Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Monday, June 13, 2011

Cinta Berpaksikan Wahyu..

Assalamualaikum...
Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat buat hambaNYA..


Alhamdulillah..syukur pada Allah SWT. Walaupun tidak berapa sihat lantas bercuti sehari, namun masih diberikan peluang untuk berkongsi sesuatu. Masih berbicara soal cinta.. Mesti ada yang naik bosan.. Jiwang betul la minah sorang ni.. Asyik cakap cinta..cinta..cinta. kahwinnya tidak. Ahaks. Kenapa tak boleh berbicara soal cinta? Seakan taboo bagi perempuan yang belum berkahwin terutamanya ANDARTU macam saya ni. (walaupun masih 25 tahun tapi tetap rasa dah tua).


Sebenarnya soal cinta ini terpulang..bagaimana kita menginterpretasikannya. Di luar sana..terlalu ramai yang berbicara soal cinta. Cinta sesama manusia.. cinta Islamic dan sebagainya. Remaja kini boleh memilih jalan cinta mereka. Memilih role model cinta mereka.. Cinta ala-ala Fasha Sandha dan jejai.. Mahupun cinta sehebat Ashraf Muslim atau Datuk K dan Siti Nurhaliza. 


Tapi saya tolak semua kisah cinta romeo juliet tu.. Role model yang saya nak bawa ini seringkali dilupakan.. Siapa lagi kalau bukan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat..


Sebenarnya model itu ada pada diri Rasulullah SAW, para sahabat, para ulama dan para du’ah, tetapi tidak dipopularitikan atau dijadikan panduan dan ikutan, sebaliknya manusia hari ini lebih suka mempopularitikan model cinta palsu lagi rapuh kerana model tersebut glamour dan terkini kononnya. Media massa, media cetak dan media elektronik lebih dominan dan berminat mengetengahkan episod cinta manusia yang terpisah dari tujuan dan kemuliaan cinta itu sendiri. Mereka berjaya mengolah cinta yang berasaskan hawa nafsu menjadi cinta mulia dan agung. Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta palsu ini dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah SWT.

Islam tidak melarang kita bercinta selagi mana cintanya berpaksikan kepada wahyu. Bagaimana kita mahu bercinta berpaksikan kepada wahyu?
Pertamanya, sudah tentulah paksi kefahamannya sebelum bercinta adalah bersumberkan wahyu, bukan bersumberkan cinta barat yang slogannya cinta tanpa batas, cinta musim salji, cinta bollywood atau cinta melayu yang mula kehilangan adab tatasusilanya. Kesemua cinta tersebut asasnya dipengaruhi hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Islam agama yang sempurna lagi lengkap, justeru Islam memandu manusia dalam segala hal, samada sebelum, semasa mahupun selepas melakukan sesuatu urusan. Contohnya, sebelum solat, ada persiapan dan mindsettingnya, semasa solat ada rukun, adab-adab wajib dan sunnatnya, dan selepas solat ada outcomes atau natijah yang harus dijelmakan oleh muslim dalam kehidupannya. Semuanya samada pra, ketika dan pasca sesuatu urusan itu mestilah asas dan paksinya bersumberkan wahyu. Tidak boleh kita pandai-pandai mencipta citarasa dan gaya kita sendiri. Bolehkah kita nak solat tanpa ada wudhu’? Bolehkah solat ikut ‘style’ yang kita suka? Bolehkah selepas solat kita minum arak, berjudi dan ber…… lagi? Dan makin teruk lagi kalau tak solat langsung.. kalau tak solat, hidup berpaksikan wahyu ke?

Begitu juga dalam urusan cinta, sebelum mahu bercinta, perlu ada kefahamannya, agar tidak tersalah faham. Untuk memahami cinta, kita tidak boleh pisahkan cinta dengan sang pemilik cinta, iaitu Allah SWT. Maka titik tolak untuk kita memulakan cinta, mestilah merujuk akreditasi yang telah Allah SWT tetapkan.
Kepada yang masih ‘single’ atau sedang berpacaran tanpa lesen sah, mari kita tadabbur, ayat cinta dari Allah SWT yang akan menjadi panduan untuk kita, apakah mindsetting yang betul dan tepat sebelum kita benar-benar mahu menemukan cinta yang terhebat. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” (An Nuur: 30 – 31)

Tundukan Pandanganmu

Sesungguhnya Islam berusaha keras membangun individu dan masyarakat yang bersih, jauh dari rangsangan-rangsangan berahi, dan dorongan-dorongan nafsu bergejolak setiap waktu. Proses rangsangan akan terus berjalan tanpa pernah henti, sehingga manusia mudah mengikut nafsu haiwaninya. Pandangan mata, dandanan yang mengundang selera, dan penampilan diri dan pemakaian yang tidak mengikut paksi syara’, menjadi bunga-bunga yang membangkitkan selera nafsu. Ketahuilah ramai yang terjatuh cinta adalah kerana faktor-faktor selera nafsu yang terbangkit dek kerana melihat si pulan dan si pulan.

Islam memandu kita untuk memulakan cinta, iaitu dengan menundukkan pandangannya terlebih dahulu sebelum mencari cinta manusia. Ertinya mengalihkan dengan cepat pandangan yang tanpa sengaja melihat sesuatu yang telah Allah haramkan. Menundukkan pandangan bagi seorang lelaki menunjukkan peribadi yang beradab mulia. Ia merupakan usaha untuk membersihkan jiwa dengan meredam gejolak nafsu yang ingin memperhatikan keindahan, pesona dan fitnah yang ada pada wajah atau fisik lawan jenisnya. Dengan menjaga pandangan ini, maka tertutuplah pintu pertama yang menyeret kepada penyimpangan dan godaan. Ini karektor peribadi yang jujur dalam mencari cinta.

Hari ini perasaan rindu dan sayang bergejolak antara lelaki dan wanita bukan mahram, puncanya, matanya telah pun awal-awal lagi melakukan zina mata, dia engkar kepada tips dan panduan Allah SWT. Maka sebenarnya perasaan cinta, rindu dan sayang itu muncul atas dasar nafsu, bukan wahyu.

Bercinta Bersama Syaitan?

Selepas kita lulus syarat pertama, menjaga pandangan, syarat seterusnya kita dengarkan pesanan Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia bertemu bersendirian di suatu tempat dengan seorang wanita yang tiada sertanya mahram daripadanya kerana sesungguhnya yang ketiganya tentulah syaitan.” ( Riwayat Imam Ahmad )

“Janganlah seseorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan kecuali jika dengan mahramnya. ( Riwayat Imam Ahmad )
Kalau mahu bercinta, jangan ada langsung niat mahu berjumpa berdua-duaan. Maknanya,selama ini, pasangan couple ‘haram’ yang bertebaran di shopping complex, taman bunga, atas motor, tepi tasik, tepi laut dan sebagainya adalah pasangan yang tidak bercinta berpaksikan wahyu, sebaliknya saat mereka menyuburkan cinta, mereka ditemani syaitan. Wah! Indahnya cinta mereka!.

“Kalau nak buat juga, macamana, kami bukannya buat apa-apapun, Duduk-duduk aje, sembang-sembang aje”. Ayat ini anda boleh simpan dulu, nanti gunakan semula saat perbicaraan di mahkamah Allah SWT. Masa tu, jadilah peguam bela kepada diri sendiri dan gunakanlah hujah-hujah bernas anda itu.
Apakah kita masih tidak faham? Pasangan yang tetap merasakan bahawa cinta mereka yang belum dapat lesen sah ini betul dan tidak salah, sebenarnya telah pun membuat keputusan menolak cinta berpaksikan wahyu! Bahaya tu, lebih kurang sama tak menolak wahyu, menolak Al Quran, menolak Rasulullah SAW. menolak cara hidup Islam! Firman Allah SWT:

“Maka barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Taha : 123-124)
Fikir-fikirkan.

Alam Penzinaan

Akhir sekali buat catatan kali ini, tips sebelum kita mahu bercinta, dan kita mahu bercinta berpaksikan wahyu, fahami pesanan ‘keras’ Rasulullah SAW buat kita semua:

”Sesungguhnya Allah menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata adalah dengan memandang, zina lisan adalah dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan dan berangan-angan, lalu farji (kemaluan) yang akan membenarkan atau mendustakannya.” (HR. Bukhari & Muslim).
Kalaulah kita ibaratkan zina adalah sebuah ruangan yang memiliki banyak pintu yang berlapis-lapis, maka orang yang bercouple tanpa lesen sah ini adalah orang yang telah memiliki semua kuncinya. Bila-bila saja dia boleh masuk ke alam perzinaan.

Bukankah saat berdua-duaan itu tidak lepas dari zina mata dengan bebas memandang?
Bukankah dengan berpacaran, ia akan sering melembut-lembutkan suara di hadapan kekanda/adindanya?
Bukankah orang yang berpacaran senantiasa memikirkan dan membayangkan keadaan kekanda/adindanya?
Maka farjinya pun akan segera mengikutinya. Akhirnya penyesalan tinggalah penyesalan.

Semoga anda sudah menemui formula bagaimana mahu bercinta berpaksikan wahyu. Mudah sahaja, ikut dengan taat apa yang Allah SWT dan Rasulullah SAW ajarkan kepada kita. Untuk ikut ajaran dan panduan itu, maka binalah dulu cinta anda kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, barulah insyaAllah anda tidak akan merasa berat dan beban untuk ikut dan patuh setiap tips cinta berpaksikan wahyu yang diberikan di atas. Selamat beramal dan selamat menemui cinta hakiki!

2 comments:

  1. quote dari kata2..
    "yang belum berkahwin terutamanya ANDARTU macam saya ni. (walaupun masih 25 tahun tapi tetap rasa dah tua)."

    oh hoiii hoiiii...
    jangan kata tua2 ehh.. sensetip tau.. kehkeh...
    biar tua di IC, asal muda dihati..

    wacaaaa... yosh!

    ReplyDelete