinta Yang Maha Esa. Hakikatnya, orang2 yang benar2 beriman kepada Allah akan bersangatan rasa Cintanya pada Allah ta'ala. Jauh melangkaui sempadan cinta manusia yang terkadang penuh dengan curiga dan syak wasangka.
Ketahuilah, bahawa bila anda tersilap 'berkenalan' dengan cinta dan bukannya Cinta, maka hala tuju hidup anda juga akan semakin kabur dan suram dari cahaya. Dek kerana itu, kita perlu selalu ingat mengingatkan sesama kita. Bercinta tidak salah, kerana kita menghargai nikmatnya cinta, tetapi perlu dipastikan bahawa Cinta tetap di tempat paling utama. Barulah hala tuju cinta anda kekal di atas landasan yang sepatutnya.
Anda boleh tulis beratus2 cerpen dan berpuluh2 madah apabila berbicara tentang cinta, tetapi satu cerpen pun belum tentu mampu anda tulis untuk menggambarkan indahnya Cinta Yang Maha Esa. Lemahnya iman kita bila berbicara soal Cinta berbanding cinta...
No comments:
Post a Comment