Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Sunday, June 26, 2011

Iman.. Oh Iman..

“Iman kita terkadang berkurang dan terkadang bertambah.” Kata seorang penceramah.
Ya, tanpa Iman, bakal menatijahkan kekufuran dan lemahnya Iman bakal menjerumuskan kepada kemaksiatan.
“Jadi, ayuhlah menguatkan keimanan kita sebagai benteng maksiat.” Cadang seorang penulis pula.
Ramai yang tahu berkata, “Mari kembali membina Iman.” Tetapi bagaimanakah cara terbaik menguatkan Iman? Apakah itu Iman?
MAKNA IMAN
Sebelum kita pergi lebih jauh untuk tahu cara membina Iman, adalah lebih baik untuk kita tahu pengertian Iman terlebih dahulu. Barulah mudah cinta berbunga setelah saling kenal dan mengerti.
Iman menurut bahasa ia bermaksud tasdiq, iaitu membenarkan. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah Yusof ayat 17:
“Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar.”
Manakala menurut istilah pula ialah; membenarkan dengan hati sebulat-bulatnya pada setiap yang dibawa oleh Nabi SAW dengan ilmu yang dibawa datang bersama darurat. Ataupun iaitu; pembenaran bulat oleh qalbu (hati), yang dapat diterima (dibenarkan) oleh akal.
Qalbu di dalam bahasa arab punya pengertian yang pelbagai. Adakalanya bila ia digunakan dengan makna wijdan(membawa maksud hati dan perasaan) dan adakalanya bermakna aqlu (akal fikiran).
HAKIKAT IMAN
Iman. Suatu perkataan mudah disebut, tetapi pengertiannya lebih besar dari segala isi alam. Kerana Iman itu letaknya di dalam hati para Khalifah Allah SWT di muka bumi ini, bukan letaknya pada haiwan ataupun alam cakerawala bimasakti.
Rukun Iman yang selalu kita lafaz dan ulang-ulangkan itu bukanlah sekadar meniti di bibir sahaja, tetapi hakikatnya lebih daripada itu. Kefahaman mengenai rukun Iman yang wajib kita fahami pada asasnya terbahagi kepada 6:
  1. Percaya kepada Allah
  2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
  3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
  4. Percaya kepada Kitab-Kitab
  5. Percaya kepada Hari Akhirat
  6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar
Setiap muslim yang mengakui beriman, wajib menyatakan keyakinan 100 % tanpa wujud keraguan walaupun 1 % yakni kiraannya menjadi 99.9%. Jika keimanan dibaluti keraguan, maka ia mencetuskan kegoyahan dan boleh menyebabkan tergelincir akidah seseorang individu muslim.
Begitu juga dalam masalah ikut-ikutan, atau dalam istilah arabnya dipanggil taqlid (mengikut). Iman tidak boleh disandarkan pada taqlid kepada orang lain.  Secara jelasnya, ia wajib subur di dalam sanubari sendiri. Justeru, masalah keimanan ini bukanlah masalah yang boleh diperselisihkan antara satu sama lain. Kerana itu kita sebagai seorang individu muslim yang faham hakikat Iman, akan sedaya-upaya membina Iman atas keyakinan sendiri tanpa ikut-ikutan.
Di sebabkan kerana Iman itu berdasarkan kepada kepercayaan di dalam benak individu muslim, maka wajib ke atasnya menggali aqidahnya sendiri. Lalu ia hendaklah memahami dalil-dalil yang digunakan bersama cara untuk mempraktikkannya sehingga menghasilkan natijah yang diinginkan. Inilah kewajipan yang pertama bagi setiap muslim yang mukallaf untuk dilakukan.
Itulah yang dinamakan aqidah. Kerana aqidah itu adanya Iman, dan Iman itu ada pada aqidah.
Imam Syafie’ berkata: “Ketahuilah bahawa kewajipan yang pertama bagi seorang mukallaf adalah berfikir dan mencari dalil untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Erti berfikir adalah melakukan penalaran dan perenungan qalbu. Dalam keadaan orang yang berfikir tersebut dituntut untuk ma’rifat kepada Allah SWT. Dengan cara seperti itu, ia dapat mencapai ma’rifat kepada hal-hal yang ghaib dari pengamatannya dengan indera dan ini merupakan suatu kewajipan. Hal ini seperti merupakan kewajipan dalam bidang usuluddin.”
Adapun dalil serta petunjuk yang digunakan untuk menghasilkan keyakinan secara menyeluruh 100% itu terbahagi kepada dua jenis:
  1. Dalil Aqliiaitu bukti yang digunapakai akal untuk mencapai kebenaran yang pasti terhadap rukun aqidah (rukun Iman yang enam).
  2. Dalil Naqliiaitu suatu informasi yang qath’ei (tetap, sabit) digunakan untuk memberitahu kepada kita mengenai rukun aqidah ataupun rukun Iman.
Harus diingat, dalil aqli yang digunakan untuk membina Iman ini ianya mengandungi empat komponen utama akal barulah jelas natijahnya kelak. Empat komponen akal itu ialah:
  1. Realiti yang dapat diinderakan. (Iaitu dorongan naluri atau keperluan jasmani yang ada dalam diri manusia)
  2. Adanya penginderaan. (Merasakan apa yang diperlukan oleh naluri dan keperluan jasmani)
  3. Otak yang sihat. (Kerana orang gila tidak mampu menerbitkan natijah pemikiran yang jernih)
  4. Maklumat awal mengenai realiti yang telah diindera. (Maklumat tentang hukum syara’, tentang nilai yang ditetapkan Allah ke atas masing-masing – perbuatan yang hendak diwujudkan oleh tiap muslim, tentang metod berkenaan bagaimana perbuatan-perbuatan tersebut diwujudkan)
CARA MEMBINA KEIMANAN
Banyak cara membina Iman, salah satunya yang ingin saya sebutkan di sini adalah salah satu cara membina Iman untuk menguatkan keyakinan kita kepada Azza Wajalla - yang terangkum kepada keimanan tahap pertama yakni ‘Percaya Kepada ALLAH’. Bagaimana?
Berfikir menggunakan akal serta berlandaskan nas dan dalil naqli tentang bukti wujudnya Allah Ta’ala.
Misalnya kita boleh merenung dan mengkaji bagaimana diri kita, yakni manusia terjadi. Proses pembentukan ini boleh dilihat pada halaman surah al-Mukminun ayat 14, az-Zumar ayat 6, al-Alaq ayat 1-3, al-Insan ayat 2 dan beberapa surah lain yang termaktub di dalam Kalamullah.
Mari kita lihat, bagaimana percantuman kromoson di dalam sel yang berjumlah 23+23 = 46 kromosom yang terkandung di dalam sperma lelaki dan sel telur wanita ketika berlakunya proses pembentukan. Seandainya jumlah kromosom sel itu berkurang, maka proses pembentukan itu pasti tidak akan terhasil. Timbul persoalan di sini, siapakah yang menetapkan bilangan tersebut menjadi 46 kromosom? Adakah ianya bermula dari sperma lelaki atau sel telur wanita?
Sudah pasti tidak. Jadi siapakah yang menciptanya? Apakah ada manusia lain yang berusaha menciptanya? Sudah tentu mustahil. Maka di sinilah yang patut kita semua renungi dan fikirkan sebaik mungkin – sesungguhnya Allahlah Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana menciptakan sel-sel manusia itu sehingga melahirkan individu manusia lain.
Berfikir dengan cara beginilah ianya mampu membina Iman yang mantap tanpa tergugat. Kerana itu ayat-ayat Allah SWT banyak menyarankan kepada kita supaya merenung secara hikmah tentang kejadian manusia, alam dan kehidupan semesta ini. Tujuannya adalah tidak lain tidak bukan untuk membuktikan keesaan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:
“Maka hendaklah manusia merenungkan tentang dari apa ia ciptakan.” (At-Thariq: 5)
Sesungguhnya, adalah teramat banyak contoh alam ini yang boleh kita kaji dan renungi untuk membina Iman pada setiap saat dan detik. Allah SWT berfiman lagi:
“Apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan, dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan dan kepada gunung, bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasyisyah: 17-19)
Oleh itu, sebelum kita memperkatakan tetang Iman, mari fahami dahulu apa itu Iman sebenar-benarnya. Setelah kenal siapa Iman, barulah mudah untuk menguntum cinta, menyulam rasa serta membina keterikatan Iman.

No comments:

Post a Comment