Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Monday, April 18, 2011

Cintailah Semampunya..

Asalamualaikum WBT
Semoga pembaca semua dirahmati Allah SWT

Sukar sebenarnya untuk saya menulis sesuatu tentang cinta. Episod demi episod pedih yang saya lalui mengikis keyakinan diri. Ya, hidup ini penuh ranjau dan duri dan kita tidak punya pilihan selain terus melalui jalan yang berliku itu.Tapi bukanlah bermakna saya menyalahkan taqdir mahupun berputus asa. Disebalik mehnah yang melanda, saya memanjatkan setinggi kesyukuran kerana segalanya mendekatkan saya kembali pada Allah..  Alhamdulillah.
Cinta itu subjektif. namun cinta bukan menjamin segala-galanya. Kalau tidak, masakan setiap minit ada saja berlaku penceraian? Adakah perasaan cinta yang terbina sejak sekian lama boleh terhapus sekelip mata? Cinta menjadikan manusia mudah lupa, cinta juga menjadikan manusia terlalu rakus sehingga ada yang terdesak dalam memburunya. Begitu mudah?   

Entah apa yang diburu oleh manusia ini… yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam. Belum lagi yang bujang trang tang tang.. Menukar pasangan umpama menukar pakaian.
Sedarlah, buruanmu takkan berhasil,  bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.
Bagi yang ditinggalkan… sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk ‘mengembalikan’ dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk ‘dirosakkan’ oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!   

Hirarki Cinta
Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini… Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.
Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”
Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai “rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang”.
Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.
Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan. Jika belum, berusahalah, berdoalah… agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.    

Ma’jun Cinta
Tidak kira di tahap manapun rumah tangga kita; di permulaan, pertengahan atau pengakhiran, marilah bermuhasabah. Apakah rumah tangga kita benar-benar diasaskan oleh cinta kelas pertama atau masih dibelenggu oleh cinta kelas kedua? Jika kelas pertama, syukurlah. Insya-Allah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumah tangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta ini?
Jawapannya mudah. Cuba nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat kita dan anak-anak semua? Bagaimana dengan al-Quran? Sudahkah kedengaran suara kita (ayah ibu) dan anak-anak membaca al-Quran? Jangan jadikan rumah kita kuburan kerana Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa rumah yang penghuninya tidak membaca al-Quran umpama sebuah kubur!
Padahal semasa kita mula membinanya dahulu kita katakan membina masjid. Jika suami atau isteri payah hendak diajak membaca al-Quran, kenapa kita tidak memulakannya dahulu? Ironinya, kita kekadang lebih banyak menatap surat-surat lama pasangan kita semasa hangat bercinta dahulu, konon untuk memperbaharui rasa cinta. Malangnya, ramai yang mengalir air mata, sedih, sayu, pilu apabila mengenangkan kata-kata mesra dan rindu dahulu kini sudah tiada.
Mengapa menanti sesuatu yang tidak tiba? Mengapa merajuk pada yang tidak kasih? Tinggalkan dahulu surat cinta yang lama, carilah semula 114 surat cinta daripada Allah (al-Quran). Siapakah yang dapat menandingi kemesraan, kasih sayang dan cinta Allah buat hamba-Nya yang terpapar dalam 114 surah al-Quran? Bacalah ayat Manzil, al-Ma’thurat, Yasin, al-Mulk atau apa-apa sahaja. Sama ada yang diambil secara bersanad daripada guru-guru yang thiqah ilmunya ataupun sekadar diambil daripada kitab-kitab atau buku-buku yang dipercayai kesahihannya.
Jika tidak mampu baca banyak, bacalah sekadar satu muka surat atau paling lekeh sekadar lima ayat. Tetapi istiqamahkan amalan ini. Barulah syaitan akan kecut untuk menggoda hati ahli keluarga kita supaya terlibat maksiat. Atau mengacah-acah kita dengan prasangka sehingga sering berbalah walaupun dalam soal-soal yang kecil. Bayangkan hanya kerana hendak masak apa hari ini, berebut saluran televisyen atau hanya tersilap istilah atau cakap, sudah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara atau pukul-memukul. Ini angkara siapa? Tentu syaitan.

Bentuk Cinta Kelas Pertama
Mengapa syaitan begitu berkeliaran dalam rumah kita? Kerana rumah kita jadi kuburan, bukan jadi masjid. Banyak perkara-perkara mungkar dalam rumah kita yang menyebabkan syaitan suka bertandang. Tapi ingat, syaitan bukan dihalau dengan membaca al-Quran sekali-sekala seperti yang kita lihat “Pak Ustaz” halau hantu dalam drama mistik dan tahyul. Tetapi syaitan dihalau dengan bacaan al-Quran berserta niat zikrullah, hendak diamalkan kehendaknya dan ditinggalkan larangannya. 

Jika sekali-sekala terjadi pertembungan antara kehendak Allah dan kehendak isteri atau suami serta anak-anak, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak mereka, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumah tangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai suami isteri berpisah sekalipun mereka saling mencintai. Berpisah bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta terpisah kerana mereka memisahkan cinta Allah.
Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji.  Cinta kelas kedua itu ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku kerana tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya!
Cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga, tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula… terbentur tetapi tidak patah. Genting tetapi tidak putus. Justeru bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.
Marilah kita saling berpesan demi kebenaran dan kesabaran… jangan membina cinta di dalam kuburan!

Sumber dipetik dan telah diedit.. Layari laman ini>>  http://genta-rasa.com/2011/04/11/dia-bukan-cinta-nombor-1/

No comments:

Post a Comment