Klise - inilah yang boleh saya katakan bila mendengar orang kata tak mahu jadi hipokrit. Nak jadi diri sendiri. Tak nak tipu diri sendiri..tak nak tipu orang lain.. Maka jadilah ungkapan "Be Yourself" sebagai pegangan mereka... Amboi, bagusnya...
.
Cuba kita fikirkan kembali, sebenarnya terdapat kesilapan bagi sesiapa yang menjadikan kata-kata ini sebagai pegangan. Sekiranya perkara yang sudah menjadi kebiasaan bagi kita dan tiada kaitan dengan agama ataupun lebih jelasnya tiada ketetapan secara mutlak dalam agama, maka dalam perkara sebegini tidak mengapa jika kita ingin “be myself”. Kita bebas memilihnya mengikut selera dan aneka rasa yang ada. Contohnya seperti makanan kegemaran, warna kesukaan dan hiasan pada blog.
Sekiranya perkara itu ada kaitan dengan agama ataupun sudah ditetapkan hukumnya dalam Islam, maka perkara itu bukanlah suatu pilihan, sebaliknya ia adalah satu ketetapan, yang tidak dapat tidak mesti kita ikuti dan patuhi. Tiada pilihan lain. Contohnya seperti kewajipan menutup aurat dan solat lima waktu. Mungkin sebelum ini ada antara kita yang tersalah memilih, tetapi setelah kita ketahui mana yang benar maka perlulah kita ikuti dan amalkan.
Antara penyebar utama ‘fahaman’ ini ialah segelintir artis. Ada dalam kalangan mereka (terutamanya artis wanita) yang pergi menunaikan haji atau umrah lalu pulang ke tanah air dan ditanya, “Mengapa anda tidak bertudung seperti sebahagian artis lain yang baru pulang dari tanah suci?” Dengan tenang dan tanpa rasa bersalah mereka menjawab, “Mengapa perlu tukar itu dan ini? Saya adalah saya! Kenapa nak ikut orang lain? Saya bukannya hipokrit!” Lebih kurang begitulah reaksi mereka. Sedih kita apabila mendengar kata-kata sedemikian.
Dalam satu sumber yang dipetik penulis, hipokrit didefinisikan sebagai seseorang yang mengatakan sesuatu walaupun dia tidak bersetuju dengannya, seseorang yang berlawanan sifatnya dengan apa yang dilakukan, atau sesiapa sahaja yang mendiskriminasi orang yang melakukan perkara yang mereka sendiri melakukannya walaupun mereka menyedarinya.
Tetapi, dalam masyarakat kita dewasa ini, istilah hipokrit acapkali diterjemahkan sebagai munafiq. Adakah sama maksudnya? Jika kita merujuk kembali kitab-kitab agama, munafiq didefinisikan sebagai mereka yang yang mengaku Islam pada zahirnya, tetapi dalam hatinya dan tindak-tanduknya bukanlah seperti seorang Islam. Atau dalam bahasa yang lebih mudah ialah berpura-pura sebagai seorang Islam.
Perkara inilah yang perlu difahamkan kepada masyarakat kita umumnya, apatah lagi sesetengahnya menyalahgunakan istilah hipokrit dan munafiq ini. Tentu kita biasa mendengar ungkapan, “Biarkan apa orang nak kata pada saya, walaupun saya berpakaian macam ni, saya ni baik, iman dalam hati. Iman bukannya pada tudung, jubah, purdah, kopiah atau serban“ ataupun sebegini “Inilah diri saya, saya memang sejak kecil macam ni. Saya tak nak la jadi hipokrit dengan memakai tudung la, stokin la. Hei! Jahat sangat ke saya ni? Allah tak pandang luaran, Dia tengok hati kita. Tak semestinya berpakaian macam ni hati kotor!”Bagaimana dan kenapa masih wujud kata-kata seperti ini?. Terutamanya dalam kalangan artis dan muda-mudi umumnya. Sebenarnya mereka tidak memahami apa itu iman dan munafiq yang sebenar.
Iman berdiri dengan tasdiq bil qalb (membenarkan dengan hati), taqrir billisan (mengaku atau mengucap dengan lisan),dan ‘amal bil jawarih (amalan dan perbuatan anggota badan). Iman bukan sahaja letaknya di hati, perlu cukup perkara-perkara yang disebutkan, barulah boleh dikatakan sebagai sempurna iman. Jika tidak, jangan mudah-mudah dan senang-senang hendak mengaku hati bersih dan kuat iman.
Tapi apa yang berlaku pada hari ini ialah lahirnya para ‘mufti’ dari kalangan artis dan mereka yang terpesong. Pernah seorang ulama berkata, “Iman itu ibarat biji benih, jika benih itu elok maka akan keluarlah pohon, dedaunan serta buah-buahan yang subur dan mekar. Tetapi, jika benih itu buruk maka sebaliknyalah hasilnya…”
Apa pula yang dimaksudkan dengan munafiq? Adakah mereka yang sejak kecil jahat kemudian melakukan perubahan kepada kebaikan itu dikatakan sebagai munafiq? MasyaAllah! Sungguh terpesong mereka yang berfikiran sedemikian. Munafiq ialah mereka yang mengaku Islam tetapi amat membencinya. Mereka ini lebih teruk daripada orang kafir kerana mereka adalah musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan ular dalam semak. Jadi, adakah mereka yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam dianggap munafiq?. Ini merupakan persoalan yang perlu ditanya pada diri dan dikaji secara mendalam.
Sebahagiannya pula ada yang berkata, “Buat apa nak pakai tudung kalau tidak ikhlas? hipokrit!! lebih baik free hair je!!” Sebenarnya, ikhlas adalah sesuatu yang cukup susah untuk kita mendapatkannya. Kata sebahagian ulama, “Ikhlas adalah ibarat seekor semut hitam yang kecil berada di atas batu hitam dalam sebuah gua yang gelap pada waktu malam gelap gelita.” Lihatlah! betapa sukarnya hendak mendapatkan keikhlasan yang sejati. Sehingga begitu sekali perumpamaan yang diungkapkan.
Jika kita hendak menunggu ikhlas singgah pada diri atau bak kata sebahagian orang, “tunggu sampai seru”, maka mungkin kita tidak akan sembahyang, berpuasa, melaksanakan hudud atau menutup aurat sehingga hari kiamat. Di dalam kitab Arbain Nawawi keikhlasan atau keimanan itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu, beramal kerana Allah semata-mata, beramal kerana inginkan syurga, beramal kerana takutkan neraka.
Apakah penyelesaiannya? Untuk memupuk keikhlasan di dalam diri, memerlukan tarbiah, mujahadah, latihan dan kemahuan yang tinggi. Ia perlu dilakukan berperingkat-peringkat dan mempunyai marhalahnya yang tersendiri. Sama-samalah kita berubah,memupuk keikhlasan di dalam diri. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ditulis Oleh:
MUHAMMAD NASIRUDDIN BIN MOHD SOBRI,
Tahun 2, Azhar
Suntingan: durratul mujahid
No comments:
Post a Comment