Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Wednesday, July 28, 2010

Hijrah remaja: Remaja Mengatasi Cabaran (bhg 5)

MENGATASI CABARAN PENGARUH DALAMAN DAN LUARAN

Perkara terpenting untuk mengatasinya ialah :

1- Mempertingkatkan Keimanan
Maksudnya adalah seorang muslim perlu sentiasa merasakan dirinya dilihat dan diperhatikan oleh Allah S.W.T. Hadirkan rasa muraqabatullah dalam diri. Ingat bahawa Allah tidak pernah leka dan lalai daripada melihat apa yang kita lakukan dan mendengar setiap apa yang kita katakan. Firman Allah S.W.T :รถ

7. Tidakkah Engkau memikirkan, Bahawa Sesungguhnya Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan ada Yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan ada Yang keenamnya, dan tiada Yang kurang dari bilangan itu dan tiada Yang lebih ramai, melainkan ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian ia akan memberitahu kepada mereka – pada hari kiamat – apa Yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Mujadalah, ayat 7)

Jika keimanan ini dapat diterap dan ditanam di dalam hati, nescaya segala pengaruh negatif tidak akan mampu memberi kesan kepada seseorang.

2- Memenuhi Waktu Lapang Dengan Perkara Berfaedah
Sabda nabi Muhammad S.A.W :


“Jagalah atas apa sahaja yang memanfaatkan kamu. Mintalah pertolongan Allah dan janganlah kamu leka…”
(hadis riwayat Muslim)

Para Ulama’ telah menyatakan bahawa remaja yang tidak memenuhi masa lapangnya dengan kerja yang berfaedah akan lebih mudah terdorong untuk melakukan maksiat. Ini kerana syaitan akan lebih mudah menggoda manusia ketika  sedang leka di waktu lapang. Menjadikan manusia berkhayal dan memikirkan kenikmatan dunia. Mempengaruhinya melakukan kerosakan dan kejahatan di muka bumi.

Maka setiap remaja harus mengetahui cara untuk memenuhi waktu dan kelapangan dengan kerja berfaedah. Seperti beriadah untuk menyihatkan badan, melakukan ibadah untuk mendidik rohani, mengulangkaji dan membaca bahan ilmiah untuk menambah pengetahuan, menghadiri kuliah agama untuk mempertingkatan ilmu agama serta mendekatkan diri kepada Allah. Menolong keluarga,  teman dan masyarakat untuk menaut ukhuwah sesama mereka. Dan pelbagai aktiviti berfaedah lain agar diri tidak dihanyut oleh godaan dan khayalan syaitan.

3- Kawan Dan Suasana Yang Soleh
Dua keadaan ini merupakan perkara atas untuk memperbaikan diri. Kawan dan suasana sekeliling merupakan faktor kepada lingkah laku manusia terutama remaja. Kawan soleh mampu mengubah diri temannya menjadi baik dan begitu jugalah sebaliknya.

Sabda nabi Muhammad S.A.W :

“Jangan kamu berkawan kecuali kawan yang beriman, dan jangan kamu makan makananmu kecuali yang halal serta suci”.
(hadis riwayat At-Tirmizi)

Secara teori dan praktikal telah dibuktikan bahawa seorang remaja yang berkawan dengan kawan yang beriman dan bertaqwa akan menjadikan diri remaja itu lebih baik. Kawan solehnya ini akan mengajaknya kepada kebaikan, istiqamah dan tetap dalam melakukan perintah Allah S.W.T. Maka remaja ini akan terbentuk dengan keperibadian soleh yang didatangkan oleh kawannya.

Begitu jugalah sebaliknya. Jika seseorang remaja berkawan dengan ahli kerosakan, kejahatan dan maksiat. Kawannya ini akan mengajaknya untuk melakukan segala kemungkaran dan penyelewengan. Dengan mudah kawannya mampu mempengaruhi dan membentuk peribadinya menjadi jahat.

Oleh itu, wajib ke atas setiap muslim meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Memenuhi setiap waktunya dengan amalan-amalan soleh dan pekerjaan yang berfaedah. Sentiasa ditemani oleh kawan-kawan yang soleh dan hidup di dalam suasana keimanan. Setiap godaan, hasutan dan pengaruh negatif pasti ada cara mengatasinya. Setiap cabaran pasti akan dapat diharungi. Benarlah firman Allah S.W.T di dalam surah at-Tolaq :
   
2. dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
3. Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Cabaran gangguan syaitan, keinginan hawa nafsu, pengaruh dalaman dan luaran merupakan cabaran besar yang perlu diatasi oleh setiap manusia. Cabaran ini perlu diatasi dengan penuh kesungguhan, diharungi dengan kecerdikan dan kebijaksaan agar diri bebas daripadanya.

No comments:

Post a Comment