Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Friday, January 27, 2012

Saya Sayang Kamu kerana Allah!!!!

Assalamualaikum WBT
Semoga Allah melindungi kalian...


Pertama kali bertemu dengan mereka, hati ini rasa dipagut untuk berbicara tentang ukhuwah. Entah mengapa, tapi saya yakin itu ialah rencana-Nya sedang saat dan tika itu, saya langsung tidak bersedia dengan point, idea dan buah fikir. Namun, bila memandang wajah-wajah jernih mereka, benar... hati ini sangat dipanggil.

Ikhwah fillah sekalian.

Bagaimana kalian mendefinasikan makna persaudaraan di dalam islam?



 

Saya memaknakan ia sebagai sebuah hubungan istimewa yang terjalin antara jiwa-jiwa manusia yang luhur, untuk saling mencintai kerana Allah, dan membenci juga kerana Allah.

Maksudnya apa?

Mudah. Kamu menyayangi saudaramu kerana Allah mencintainya dan kamu membenci dia sekiranya saat dan tika itu dia sedang dibenci oleh Allah.

Dua elemen ini perlu wujud- cinta dan benci. Ramai yang keliru dengan pra syarat kedua iaitu membenci kerana Allah. Maksudnya di sini ialah membenci setiap benih-benih maksiat yang dia cuba semaikan dalam hatinya, tetapi dalam masa yang sama kita dilarang untuk membenci dia kerana 'dia ialah dia'. Tuntasnya, yang dibenci itu ialah maksiatnya bukannya peribadinya.

Berbicara tentang cinta dan benci sebagai tunjang ukhwah, saya teringat kisah Abdul Rahman bin Auf yang pernah ditawarkan dengan separuh harta dan salah seorang isteri sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi'. Apa yang membuatkan Saad Bin Rabi' begitu kasih akan Abdul Rahman Bin Auf... sedangkan antara mereka, tiada pertalian darah?

Jawapannya dipateri pada ayat 10 surah al-Hujurat yang bermaksud,"Sesungguhnya setiap muslim itu bersaudara"

Sekalian mereka mengerti bahawa untuk melakukan kejernihan perhubungan persaudaraan sesama muslim, itu adalah sebuah kewajipan sama seperti perintah-perintah Allah yang lain. Oleh kerana mereka mengerti ia adalah perintah Allah yang bermakna wajib untuk diimplimentasi, maka mudah bagi mereka untuk segera taat. Itu mereka, kita bagaimana?

Dalam kitab ahya ulumuddin, Imam al-Ghazali menggariskan bahawa tingkatan ukhuwah yang paling rendah ialah kita mampu untuk berlapang dada sesama saudara. Mengapa berlapang dada?

Perhatikan ayat Allah dalam ayat yang sama, sambungannya... "Maka perbaikilah hubungan saudaramu yang berselisih"

Fikirlah, jika pada seseorang individu muslim itu tiada padanya sifat berlapang dada, maka dari celah manakah dia mampu untuk memperbaiki dan memperelokkan hubungan? Tidak. Nescaya kita tidak akan mampu.

Saya teringat kata-kata seseorang kepada saya, tentang orang Yahudi. Katanya... pada orang Yahudi yang Allah laknati mereka itu, sebenarnya ada satu sifat yang sangat-sangat terpuji yang patut kita contohi- iaitu sifat membantu. Sesama mereka, mereka sangat membantu. Seolah-olah kata-kata Rasulullah bahawa muslimin ialah umpama binaan yang saling melengkapi itu ditujukan kepada mereka!

Kita boleh lihat bagaimana ukhuwah fillah al-islamiyyah mengajar kita untuk saling membantu dan menyokong. Dalam peristiwa hijrah sendiri, bilamana Abdul Rahman Bin Auf memulakan perniagaannya di pasar Madinah yang pada saat dan ketika itu dimonopoli oleh kaum Yahudi... dengan tempoh yang singkat sahaja, perniagaan beliau berkembang maju. Pesat sekali! Puncanya ialah kaum muslimin membantunya. Mereka tidak memilih barangan Yahudi sebaliknya memilih barangan muslim?

Ini ialah suatu peringatan sinis buat kita yang suka bertawaf di pusat beli belah milik kaum kuffar. Ini juga nasihat santai buat para penggemar syarikat makanan yang dinaugi oleh kaum kuffar. Tidak salah lagi- ekonomi umat islam mundur kerana kita sendiri yang tidak membantu bahkan kitalah yang menjatuhkannya!

Padah bakal menanti kaum muslimin yang tidak memahami prinsip ukhuwah kerana nanti dia akan menjadi ejen perosak! Dialah orangnya yang akan menjatuhkan semangai saudaranya. Dan dialah yang akan memandulkan impian saudaranya!

Saya memang bukan orang yang terbaik untuk berbicara perihal ukhwah tetapi saya cuma faham satu.

Kita ialah ummat terpilih. Kita diberikan hidayah islam. Kita ada saudara. Jika bukan kepada saudara kita, kita mahu sayang... lalu kepada siapa? Kerana antara kita sedar atau tidak, saudara kita inilah yang akan menjadi jiran kita di akhirat nanti. Jika kita tidak mula menyayangi saudara kita, bimbang-bimbang nanti kita tidak akan bersama-sama mereka. Sebaliknya kita akan berkumpul bersama-sama dengan fasikin, munafikin dan kafirin. Padanlah, kerana dahulu kita mengangkat mereka menjadi saudara! Nauzubillahi min zaalik.

Ala kulli hal,

Saya sayang kamu kerana Allah..

No comments:

Post a Comment