Balik kerja, jam pukul 5.30. Saya lihat mak baring di sofa. "Kenapa mak tak tengok Aira?" tanya saya. Aira adalah watak dalam cerita Anugerah Cinta di TV9 setiap jam 5.30 ptang. Sinetron kegemaran mak. Mak urut-urut tengkuk, (isyarat minta saya urut). Tak buang masa, saya capai minyak. Badan mak saya picit. Mak sendawa kerap tanda banyak angin kat badan.
"Tadi mak jatuh kat longkang dapur" pelan suara mak. Nak melompat saya masa tu. Terkejut. "Dah tu mana yang sakit?" tanya saya cemas. Mak ada darah tinggi dan kencing manis. Darah tinggi mak biasanya diatas paras 180/120. Wajar saya cemas. "Ni, badan sebelah kiri sakit semua. Tak boleh gerak," ngadu mak pada saya. "Ya Allah, janganlah sampai jadi apa-apa." Saya terus mengurut mak di seluruh badan. Nampak garis-garis luka kecil. Sambil dalam hati saya berdoa agar kesakitan mak dikurangkan. Hampir mengalir air mata saya. Saya tahu mak pasti demam. Lalu saya ambilkan mak ubat tahan sakit. Saya suruh mak makan.
Saya capai selimut. mak dah mula menggigil. "Mak nak makan apa-apa?" Tanya saya lemah. Mak geleng kepala. Saya ingin bingkas, tapi mak bersuara lemah. "Dia ada telefon?" Walaupun namanya tidak disebut, saya tahu siapa gerangan yang dimaksudkan. "Tak," jawab saya lemah. "Kau dengan dia gaduh ke?" Saya hanya diam. Perlukah aku menipu? Tak mungkin. Sambil itu, saya ingat pesan ummi, agar mak tidak diberitahu."Dah dapat yang baik, janganlah sampai putus, sayang. Bukan senang nak dapat jodoh sekarang." Nasihat mak.
Ya Allah.. Mak tak tahu kisah sebenarnya. kali ini saya berlari ke bilik. Saya menangis sepuasnya. Kali pertama setelah saya mengetahui kebenaran, saya menangis sebegini rupa. Kuatkan hatiku Ya Allah.. Tak putus-putus saya berdoa. Mak tak salah, abah tak salah, kak linda tak salah, kak lina tak salah. Saya? Mungkin ini ujian bagi saya.. Tidak sanggup saya berterus terang. Kelmarin masih terbayang wajah muram mak bila saya maklumkan saya tidak akan melangsungkan perkahwinan dengan dia tahun ini. Nampak kecewanya hati tua itu. Ya Allah, ampunkan dosaku kerana terpaksa merahsiakan segalanya dari mak.
Mak, sebenarnya saya tak akan kahwin dengan dia sampai bila-bila. Ingin saja kuluahkan pada mak, tapi saya tahu saya tak mampu.
Sekarang, saya hanya mampu berdoa..agar diberikan kekuatan pada saya menghadapi pertanyaan pertanyaan mereka. Dan saya berdoa, agar Allah pertemukan saya dengan orang yang benar-benar ikhlas menerima saya. Bukan saya mengejar cinta manusia, bukan saya terdesak untuk mencari pasangan.. Namun saya tahu, mak terlalu berharap agar anaknya yang satu ini berumah tangga. Harapan itu dapat saya lihat setiap kali emak berbicara tentang dia di hadapan saya. Ye, sejak kali pertama mak lihat dia, saya tahu mak berkenan. Tapi mak... rupa tak janjikan apa-apa. Berkopiah belum tentu imannya sempurna.. Bukan itu yang saya cari.. Bukan mak.. saya cuma nak orang yang ikhlas menerima saya kerana Allah. Bukan kerana lain.
Saya redha. Dia saya lepaskan dengan ikhlas. Saya merancang, Allah merancang. Namun perancangan Allah lebih hebat. Cuma sampai sekarang, rasa bersalah pada mak makin menebal. Apa yang perlu saya lakukan?
No comments:
Post a Comment