Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Saturday, April 2, 2011

Kenapa Suka Menyakiti Hati Orang?

Assalamualaikum W.B.T.
Semoga pembaca dirahmati Allah SWT.

Alhamdulillah, hari ini masa saya diisi dengan melayari internet dan membaca buku-buku agama. Pengisian yang baik berbanding 'top-up tido' seperti yang biasanya dilakukan oleh segelintir anak muda di hujung minggu. (muda ke?) Dalam pada saya mengisi masa terluang membaca blog-blog sahabat, melayan perbincangan di Halaqah.Net dan utaraonline.net, bacaan saya kali ini tertumpu pada satu isu yang dibangkitkan sahabat sewaktu di universiti. Isu ini turut mendapat perhatian pensyarah. Isu apa? Isu perselisihan pandangan atau lebih senang nak faham "gaduh". Jujur, saya jarang ambil pusing apa yang berlaku di kalangan sahabat sekuliah kecuali bagi mereka yang benar-benar rapat dengan saya. namun, apabila hampir sebahagian daripada mereka membicarakan hal yang sama, saya jadi ingin tahu (bukan busy body) tapi lebih kepada prihatin (yelah tu).

Terkadang saya merasa simpati pada mereka yang menjadi mangsa hamba Allah seorang ni. Bukan seorang dua yang kena, ramai dah. Saya memang tahu prinsip hamba Allah ini yang sememangnya tak akan ambil peduli pada kata orang (hakikatnya dia akan melenting bila orang berkata tentang dia.. yelah, siapa pun akan tergugat kalau orang kata soal diri terutama yang buruk-buruk).Namun, saya lebih suka muhasabah diri. Barangkali Allah menghadirkan dirinya sebagai ujian buat kita ini yang lain tak bukan sebagai asbab untuk kita lebih dekat padaNYA. Bersyukurlah kerana 'dianugerahkan' sahabat sepertinya kerana sekurang-kurangnya setiap kali kita dihina, setiap kali kita diserang, maka waktu itulah kita dekat dengan Allah, mengadu pada Allah. Sahabat seperti inilah yang akan mengajar kita erti sabar..erti ikhlas. Dan maaflah, saya krang bersetuju dengan sesetengah komen atau feedback 'kesat' yang diluahkan. Bagi saya, tak ada bezanya si pemberi komen dengan 'hambaAllah' itu  andai dia mengeluarkan kata-kata sedemikian. Biarlah semarah manapun kita, berbalahlah dengan bermaruah.
Buat hamba Allah itu, ingatlah..dalam dunia ni, kita dituntut untuk menjaga hubungan dengan Allah dan kita juga dituntut untuk menjaga hubungan dengan manusia.. Dalam konteks perhubungan baik antara sesama manusia, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya, “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), dan Kami jadikan kalian berbagai bangsa dan suku agar kalian saling kenal mengenali (antara satu sama lain)”. (Surah al-Hujurat ayat 13).

Perhubungan manusia dengan Allah S.W.T., pula merupakan tujuan pokok manusia diciptakan-Nya. Allah S.W.T., berfirman, bermaksud, “Dan aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku”.  (Surah al-Dzariat ayat 56).

Firman Allah S.W.T., yang bermaksud : ”Hai orang-orang beriman, janganlah berolok-olok satu kaum kepada kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang diprolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan itu), jangan juga wanita-wanita kepada wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada wanita-wanita (yang mengolok-olokkan itu), janganlah kalian mencela diri kalian sendiri dan janganlah kalian panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya kebanyakan prasangka itu adalah dosa. Janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kalian memakan daging saudaranya yang mati?". (Surah al-Hujurat ayat 11 dan 12).

Demikianlah, larangan Allah S.W.T. Umat Islam, bukan sahaja dilarang daripada melakukan perlakuan atau tindakan yang boleh mencederakan fizakal atau mengorbankan nyawa orang lain, tetapi juga ditegah daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati atau boleh memutuskan tali perhubungan.

Sebaliknya, Islam menekankan galakan agar manusia melakukan apa sahaja perbuatan yang akan menyenangkan hati dan membahagiakan kehidupan manusia yang lain. Sehinggakan senyuman kepada seseorang itu dikira sebagai satu sedekah (Maksud Hadis).

Islam menggalakkan perpaduan ummah. Allah S.W.T., berfirman maksudnya : "Sesungguhnya segala orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara yang bersengketa". (Surah al-Hujurat ayat 10).

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Mukmin dengan mukmin itu umpama bangunan, sebahagiannya saling berkaitan dengan bahagian yang lain" 

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

Umat Islam dilarang melayani nafsu dan membiarkan hati dijangikiti penyakit mazmumah seperti hasad, tamak, riyak, ujub, takabbur dan sebagainya.
Di samping mendatangkan manfaat duniawi, jalinan persaudaraan sesama penganut Islam itu juga akan menghasilkan manfaat ukhrawi. 

Rasulullah saw bersabda, maksudnya : "Barangsiapa menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga".

Mu'az bin Jabal meriwayaatkan: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Suatu kelompok manusia pada hari kiamat kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arasy. Wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul-qadar. Waktu itu manusia panik sedangkan mereka tidak berasa panik dan manusia takut padahal mereka tidak berasa takut. Mereka itu adalah aulia Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir".

Lalu Mu'az bertanya: "Siapakah aulia itu, ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah". 
(Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim)
bu Hurairah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda  maksudnya : "Allah berfirman pada hari kiamat: 'Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku'".

Maksud persaudaraan kerana Allah itu ialah persaudaraan yang berasakan matlamat menegakkan kalimah Allah, mempertahnkan kebenaran (hak) dan menentang kebatilan. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah (Maksud hadis, riwayat Ibnu Hibban dan Hakim daripada Anas bin Malik).

Semoga kita semua mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.. Peringatan ini buat saya juga dalam menjaga hubungan dengan Allah dan manusia. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment