Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Tuesday, October 18, 2011

Tempahan Kuih Tako @ Pelita..

Assalamualaikum WBT...
Semoga sahabat semua dirahmati Allah sentiasa..
Allahumma Amin Ya Lathif

Pening..pening..pening. Nak tahu tak kenapa saya pening? Sebab mula-mula mak suruh buat 200 biji kuih tako atau sesetengah tempat panggil tepung pelita.. 200 ni untuk anak sepupu yang nak buat tahlil hari sabtu ni.. Ok la, tak jadi masalah sebab den cuti.. Tiba-tiba tadi pagi..mak kata buat lagi untuk majlis cukur jambul anak sepupu ahadnya pula.. Haaaaa??? Itu paling tak pun kena buat lagi 300 biji.. Adoiyai..



Buat kuih ni memang mudah.. Tersangat la mudah. Cuma nak menganyam daun pandan tu ambil masa sikit.. Lebih-lebih lagi bila nak buat banyak. Tapi dah araham mem besar..Takkan nak cakap tak nak kot??
Maka....lusa..mulalah aktiviti menganyam daun pandan.. Nasib baik abah dah pandai buat..so ada yang tolong. Daun pandan ni tak pe..tahan kalau disimpan dalam peti ais (bungkus guna surat khabar). Jadi boleh buat awal.. Cuma susah nak cari sengkuang cina kat sini.. Kalau kat Taman U, banyak kat Jusco.. Cari kat Tesco tak de..Econsave tak de.. Kena pergi Kip Mart la jawabnya.. Huu...

Nak tahu tak macam mana nak buat kuih ni? Jom..saya bagi resepi..

Bahagian Bawah (Warna Hijau)
1 cawan tepung jagung
6 cawan air
3-4 titis pewarna hijau
1 1/2 cawan gula pasir (kalau tak nak manis..letak secawan je)
Senkuang cina yang dipotong dadu

Bahagian Atas (Warna Putih)
9 cawan santan
1 cawan tepung jagung
garam secukup rasa (biar lemak masin sikit)


Bahan ni kena bancuh asing-asing dalam periuk.. Didihkan dengan menggunakan api yang kecil.. Kacau sampai jadi pekat. tuang lapisan bawah dulu baru buat lapisan atas. Masa nak tuang lapisan hijau..masukkan sengkuang cina dulu dalam bekas/kotak pandan. Kalau guna santan kotak...1 kotak (bersamaan 1 cawan) tambah dengan 8 cawan air.. Oh ya...kalau tak nak guna pewarna hijau..nak guna air pandan boleh..tapi nanti tak cantik, warnanya keruh..Bagi yang tak pandai nak anyam daun pandan..boleh je tuang kat mangkuk plastik yang kecil (biasa orang buat dadih)..kemudian masa nak masak kuih tako tu, masukkan sekali 2-3 helai daun pandan yang dah disimpul dalam periuk..nanti dah pekat buanglah daun pandan tu.. So, ada la rasa pandan kat kuih tu walaupun guna bekas plastik..

So....apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang mencuba resepi yang confirm jadi dan confirm sedap.. Boleh jual tau.. daripada beli 3 seringgit.. Buat sendiri ni pun dah boleh dapat 50 biji lebih. ^__^  Selamat mencuba!!

Monday, October 17, 2011

Hati-hati dengan Sekeping Hati

Assalamualaikum WBT
Semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT

Alhamdulillah..hari ini saya diberi kesempatan untuk menulis. Ingin saya berkongsi kisah.. Kisah yang diluahkan oleh seorang hamba Allah satu masa dulu..

"Lelaki ni semuanya sama saja.. Suka mempermainkan perasaan perempuan. Suka ambil kesempatan," Ujarnya dengan nada marah. Baru bertengkar dengan buah hati barangkali.. 

Saya hanya mampu tersenyum.. Sebetulnya ayat yang paling tepat adalah "segelintir" bukan semua. Kalau semua..masakan ayahnya mahupun abangnya juga sama??

Tidak berhenti dia menyalahkan lelaki... Lantas segala kebaikkan yang dihulur diungkit kembali.. Saya hanya mendengar.. Tidak mahu menambah amarah.. Api lawannya air, bukan api. Malahan saya juga seorang wanita..sedikit sebanyak saya faham apa yang pernah dia rasa..

Apa boleh buat... kita hanyalah manusia dan manusia fitrahnya lemah..sangat lemah. Sempurnanya manusia kerana kesempurnaan tiada tolok bandingan yang ada pada Dzat Allah Ta'ala.

Saya tidak mahu meletakkan kesalahan di tangan sesiapa selebihnya cenderung menyalahkan diri sendiri.. Kenapa kita tidak pernah beringat dan berhati-hati. Kepercayaan yang diberi melebihi harapan yang diharap. Akhirnya apabila kepercayaan dikhianati..diri termangu seorang diri.. Lantas menangis merenung nasib di jendela.. Salah siapa?

"Sampai hati dia buat aku macam ni.. Dah 3 tahun aku dengan dia.. Banyak dah aku korbankan..Masa susah dulu, aku yang tolong dia..Beribu aku habis untuk dia..last-last dia buang aku macam tu saja"

Kenapa perlu disalahkan orang lain? Kenapa diri tidak pernah bermuhasabah? Kenapa dahulu tidak pernah peduli lantas tidak pernah beringat sebelum terkena? Wahai wanita yang kusayangi...peliharah diri kalian..Janganlah mudah terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki sehingga mudah dirimu menyerahkan mahkota berharga..Janganlah mudah berbangga apabila diminati lelaki lantas berkata "Oh, banyak-banyak perempuan yang ada, aku juga yang dipilih"

Mahupun dia adalah seorang lelaki yang soleh..mahupun perempuan yang solehah.. yang bergelar ustaz mahupun ustazah di kaca mata kalian..tidak boleh dianggap mereka itu beriman kerana sahaja penampilan berjanggut sejemput..berkopiah..bertudung labuh mahupun berjubah..semua itu bukan jaminan imannya berterusan hidup. Kerana dia masih lagi mempunyai teman yang sentiasa hidup iaitu Syaitan dan Nafsu.. Berhati-hatilah pad sekeping hati..



 Ilmu ada tapi tidak ‘pandai’ memanfaatkan ilmu tersebut, itulah padahnya. Kadang-kadang kaku untuk membuat keputusan matang, tidak matang kita akan dihukum oleh sunnatullah kerana kebanyakan manusia memilih jalan berduri yang disengajakan kelak akan memakan diri. Ilmu diperolehi untuk diamalkan.

Tiada alasan walaupun kalian beralasan bukan datang dari latarbelakang agama, kerana sekarang mudah untuk dapatkan bahan ilmiah, dan bergenri islami... sama ada melalui saluran biasa, mendengar kaset, audio ceramah dan kuliah atau secara formal dengan mengikuti kelas pengajian yang ditawarkan secara langsung.

Lantas kita dituntut beramal dengan ilmu tersebut. Bagaimana? Gunalah akal untuk mencerna ilmu tersebut dalam realiti hidup.

Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.

Kita pun menyelidiki punca ‘cerdik pandai’ kita ini membelot pada sebuah ilmu. Maka akhirnya kita ketemu jawapan, iaitu para pembikin ilmu ini sedari umur muda hingga meraih sarjana, telah bergelumang dengan satu sistem. Sistem yang mengarahkan kepada satu keupayaan sahaja; ingat dan luah kembali di atas sekeping kertas. Maka ingatan yang tertuang itulah akan dinilai hidup dan jaya seorang manusia.

Justeru kaedah berkurun lama para pensyarah dan profesor bergelumang dengan sistem exam orianted inilah akhirnya membuatkan mereka beriman bahawa pengukur kepandaian seseorang insan adalah dengan ingat dan luahkan kembali. Percaya bahawa seorang manusia yang boleh mengingat dan boleh menjawab soalan yang diberikan seperti yang termaktub dalam silibus berupa manusia yang cerdik dan harus diberikan ‘kepandaian’ kepadanya.

Namun, panas tidak selamanya hingga ke petang. Adakalanya diri ini tumpas juga dengan gelocakan hawa nafsu. Ingat tersebut tidak lagi berupaya menahan asakan bertali arus anasir-anasir daripada luar kotak ‘kepandaian’ kita tadi. Maka lahirlah mereka yang cerdik pandai, intelek agama turut sama bergelumang di dalam kancah sosial tidak sihat. Mana puncanya? Kerana ilmu yang ada tidak pula pernah beriman, hanya menjaga kepentingan peribadi, tidak lebih untuk mendapatkan segulung ijazah.

Ironinya sangat aneh, teramat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak lagi berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan. Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia belaka, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya.

Hasil kita perolehi, adalah seperti perempuan malang yang ditinggalkan bulat-bulat oleh bekas kekasih di atas. Mudah kesempatan diambil, dirobek.

Kita diberi peluang mencipta diari dan perjalanan hidup sendiri. Takdir kita ada selepas azam dan usaha yang kita ikhtiar. Bukannya menyalah takdir bila diri terjebak di dalam arus membulu, kerana kita telah mentakdirkan diri sendiri menjadi seperti itu. Apa gunanya salahkan orang lain disebabkan kecuaian diri sendiri. Paling berkesan pun kita akan berasa lega apabila amarah dilepaskan bertalu-talu, namun kesan parutnya akan terus membekas di jiwa kalian.

Ingatlah wahai wanita. Kalian ada tugasan yang perlu diutamakan baik sebagai srikandi di jalan dakwah mahupun dalam urusan rumahtangga, iaitu sentiasa patuh pada perintah-Nya. Kaum adam juga sama. Carilah hati anda berada di mana ketika dan di saat ini, dan letakkan pada sumur yang sepatutnya, usahlah lagi dibiarkannya bersendirian tanpa iman sebagai teman yang menjaga.

Ada orang tidak jumpa hati sendiri. Dia tidak tahu di mana hatinya berada, lalu kemahuan hati sendiri jadi tidak menentu. Oleh itu, banyak kata putus hatinya menyimpang jauh dari kehendak naluri insani yang diterajui oleh agama. Maka disebutkan bahawa tempat kita mencari hati adalah dalam mengingati-Nya, dalam menundukkan diri bersolat di hadapan-Nya, dalam merenung hikmah di sebalik setiap kalam-Nya, dan dalam kita menyediakan diri ke destinasi menuju-Nya. Bahkan alam ini, pengajaran paling sesuai untuk kita mengenali Tauhid.

Kalau tidak jumpa hati di tempat-tempat ini, berdoalah kepada Allah, agar diberi sekeping hati untuk berasa diri sebagai hamba, seorang hamba tidak memiliki apa-apa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman.

Thursday, October 13, 2011

Di Mana Jodohku????



Suatu petang yang damai, Ali berjalan-jalan di sebuah lorong yang sangat panjang.. Mengembara mencari sebuah destinasi, namun semakin jauh kaki melangkah, destinasi yang ingin di tuju menjadi kian kabur.

Kadang-kadang Ali terjatuh, kadang-kadang Ali tergelincir, kadang-kadang Ali tersesat, kadang-kadang Ali berlari, kadang-kadang Ali mendaki bukit, kadang-kadang Ali menuruni lembah.. Suatu pengembaraan yang sangat jauh.. Dan dia tidak tahu apa yang bakal menantinya di hadapan.. Hasbunallahuwanikmalwakil.. Bismillahitawakkaltualallah, wala haula wala kuwwatailla billah..

Ketika sedang mengembara, Ali akhirnya tiba pada persinggahan pertama, di situ, Ali bertemu dengan seorang lelaki yang sedang kelihatan muram. Ali singgah lalu memberanikan diri untuk bertanya..

"Saudara, kenapa saudara bersedih?" Ali bertanya. Suasana sepi seketika. Masing-masing diam melayani perasaan. Tiba-tiba lelaki itu menangis. Ali menjadi serba salah, dia ingin segera berlalu pergi. Belum sempat dia mengatur langkah, lelaki itu tiba-tiba bersuara..

"Suatu masa dulu, aku mempunyai seekor rama-rama yang sangat cantik, kepaknya berwarna warni, aku bahagia setiap kali melihat dia mengibarkan kepaknya, indah sekali.." Lelaki itu mula bercerita, wajahnya yang suram sekejap tadi kelihatan berseri seketika, seolah-olah sedang menggambarkan keindahan rama-rama miliknya itu. Namun, sebaik sahaja selesai berkata-kata, wajahnya kembali suram.. Dia kembali murung.

"Sayangnya rama-rama itu sudah tiada.. kerana terlalu mencintai rama-rama itu, aku telah memegang sayapnya terlalu erat, dan akhirnya aku telah mematahkan sayapnya yang indah itu... dia menderita kesakitan kerana aku.. akhirnya dia mati dan meninggalkan aku sendirian..." Lelaki itu menyambung kata-katanya, di hujung ceritanya itu, dia menangis semahu-mahunya. Tangisan seorang lelaki yang sarat dengan penyesalan. Beberapa minit menemani lelaki itu, Ali akhirnya meminta diri untuk meneruskan perjalanannya..

Sampai di persinggahan ke dua, Ali melihat seorang lelaki sedang duduk termenung.. angannya jauh entah ke mana. Ali berasa pelik lalu terdetik untuk bertanya. Ali menghampiri lelaki itu, beberapa ketika berbasa-basi, Ali kemudianya menanyakan hasrat hatinya, dia ingin tahu kenapa lelaki itu sedang duduk termenung..

"Maafkan saya, boleh saya tahu kenapa saudara duduk termenung sendirian di sini?. seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.." Ali mengajukan soalan.. Pemuda di hadapannya membalas renungan matanya. Lama dia membisu, namun akhirnya dia memulakan cerita..

"Ibu bapa aku berpesan kepada aku agar aku merentasi sebuah taman yang indah, meminta aku agar memilih bunga yang paling cantik dan tunjukan kepada mereka. Aku juga tidak dibenarkan untuk berpatah balik atau menoleh ke belakang.." Pemuda itu bersuara seakan-akan berbisik. Dia seolah-olah sudah tidak punyai semangat untuk meneruskan kata-katanya. Suasana sepi beberapa ketika. Kemudian pemuda itu kembali menyambung ceritanya..

"Ketika meredah taman itu, aku terjumpa bunga yang cantik..tapi aku sangka bunga di hadapan pasti lebih cantik lalu aku biarkan bunga itu, begitulah seterusnya hingga akhirnya, bila aku tiba di hujung taman, aku tidak dapat memilih mana-mana bunga kerana aku rasakan bunga yang paling cantik adalah bunga yang pertama aku temui, tapi aku tidak dibenarkan untuk menoleh ke belakang lagi.. aku menyesal kerana tidak memilihnya terlebih awal, aku menyesal kerana tidak menghargainya.. kini aku tidak punyai apa-apa.." begitulah cerita pemuda itu.. Ali mendengar penuh teliti. Terbit rasa simpati di hatinya.. Namun Ali juga tidak dapat berbuat apa-apa, nasi sudah menjadi bubur. Setelah bersalam-salaman, Ali sekali lagi meminta diri, perjalanannya harus di teruskan..

Ali meneruskan lagi perjalanannya.. tiba di satu persinggahan, Ali bertemu pula seorang lelaki yang kelihatan sedang mencari-cari sesuatu. Matanya melilau ke kanan ke kiri, ke depan dan ke belakang. Dia mencari sesuatu. Ali simpati lalu cuba menghampiri, manalah tahu sekiranya dia dapat menghulurkan bantuan..

"Abang cari apa?" Ali kemudiannya bertanya kepada lelaki itu.

"Burung aku, burung aku yang cantik, aku sayang dia, aku kasihan melihat dia terkurung lalu aku bukakan pintu sangkarnya.. sayangnya, sebaik saja aku membuka pintu, dia pergi tinggalkan aku di sini, aku perlukan dia, aku sayang dia, aku mahu dia kembali, tapi dia sudah pergi jauh.." Lelaki itu menceritakan serba ringkas. Ali mengerti bahawa tiada apa yang dapat di bantu kerana burung itu sudah terbang jauh. Sebelum berlalu, Ali sempat berpesan kepada lelaki itu supaya tabah mengharungi dugaan hidup. Lelaki itu sekadar menganggukan kepalanya, namun tidak sempat beberapa minit kemudiannya, dia kembali mencari-cari burung kesayangannya itu. Ali benar-benar kasihan melihatnya. Namun perjalanan harus diteruskan.

Setelah beberapa ketika meneruskan perjalanan, Ali berasa penat dan ingin berhenti berehat. Di perhentian kali ini... Ali ternampak seorang lelaki sedang menutup mukanya dengan kedua belah tangannya, lelaki itu menangis. Ali berasa pelik, sungguh jarang lelaki menangis, lelaki itu menangis pasti kerana ujiannya bukan sedikit.. Sekali lagi Ali menghampiri lelaki itu.. Mulanya, Ali tidak berani bersuara, takut mengeruhkan lagi suasana.. Ali sekadar membatukand diri, menanti masa yang sesuai untuk bertanya..

Namun belum sempat Ali bertanya, tiba-tiba lelaki di sebelahnya menyapanya..

"Kau pasti hairan melihat aku menangis bukan?" Lelaki itu memulakan kata-katanya. Ali sekadar menganggukan kepalanya..

"Dahulu, aku dan wanita saling mencintai. Kami hidup bahagia bersama. Namun suatu hari, terjadi perselisihan faham antara kami, lalu aku secara tidak sengaja berkata kepada wanita, aku katakan bahawa dia bukan tulang rusukku.." Kata-kata lelaki itu tersekat-sekat dan terhenti di situ..pipinya masih basah.

"Kata-kata aku itu telah membuat wanita sedih dan kecewa, dia pergi meninggalkan aku, doakan agar aku dapat ketemu tulang rusukku.. bertahun kami terpisah, akhirnya kami dipertemukan lagi, aku dan dia masih lagi tidak ketemui tulang rusuk masing-masing..malangnya, setelah bertemu semula, dia akhirnya pergi meninggalkan dunia ini selama-lamanya.. dadaku terasa sakit yang amat sakit.. kini baru aku sedar bahawa dialah tulang rusukku, namun semuanya sudah terlambat.. dia sudah tiada lagi.."begitulah kisah lelaki itu. Kisah yang benar-benar menyentuh hati. Ali juga turut merasa simpati.. Ali cuba memujuk sekadar temampu namun lelaki itu tetap juga hanyut di ombak duka. Tangisan penuh kekesalan.

Begitulah kehidupan ini.. kita mencari jodoh terbaik kita, mencari dan mencari hingga kadang-kadang kita tidak sedar ia mungkin sudah ada di hadapan kita. Kita mungkin lupa untuk bersyukur, lupa untuk menghargai apa yang kita miliki, sehinggalah bila ia bukan lagi milik kita, barulah kite menangisi kehilangannya.

Tidak semua orang bertuah, tidak semua orang memiliki apa yang di kehendakinya. Mungkin apa yang menjadi milik kita tidak secantik atau seindah milik orang lain, namun sekiranya kita bersyukur dan tahu menghargai, percayalah, mungkin itulah anugerah yang terindah buat kita.

Sekian, wassalam

Wednesday, October 12, 2011

Rindu!!! Rindu.. Serindu..Rindunya...

Assalamualaikum WBT..
Semoga sahabat semua dirahmati Allah..


Hari ini Rabu, genap seminggu saya meninggalkan Taska Ihsan.. Buat kesekian kalinya (entah berapa kali) saya menonton video bersama Aiman Akiff, Aqlan, Zakwan dan Danny.. Dan kesekian kalinya air mata saya mengalir (sehingga ketika ini, tak berhenti mengalir).. Sungguh indah memori bersama mereka semua.. Anak-anak inilah yang saya belai..saya peluk..saya dodoikan.. Sejak berusia 2 bulan (Akiff sebulan lebih dah dihantar ke taska) sehingga ada yang dah mencecah setahun..
Azhan Taqiff dan Qaleesha Aliya.. Dalam merajuk, sempat pula dia berposing dengan abangnya.

Rindunya...entah bilalah perasaan ini akan lenyap.. Akan terubat.. Gelak senyum Akiff bila diagah.. Tangisan Aqlan bila tak dapat turun dari kuda mainan.. Kenakalan Zaqwan bila bermain.. Danny yang menangis bila ditinggalkan.. Suara Zulaikha minta dukung.. Telatah Maya Nafeesa bila dimarah.. Tangisan Zubayr yang kuat dan tak henti-henti kecuali bila saya peluk erat.. Semuanya sentiasa bermain di minda..
Maya Nafeesa yang pendiam tapi ligat

Di tempat kerja baru ni..saya fikir saya mudah melupakan mereka..ternyata tidak. Mana taknya.. pandang saja ke kiri..saya nampak baju yang sama dipakai Zubayr tergantung... Selak-selak rak baju, nampak baju Aiman Akiff yang selalu saya pakaikan.. Baju Zulaikha.. Baju Imam.. Semuanya ada..
Hani Zulaikha dan kakaknya Arissa Sofea.. Hani suka makan ^__^

Ya Allah.. Aku mengasihi mereka sepenuh hatiku.. Kau peliharalah mereka dalam iman.. jadikanlah mereka anak yang soleh dan solehah.. Taat pada ibu bapa.. jadikan mereka anak yang pintar.. Yang berguna demi AgamaMU.. Kau temukanlah aku dengan mereka satu hari nanti.. Di dunia ini mahupun di akhirat sana.. KAU yang mengetahui hatiku... Sampaikanlah perasaan rinduku pada mereka.. Ya Allah...perkenankanlah doaku..

Amin..amin.. Ya Robbal 'Alamin..

Thursday, October 6, 2011

Selamat Tinggal Semua!!!!

Assalamualaikum WBT
Semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT..



21 Oktober 2010, saya melangkah masuk ke Taska Ihsan.. Bermulalah kehidupan saya bersama-sama anak-anak di sana.. Membawa hati yang sedih..di sanalah saya merawat hati saya. Ternyata..wajah suci anak-anak di sana berjaya mengubati luka. Alhamdulillah..saya bahagia di sana walaupun kadangkala terhiris juga luka lama..

05 Oktober 2011, saya melangkah keluar dari Taska Ihsan.. Hanya Allah yang tahu bagaimana sedihnya perasaan ini bila kali terakhir menatap wajah-wajah mereka.. Renungan Akiff cukup mengesankan dalam jiwa saya. Sehingga menitis air mata tatkala menyerahkan dia pada ayahnya. Entah kenapa...hari itu dia tidak mahu melepaskanku. Bila diletak dia menangis, tidurnya juga tidak lama.. Lebih banyak bermain denganku. andangan terakhirnya yang tak lepas-lepas mendekatkan bibirnya di mukaku.. Argh...sukarnya melupakan itu semua.. Aqlan, biasanya mahu tidur dengan orang lain..kali ini tidak mahu langsung dipegang selain diriku. Tak menang tangan bila terpaksa memegang Aqlan..Akiff dan yang lain. Petang tu..doaku dimakbulkan, Zubayr datang juga akhirnya setelah hampir 2 bulan bercuti. Paling terharu.. Bila ada penjaga yang bersusah payah menyediakan hadiah buatku.. Nak menitis air mata.. tak sangka dihargai.. terima kasih semuanya...

Hm..tak boleh nak cakap banyak sebab dah mengalir air mata ni. hanya Allah saja yang tahu segala isi hati. Apa pun, semoga Allah merahmati kalian dan menjadikan kalian anak yang soleh dan solehah.. Love all of you so much..

Saturday, October 1, 2011

Dik, tak Sah Sembahyang Kamu tadi...

Assalamualaikum WBT...
Semoga sahabat semua dirahmati Allah SWT..

Hari ini, saya menghabiskan masa berehat di rumah setelah semalam melalui perjalanan yang memenatkan.. Walaupun saya dah biasa berulang alik dari UTM Skudai ke Pasir Gudang, entah kenapa perjalanan semalam menguji saya. Lewat dapat teksi..lewat dapat bas..terpaksa berdiri dalam bas.. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 2 jam setengah menjadi 3 jam lebih.

Sampai di Pasir Gudang..dah hampir habis waktu maghrib..Segera saya menuju ke surau di Kompleks Pusat Bandar (tak pasti masjid ke surau sebab besarrrrr). Alhamdulillah, ada beberapa orang muslimah di sana.. Saya lantas segera mengangkat wudhu..

Mungkin kerana nak cepat (takut habis waktu solat maghrib), maka saya terus saja solat tanpa memakai telekung. Apatah lagi dah menjadi kebiasaan saya kalau berjalan tak bawa telekung (sebab dah pakai jubah besar, tudung labuh siap bersarung tangan dan stokin bersih khas untuk solat)

Usai solat maghrib, tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang.
"Dik, sembahyang kamu tak sah!" Ujar seorang Mak Cik tegas. Saya terkedu seketika.. Tertanya-tanya juga..

"Kenapa mak cik?" Tanya saya musykil..

"Kamu ni, sembahyang tak pakai telekung, mana boleh. tak menutup aurat!"

Saya tersdiam seketika sambil membelek-belek diri saya.. Mencari-cari kalau ada aurat saya yang terbuka..

"Erm...mana aurat saya yang terdedah mak cik?" mata mak Cik tersebut meliar memandang saya

"Ustaz yang bagi ceramah kat masjid pernah kata, kalau nak sembahyang kena pakai telekung, warna putih. baru sah"

Adeh..serta merta saya teringakat Kak Anazahrah.. Tak silap saya, beliau pun pernah mengalami perkara yang serupa.

Saya nak terangkan, tapi muka mak cik tu garang semacam. Belum sempat nak buka mulut..mak cik tu dah beredar ke belakang. melipat telekung.

Pandangan saya mengekori susuk tubuh mak cik itu.. Aduh, berbaju blouse lengan 3 suku dengan tudung ala-ala Dato' Siti Nurhaliza.. Saya hanya mampu tersenyum, tak perlu kata apa-apa..