Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Friday, October 28, 2011

Bila rasa nak meraung..nak melalak...

Assalamualaikum WBT...
Semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT..




Sedih...perasaan ini sering disusuli dengan air mata.. Terbuai dengan perasaan sedih sehingga terkadang menggoncang emosi dan pemikiran waras seseorang.. Kita sedih..kita menangis..sehingga kita rasa hanya kita seorang saja yang ditimpa kesusahan..Tiada lagi yang lebih susah atau lebih malang daripada kita..

Adakah hari-hari yang kita lalui diisi dengan perasaan sedih yang berpanjangan? Apakah takdir ini terbeban ke atas kita sepanjang masa?

Setiap orang mesti pernah merasai kesedihan.. Kita bukan patung yang sentiasa happy..yang boleh ketawa sepanjang masa.. (walau muka macam barbie doll, dia tetap ada perasaan)Banyak asbab yang membawa kepada kesedihan.. Kita sedih kerana diperlakukan sesuatu tanpa kerelaan, ditengking, dimarahi, diejek dan dikeji, dihinakan, atau mendapat sesuatu musibah tak dijangka misalnya kematian, kesusahan, kegagalan hidup,  sukar mendapat jodoh, kesakitan serta pelbagai rona-rona rasa yang lainnya. Semangat terus lumpuh ke tahap terkebawah.

Ketika saat itu juga, hati kita menjadi rawan berpanjangan, emosi meruntun hiba, sedih bersangatan. Lalu termenung sendiri sambil menyeka air mata yang berjujuran. Air yang dihirup tidak lagi dirasa lazat, tetapi umpama duri-duri yang bercerucuk di kerongkongan. Diri lantas dipersalahkan, bahkan rasa sesal menjadi manusia bermain-main di kotak minda.

Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”

Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Bagi yang tidak kuat pegangan agamanya, lemah imannya, maka jalan terakhir ialah dengan cara bunuh diri. Na’uzubillahhi minzalik. Pada hematnya, cara ini mampu mengurangkan tekanan yang dialami.

Tidak! Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Bukan caranya kita bersedih lalu berusaha menjauh diri dari Ilahi atau menempah pintu-pintu neraka.

CARILAH UBAT MENGATASI KESEDIHAN….

Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Justeru, indahnya Islam kerana di sana letaknya tegahan tetapi ada suruhan (bimbingan), adanya penyakit turut bersamanya penawar.

Kerana itu sahabat Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka langsung mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang membisikkan kenistaan.

Ayuh! Usahlah terus bersedih, bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak keseorangan.

Di bawah ini saya selitkan doa merawat kesedihan, cubalah baca dan amalkan.

Terdapat di dalam musnad Imam Ahmad dan sohih Ibnu Hibban, daripada  Abdullah Ibnu Mas’ud r.a bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:




Tidaklah sama sekali berkata mana-mana hamba apabila dia dilanda kebimbangan (tentang perkara akan datang) atau kesedihan (merujuk perkara yang telah berlalu); (dengan cara berdoa sebagaimana berikut):

Maksud doa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku hamba-Mu, juga anak hamba lelaki-Mu (ayahku) dan anak hamba perempuan-Mu (ibuku). Dahiku berada di tangan-Mu (Engkau bebas mengawal dan menentukan arahnya; kebaikan atau keburukan yang ditujunya). Sudah berlalu pada diriku keputusan-Mu. Sememangnya adil buat diriku (apa jua) ketentuan-Mu.

(Justeru), aku memohon kepada-Mu dengan semua nama yang selayaknya buat-Mu; yang Engkau namakan dengannya diri-Mu, atau yang Engkau turunkannya dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada salah seorang daripada makhluk-Mu (Nabi Muhammad SAW) atau yang Engkau (sengaja) sembunyikan tentangnya di alam ghaib di sisi-Mu..

Supaya Engkau jadikan al-Quran sebagai musim bunga (berasa tenteram dalam) hatiku, cahaya di dadaku, keluar daripada (belenggu) kesedihan, dan penghilang kebimbanganku.”

Sambungan hadis Baginda SAW:

Melainkan pasti Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung menghilangkan kebimbangannya dan menggantikan buatnya tempat kesedihan tersebut dengan kegembiraan.”

Mereka (para sahabat r.a) berkata: “Wahai Rasulullah! Semestinya ke atas kami mempelajari bilah-bilah kata ini.”

Nabi menegaskan: “Benar! (Bukan setakat kamu; bahkan) semestinya kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”

Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan qadarnya – hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang, kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan. Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.

Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita. Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT.

La tansa zikrullah.

Nah, lekas hilangkan airmata dukamu beriringan penawar tersedia!



No comments:

Post a Comment