Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Wednesday, July 28, 2010

Hijrah remaja: Remaja Mengatasi Cabaran (bhg 2)


KETIGA : Al-Quran amat menekankan kepada setiap muslim agar menjadi mukmin sejati. Sentiasa bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal dan meminta Allah agar diri dilindungi daripada syaitan dan segala godaan.

Maka jika apa yang ditekankan di dalam al-Quran ini dapat dilaksanakan, percayalah bahawa syaitan tidak akan terdaya untuk mengganggu dan menguasai dirimu. Firman Allah s.w.t :
    
98. Oleh itu, apabila Engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah Engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan Yang kena rejam.
99. Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang Yang beriman dan Yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
100. Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang Yang menjadikan Dia pemimpin mereka, dan orang-orang Yang Dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.

(Surah al-Nahl, ayat 98-100)

Maka wajiblah ke atasmu untuk menjadi mukmin, mutawakkil (bertawakal kepada Allah), dan muzta’iez (meminta perlindungan Allah). Agar dirimu dijauh dan dibebaskan daripada syaitan.

KEEMPAT : Al-Quran telah menegaskan dan memberi peringatan, bahawa setiap manusia yang menjauhkan diri dari mengingati Allah, dan enggan melakukan ibadah dan ketaatan kepada-Nya maka mereka ini akan menjadi sangat rapat dengan syaitan. Mudah untuk dihasut dan dihanyutkan oleh godaan syaitan.

Firman Allah s.w.t :

36. Dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu Temannya Yang tidak renggang daripadanya.
37. Dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan Yang benar, sedang mereka menyangka Bahawa mereka orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

(Surah al-Zukhraf, ayat 36-37)

Hendaklah kita sentiasa zikrullah (mengingati Allah), melaksanakan segala perintah-Nya dengan beribadah dan melakukan ketaatan kepada-Nya. Sesungguhnya syaitan amat membenci manusia yang sentiasa berada dalam zikrullah dan sujud kepada Allah. Syaitan ingkar dan sombong ketika diperintahkan sujud kepada nabi Adam a.s menyebabkan mereka amat membenci manusia yang sentiasa sujud kepada Allah s.w.t.

KELIMA : Al-Quran memerintahkan muslim untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t. Menekankan kepada muslim agar sentiasa memiliki perasaan muraqabatullah (merasa diri dilihat oleh Allah) sama ada berada dalam keadaan sembunyi atau jelas. Ini bagi melahirkan rasa keimanan yang tinggi sehingga dapat membezakan di antara ganjaran melakukan kebaikan dan akibat daripada melakukan kejahatan. Sentiasa sedar mengenai hakikat kebenaran di dalam Islam.

Allah s.w.t telah berfirman :
  
201. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka melihat (jalan Yang benar).
(Surah al-A’raf, ayat 201)

Setiap muslim mestilah sentiasa melazimi diri di jalan ketaqwaan dan sentiasa memiliki perasaan muraqabatullah pada setiap waktu dan ketika. Sehingga dapat membezakan di antara hak dan batil. Membezakan di antara was-was syaitan dan hidayah Allah dengan mata hati dan kesedaran fikiran.

KEENAM : Al-Quran telah menjelaskan kepada manusia mengenai jalan menuju kepada istiqamah dan hidayah Allah s.w.t. Jika manusia tidak menusuri jalan ini, lupa mengikut manhaj yang benar maka syaitan akan menggodanya supaya berkawan dengan ahli kejahatan dan maksiat.

Maka manusia perlu sentiasa ingat bahawa dirinya adalah seorang mukmin. Sentiasa peka dengan bisikan-bisikan yang boleh membawanya terjerumus kepada perbuatan-perbuatan jahat yang digalakkan oleh syaitan. Bertaubat kepada Allah s.w.t, benci kepada maksiat dan memutuskan hubungan dengan ahli kejahatan dan maksiat. Mengembalikan diri untuk menjadi mukmin dan muslim sejati.

Firman Allah Taala :
   
68. Dan apabila Engkau melihat orang-orang Yang memperkatakan Dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal Yang lain; dan jika Engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu Engkau duduk bersama mereka), maka janganlah Engkau duduk lagi bersama-sama kaum Yang zalim itu, sesudah Engkau mengingati (akan larangan itu).
(Surah al-An’am, ayat 68)

Setiap manusia perlu sentiasa sedar dan berjaga-jaga selepas ditenggelamkan oleh perasaan lupa yang didatangkan oleh syaitan. Segera memutuskan hubungan dengan ahli batil dan sesat untuk kembali kepada keaslian iman dan hakikat Islam. Sentiasa mengekalkan diri di dalam kelompok muqqatin dan mukminin yang terpilih dan berjaya.

Enam penjelasan al-Quran di atas telah menjelaskan kepada kita cara terbaik agar diri bebas daripada cabaran gangguan syaitan. Apa yang kita dapat rumuskan :

            1- Syaitan merupakan musuh kita yang nyata. Maka wajib ke atas kita menjadikannya musuh yang perlu dijauhi dan dihindari.

            2- Perlu sentiasa istiqamah dalam mengikut manhaj rabbani (perjalanan kehidupan yang benar) dan sentiasa menusuri siratullah al-mustaqim (jalan Allah yang lurus).

            3- Menanamkan di dalam diri keimanan kepada Allah, sentiasa berharap dan berserah diri kepada-Nya.

            4- Meminta perlindungan Allah setiap kali merasai diri digoda dan diganggu oleh syaitan.

            5- Menanamkan di dalam diri rasa ketaqwaan kepada Allah dan perlu sentiasa memiliki perasaan muraqabatullah (diperhatikan Allah)  sama ada ketika berada dalam keadaan sembunyi atau terang-terangan.

            6- Sentiasa mengingati Allah pada hati dan setiap anggota tubuh. Berterusan dalam melakukan ibadah dan ketaatan kepada-Nya.

            7- Sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan godaan dan gangguan syaitan yang melupakan. Memutuskan segera hubungan dengan ahli batil dan sesat yang boleh mempengaruhi kita untuk melakukan kejahatan dan maksiat.

Sesungguhnya syaitan tidak akan mampu menggoda dan menghasut hamba-hamba Allah yang ikhlas, beriman dan bertaqwa. Ini telah diperjelaskan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-Hijr ayat 39-40 dan ayat 42 :

39. Iblis berkata: “ Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,
40. “Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang dibersihkan dari sebarang syirik”.   
42. “Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri).



No comments:

Post a Comment