Dalam Diri Ada Kesedaran:
Permulaan bagi sebuah kejayaan adalah kesedaran yang bakal menumbuhkan matlamat. Demikianlah susunannya bagaimana perjalanan seseorang manusia itu untuk berjaya. Walau apa pun keadaan atau puncanya, semua orang berharap supaya setiap orang dapat memiliki kemampuan untuk sedar ini dan berfikir tentang kemajuan diri. Dan sebenarnya, ada daya petunjuk dalam diri kita.
Kita patut bersyukur, berbangga dan merasa beruntung kerana setiap daripada kita adalah orang-orang yang mampu mendapat petunjuk dan memiliki kesedaran tentang diri. Paling tidak pun, kita pada hari ini masih lagi memegang peranan sebagai seorang yang berguna. Masih lagi meminati untuk melakukan aktiviti berfaedah.
Jika dilihat disebalik kehidupan kita. Atau dilihat dunia orang lain, masih ramai lagi orang yang lebih suka berfoya-foya tanpa memikirkan tentang perkara-perkara yang bermanfaat. Cuba kita imbas kembali, bahawa kesedaran diri adalah perkara paling bermanfaat yang memulakan langkah kejayaan hidup kita.
Semuanya datang daripada anugerah Allah S.W.T yang memberikan kita kebijaksanaa lalu akhirnya hidup dan segala aktiviti seharian kita ini memiliki petunjuk tersendiri. Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud, “Kalau tidak kerana kurnia dan nikmat Allah kepadamu, maka tentulah kamu mengikut syaitan. Kecuali sebahagian kecil sahaja (di antaramu).”
Memang benar! Setiap daripada kita yang lahir di dunia ini memiliki perangai atau sikap asal yang sentiasa tertarik ke arah kebaikan dan kebenaran. Betapa nikmatnya hidup jika kita faham yang sebenarnya apa saja yang ada di muka bumi ini adalah dibolehkan. Semua perkara adalah berasaskan kebaikan kecuali kita sendiri yang berlebihan (melampau).
Ulama’ juga telah menyebut, setiap perbuatan di dunia ini adalah dibolehkan untuk kita kecuali beberapa perbuatan. Kebebasan itu tidak terkira banyaknya. Akan tetapi larangan itu boleh dikira. Hanya yang disebut atau dilarang tidak boleh dilakukan, maka itulah yang terlarang. Sedangkan yang tidak disebut dan dilarang, terpulanglah untuk dilakukan.
Semuanya bergantung pada kita. Bagaimana kita sedar untuk memberi maklum balas terhadap bagaimana kita menerima dan bertindak balas terhadap kebenaran. Kebenaran dan kebaikan itu ada dalam diri. Tinggal diri sendiri yang memerah dan mengeluarkannya. Barulah menjadi dan barulah ada permulaan langkah kejayaan.
Segala perjalanan hidup dan kejayaan kita adalah bermula daripada kesedaran diri. Kesedaran adalah langkah pertama!
No comments:
Post a Comment