Setiap Individu Sentiasa Bertanggungjawab:
Kesedaran itu akan lahir daripada pembawaan semula jadi manusia sendiri. Nalurinya sentiasa membangkitkan rasa tanggungjawab mahu melaksanakan sesuatu.
Segalanya bagi memenuhi kehendak diri, naluri, keperluan diri, desakan hati dan juga motivasi yang fungsinya memenuhi jiwa. Manusia dilahirkan dengan fitrah memerlukan makanan, harta, zuriat, kasih sayang, kehormatan diri dan peningkatan kendiri.
Maka dari situlah akan timbul kesedaran bagi memperolehi kehendak-kehendak itu sama ada sekadar perlu ataupun lebih daripada itu. Kita melakukan sesuatu kerana sesuatu. Mungkin kerana keperluan asasi, kepuasan diri, keseronokan dan sebagainya. Maka daripada permintaan-permintaan itu, timbullah tanggungjawab.
Manusia tidak akan pernah berasa puas dengan apa yang diperolehnya. Manusia memiliki kenikmatan tanpa kepuasan dan kehendak yang tidak akan berhenti meminta.
Untuk yang pertama kalinya dalam pemikiran kita, pastilah kita memerlukan pemenuhan terhadap keperluan asas terlebih dahulu. Namun begitu, keperluan asas itu tidak akan pernah dipenuhi dengan ‘sekadar yang perlu’ sahaja.
Fikiran dan keinginan manusia pasti menarik dirinya memikirkan perolehan yang lebih lagi. Daripada keperluan asas, kita akan terus mencari keselesaan dan kenakan yang lebih lagi. Dengan lebih itu lagi, kita mencari kemewahan sebanyak-banyaknya.
Dengan fitrah itu, maka keperluan asas adalah keperluan tubuh jasmani manusia. Manakala keselesaan dan kemewahan hari ini lebih kepada keperluan jiwa manusia.
Jiwa kita sentiasa perlukan yang lebih lagi. Dengan kehendak itu, kita sanggup melakukan apa sahaja. Bahkan kebanyakan orang lebih terkesan jiwanya supaya menimbulkan kesedaran daripada keinginan terhadap kehendak.
Akhirnya, dengan kehendak yang timbul setiap hari dan setiap masa itu memberi dorongan kepada kita untuk sedar yang diri ini sentiasa berada dalam serba kekurangan.
Kita selaku remaja yang normal sering kali timbul rasa keinginan, kemudian sedar dengan kekurangan dan berusaha mendapatkannya. Maka disitulah timbulnya matlamat iaitu berniat mendapatkan apa yang diingini dan kejayaannya adalah memperoleh matlamat itu.
Oleh itu, jangan selalu merungut kerana rimas terlalu banyak tanggungjawab. Sedangkan itu semua perkara normal yang datang daripada diri. Diri sendiri yang berkehendak bagi memperoleh keperluan asas, kemewahan, ingin dihargai dan diberi perhatian. Maka tanggungjawab untuk dilaksanakan adalah harga bayaran.
Hidup tanpa tanggungjawab memang membosankan. Rasa seronok hanya pada permulaannya sahaja. Selepas itu, diri akan memberontak kerana dalam pembawakan diri atau ‘fitrah’ semula jadi, kita adalah bertanggungjawab. Itulah yang dimaksudkan manusia hidup sebagai ‘khalifah muka bumi’ dan juga sebagai pemimpin yang mentadbir kemakmuran alam.
“Nilai daripada seseorang itu ditentukan daripada keberaniannya untuk bertanggungjawab, mencintai hidup dan pekerjaannya”. – Kahlil Gibran
Berfikir :
Kemampuan berfikir dan merenung adalah asset berharga pada manusia. Kerana dari situlah datangnya berbagai kebaikan apabila ia digunakan dengan baik dan dari situ jugalah akan datangnya kejahatan sekiranya ia disalah guna. Di situlah letaknya nilai kemanusiaan pada seseorang berbanding makhluk yang selainnya.
Kita menjadi unggul kerana akal fikiran. Dan akal fikiran itu akan ada harganya kalau ia sentiasa digunakan. Manusia mempunyai akal sehingga daripadanya akan lahir perasaan, idea, pengetahuan, pemikiran dan sebagainya. Sedangkan makhluk-makhluk lain hanya memiliki otak sahaja yang hanya berfungsi memenuhi kehendak seharian semata-mata.
Haiwan melakukan perkara yang hampir sama setiap hari. Seekor burung pada setiap pagi keluar mencari makan, kemudian pada petang harinya pulang ke sarang. Kalau ada peningkatan pada kehidupannya, hanya sedikit. Mungkin hari ini makan cacing,. Bulan seterusnya makan buah-buahan yang lebih enak kerana menjumpai dusun buah-buahan.
Manusia setiap hari boleh berubah. Sama ada menjadi semakin teruk ataupun semakin baik. Perubahan pada diri manusia itu begitu drastik. Kerana adanya pemikiran, membuatkan manusia memiliki perasaan bosan melakukan hanya satu kerja. Sekurang-kurangnya kita mahukan perubahan sama ada dalam perubahan bentuk mahupun peningkatan.
Itu kelebihan pada manusia. Memang sejak awal penciptaannya, Allah telah mengajarkannya ilmu asas tentang nama-nama benda. Manusia dipercayai memiliki pengetahuan itu kerana kelebihan berfikir dengan akal.
Semasa penciptaan manusia pertama. Al-Quran ada mengisahkan melalui surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud, “Allah mengajarkan kepada Adam sekelian nama-nama barang.”
Manusia dikurniakan dengan kemampuan untuk belajar dan menganalisis dengan keunikannya tersendiri yang tiada pada makhluk lain.
Benda-benda lain adalah tidak berakal sejak asal. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Haiwan-haiwan mempelajari sesuatu hanya sekadar untuk memenuhi keperluan asasinya seperti mendapatkan makanan, minuman, habitat serta menyelamatkan diri daripada bahaya. Mereka mempelajari sesuatu itu dengan kesukaran.
Sedangkan kita sebagai manusia dikurniakan akal fikiran sejak awal kelahiran. Kita mempelajari sesuatu bukan sekadar mengetahui apa yang cukup sahaja.
Kita mempelajari untuk mengetahui sesuatu tentang apa, mengapa, bagaimana, bahkan mengetahui dan menemukan banyak lagi cabang-cabang ilmu yang lain sehinggalah ia berkembang daripada semasa ke semasa. Maka kesan dan hasil daripada ilmu seorang manusia itu adalah jelas serta bermanfaat kepada yang lainnya.
Daripada situlah kita berfikir dan sedar bahawa tidaklah kita diciptakan sebagai khalifah muka bumi ini sia-sia sahaja. Membangun, mentadbir, memaju dan mengimarahkan bumi adalah tanggungjawab umat manusia.
Maha Suci Tuhan yang menciptakan pembawaan kemanusiaan itu dengan daya kendiri dan motivasi daripada dirinya untuk memajukan bumi-Nya.
Al-Quran banyak menyatakan tentang bukti-bukti dan kesedaran terhadap apa pun, hanyalah akan diperoleh oleh mereka yang berfikir, memerhatikan dan diberi petunjuk ke arah kebaikan dan kebenaran.
Walau sehebat mana pun kelebihan dan kehebatan yang dikurniakan kepada kita, tidaklah ia akan bangkit melainkan dengan daya pemikiran dan sentiasa merenung kejadian hidup.
No comments:
Post a Comment