Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Saturday, February 19, 2011

Membina Rasa Cinta....

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini, penuh dengan dugaan dan cabaran. Manusia sering terlupa bahawa hidup di dunia ini adalah medan ujian yang perlu dihadapi dengan hati yang tabah dan penuh kesabaran. Manusia sering berputus asa dengan rahmat Allah apabila di uji dengan ujian yang berat. Dia tidak sanggup menghadapinya dengan hati yang tenang dan sering putus asa dan kecewa. Hakikat sebenarnya kesusahan di dunia ini adalah bersifat sementara, kerana matlamat kehidupan sebenarnya adalah di hari akhirat.
 
Ada yang diuji dengan pasangan hidup yang buruk akhlaknya dan tidak bertanggungjawab memenuhi tuntutan hidup berkeluarga, ada yang di uji denagn anak-anak yang tidak mendengan nasihat ibu bapa dan sanggup menderhakai orang tuanya, ada yang diuji dengan penyakit yang berpanjangan belum bertemu penawarnya, ada yang diuji dengan kemewahan harta benda hingga lupa daratan hidup bergelumangan dengan noda dan dosa dan tidak mahu lihat dibawah untuk memberi bantuan fakir miskin. Ada yang dipilih menjadi pemimpin masyarakat kekuasaan dan kemewahan ada di hujung jari, tetapi gagal menjadi pemimpin yang adil. Tidak kurang juga ada yang diuji dengan kemiskinan dan tidak bersyukur hingga sanggup meninggalkan ibadah fardu semata-mata bekerja siang malam mencari harta dunia.

Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang asing. Asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada Allah dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT. Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, seorang ulama besar bernama Sheikh Abu Madyan  ada menyatakan : “Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”.

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.
Allah S.W.T. masih mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya. Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta Ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan kepada mereka yang buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan tanggungjawab  syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda orang yang berilmu jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta Ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Rasulullah S.A.W.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (Surah Ali-Imran ayat 164)

Nabi SAW adalah Utusan Allah yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui ucapan kata-kata, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Tuhan sekelian alam  dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta hamba pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka Jahanam.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya. Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah yang bermaksud : "Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (Surah al-Ankabut ayat 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… "
(Surah al-Zumar ayat 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, baginda melazimi istighfar 70 kali setiap hari.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat baginda . Sebaliknya, istighfar baginda  adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu hatinya untuk mengenali-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Cinta Allah terhadap hamba-Nya seperti yang dipetik dari hadis Nabi S.A.W.  lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia , maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta Ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Manusia yang meletakkan keagungan cintanya  kepada Allah S.W.T. jika berlaku pertembungan di antara cinta sesama manusia dengan cinta kepada Allah, maka dia sanggup meninggalkan cinta sesama manusia dan mengutamakan cintanya kepada Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tidak ada (kewajipan) taat pada makhluk dalam hal berbuat maksiat kepada Allah” (Hadis Riwayat Muslim).

Jika sekiranya arahan makhluk samaada ibu bapa, suami, isteri, pemimpin negara, ketua pejabat dan sesiapa saja yang kita sanjung, bertentangan dengan arahan Allah dan Rasul-Nya maka wajib kita tinggalkan sebagai cinta dan kasih kita kepada Allah dan Rasul-Nya yang tidak berbelah bagi dan menutamakan arahan Allah dan Rasul-Nya.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT. Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi kita melalui diri dan peribadi Rasulullah SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta Ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi dan diberinya kasih dan rahmat-Nya kepada kita melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (Surah asy-Syura ayat 28).

No comments:

Post a Comment