Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Saturday, November 27, 2010

Solatlah Kamu Sebelum kamu Disolatkan


Hadis-hadis dibawah ini pula menceritakan betapa pentingnya solat kepada kita sebagai umat Islam dan kelebihan orang yang menunaikan solat. Jadi SEMBAHYANGLAH KAMU SEBELUM KAMU DISEMBAHYANGKAN
1- Amalan Membawa Ke Syurga
Daripada Abu Umamah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Bertakwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu; nescaya kamu memasuki syurga Tuhan kamu."
( Riwayat al-Tirmizi )
Keterangan:- Dikhususkan amalan dengan perkataan ‘kamu’ agar terdapat kesesuaian antara perkataan yang berkaitan dengan balasan iaitu ’syurga tuhan kamu’ . Juga dapat dilangsungkan akad jual beli antara hamba dan Tuhannya, sebagaimana yang difirmankan Allah s.w.t. (bermaksud): "Sesungguhnya Allah membeli daripada orang mukmin akan diri mereka." (Surah al-Tawbah: 111)
(Tuhfah al-Ahwazi)
2- Amalan Pertama Dihisab
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
Keterangan:- Dimaksudkan disini ialah hamba yang muslim dan amalan berkaitan hak Allah
-Perkara yang pertama yang dihisab pada hamba Allah yang kafir ialah iman. Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya perkara pertama seorang hamba Muslim dihisab pada hari kiamat ialah solat fardu."
- Disebut didalam hadis ini ‘hamba yang muslim’. maka terkecualilah hamba yang kafir. Perkara pertama berkaitan dengan hak manusia yang pertama dibicarakan ialah kezaliman dikalangan hamba yang melibatkan penumpahan darah. Rasullullah s.a.w. bersabda: "Perkara pertama yang dibicarakan antara manusia ialah perkara yang melibatkan darah."
(Adaptsi Syarah Sunan Ibn Majah)
3- Kesan Wuduk
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wuduk. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wuduknya, maka lakukanlah."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
4- Berwuduk Dan Bersiwak
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan perintahkan umatku berwuduk pada setiap kali solat dan bersiwak pada setiap kali wuduk."
( Riwayat Ahmad )
5- Menyempurnakan Wuduk Dan Doa Selepasnya
Daripada Uqbah bin Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak seorang pun daripada kamu yang berwuduk dan melebihkan basuhannya kemudian berdoa: "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba Allah dan utusan-Nya"; melainkan dibukakan untuknya lapan pintu syurga, ia boleh memasukinya melalui pintu yang ia kehendaki."
( Riwayat Muslim )
6- Solat Sunat Selepas Berwuduk
Daripada Uqbah bin Amir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang berwuduk dengan cara yang baik, lalu mendirikan solat dua rakaat, sambil melakukan kedua-dua perbuatanini dengan hati yang khusyuk dan perwatakan merendah diri; melainkan wajib baginya syurga."
( Riwayat Muslim )
7- Tempat Yang Disukai Dan Dibenci
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tempat yang paling disukai Allah ialah masjid. Tempat yang paling dibenci Allah ialah pasar."
( Riwayat Muslim )
8- Mendirikan Masjid Kerana Allah
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mendirikan masjid kerana Allah, nescaya Allah binakan untukknya rumah di syurga."
( Riwayat Muslim )
9- Membanyakkan Masa Iktikaf Di Masjid
Daripada Abu al-Darda’ r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla memberi jaminan kepada orang yang menjadikan masjid seperti rumahnya akan keamanan dan melepasi titian Sirat pada hari kiamat."
( Riwayat al-Bazzar )
10- Berjalan DiDalam Gelap Menuju Ke Masjid
Daripada Buraidah bin al-Husaib al-Aslami r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid, dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat."
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
11- Berulang-alik Ke Masjid
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang Allah akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
12- Kelebihan Solat Berjemaah
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
13- Kelebihan Doa Diantara Azan Dan Iqamat
Daripada Anas bi Malik, Nabi s.a.w. bersabda: "Doa tidak ditolak diantara waktu azan dan iqamat
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
14- Doa Selepas Azan
Daripada Jabir bi Abdullah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang berkata (berdoa) selepas mendengar azan: "Ya Allah, Tuhan bagi seruan (tauhid) ini yang sempurna dan solat yang didirikan; berikanlah kepada Muhammad kedudukan dan kelebihan yang tinggi, dan tempatkanlahnya ditempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan"; maka ia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat."
( Riwayat al-Bukhari )
15- Doa Masuk Dan Keluar Masjid
Daripada Abu Humaid r.a., atau Abu Usaid r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila kamu masuk kedalam masjid maka berdoalah: ‘Ya Allah, bukakanlah untukku pintu rahmat-Mu’. Apabila ia keluar berdoalah: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kelebihan daripada-Mu.’"
( Riwayat Muslim )
16- Solat Tahiyatul Masjid
Daripada Abu Qatadah al-Sulami r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila kamu masuk kedalam masjid maka dirikanlah solat dua rakaat sebelum duduk."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
17- Kedudukan Imam Dan Muazzin
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Seorang imam adalah penjamin, dan muazzin adalah orang yang diamanahkan. Ya Allah! berilah petunjuk kepada para imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan."
( Riwayat Abu Daud dan al-TIrmizi )
Keterangan:- ‘penjamin’ menjaga dan memelihara kesahihan soalt makmum
- ‘orang yang diamanahkan’ amanah dengan waktu-waktu solat.
18- Berterusan Mendapat Ganjaran Solat
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Seseorang hamba berterusan mendapat ganjaran solat selagi mana ia berada di tempat solatnya (menanti untuk menunaikan solat)
( Riwayat Muslim )
19- Melintasi Orang Sedang Solat
Daripada Abu Juhaim r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya seseorang yang melintasi di hadapan orang yang sedang solat mengetahui dosa yang akan menimpanya, nescaya ia berdiri disitu selama ‘empat puluh’ adalah lebih baik daripada melintasi dihadapan orang itu."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Abu Nadhr, salah seorang perawi hadis ini berkata: "Aku tidak mengetahui sama ada Nabi s.a.w. mengatakan: Empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun."
-Haram melintas dihadapan orang yang sedang solat tanpa penghadang.

No comments:

Post a Comment