Hidup ini mesti ada tujuan.... Tujuan menuju ke jalanNYA.. Mengenali siapa kita sebenarnya... Sebagai seorang hamba yang menunaikan hak kepada Tuhannya... Allahu Akbar...

Sunday, February 13, 2011

Selusuri Sirah Rasulullah..

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai saja 12 Rabi'ul awal umat Islam diseluruh dunia akan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.

Tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.

Kita boleh menyemaknya mulai dari masa pernikahan Abdullah dan Aminah -ayah bunda baginda sampai dengan wafatnya. Kita boleh mengenal jelas waktu kelahirannya, masa kecil dan masa mudanya. Apalagi setelah baginda diangkat sebagai Nabi dan Rasul, dengan terperinci.

Biografi baginda merupakan sejarah lengkap kehidupan seorang manusia yang dimuliakan dengan risalah Allah, yang tidak terlepas dari sisi-sisi kemanusiaannya· Maka sangatlah relevan bila Allah SWT memerintahkan agar individu Muhammad SAW diteladani dan dijadikan rujukan hidup umat manusia.

Firman Allah S.W.T  maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al Ahzab ayat 21).

 Di jelaskan dibawah salasilah dan keturunan Rasulullah S.A.W.

1. Nasab keturunan Rasulullah saw
Muhammad bin Abdullah bin Abd al Muttalib (asy-Syaibah) bin Hashim (Amru) bin Abd Manaf (al Mughirah) bin Qusai (Kilab) bin Murrah bin Kaab bin Lui bin Ghalib bin Fihr (Qurais pada beliau dinasabkan qabilah ini) bin Malik bin Nadhar (Qais) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (Amir) bin Alias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan (anak kepada Nabi Ismail as).Nasab ini disepakati semua ahli sirah.

2. Kelahiran Rasulullah saw
Baginda S.A.W. dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabi'ul awal tahun gajah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun571 masihi. Disebut tahun gajah kerana Abrahah al Asyram menyerang Mekah dan cuba meruntuhkan Kaabah, tetapi Allah menghancurkan tentera Abrahah dengan mengutuskan burung ababil seperti yang termaktub dalam surah al Fil.

Rasulullah S.A.W. telah dilahirkan di Syi’ab Bani Hashim. Lahir dalam keadaan yatim, bapanya Abdullah meninggal semasa ibunya mengandung dua bulan. Datuknya Abdul Muttalib memeliharanya. Adat resam arab, mereka mencari penyusu dari kawasan pendalaman, Baginda s.a.w diserahkan kepada Bani Saad bin Bakar iaitu Halimah binti Abi Zuaib suaminya al Harith bin Abdul al Qira (Abu Kabhsyah)

3. Peristiwa Pembedahan dadaNabi S.A.W.
Imam Muslim telah meriwayatkan hadis dari Anas ra bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril as ketika baginda sedang bermain main dengan anak-anak lain. Jibril memegang baginda dan merebahkannya lalu dibelah dadanya dan dibawa keluar hati dan dikeluarkan segumpal darah dari dalamnya, dengab berkata; inilah bahagian tempat syaitan bersarang, setelah dicucikan hati baginda di dalam sebuah talam emas dengan air Zamzam, setelah itu disembuhkan semula badannya dan dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi, manakala anak-anak lain berlarian menemui ibunya Halimah menceritakan dengan kata mereka “Muhammad telah dibunuh” Apabila menemuinya semula mereka dapati baginda kepucatan.

4. Ibunya wafat dan dipelihara oleh datuknya
Selepas peristiwa pembedahan dada, Halimah ketakutan lalu segera menyerah Baginda kepada ibunya, ketika itu baginda berumur 5tahun. Baginda di bawah penjagaan ibunya selama setahun.Ibunya wafat semasa kembali dari menziarahi kubur bapanya di Yasrib. Ibunya dikebumikan di Abwa’. Rombongan ziarah disertai oleh baginda, khadamnya Ummu Aiman dan datuknya Abdul Muttalib. Selepas kematian ibunya baginda dipelihara oleh datuknya dengan penuh kasih sayang sehingga datuknya wafat, ketika itu baginda berusia 8 tahun.

5. Di bawah penjagaan bapa saudaranya Abi Talib
Abi Talib telah memikul tanggungjawab menjaga anak saudaranya dengan sebaik-baiknya, malah beliau lebih memberi keutamaan kepada baginda dari anak-anaknya sendiri dengan keistimewaan, penghormatan dan sanjungan dalam tempoh lebih dari 42 tahun. Beliau menyokong, melindungi dan membenarkan baginda bahkan sanggup bergaduh untuk baginda.

Beberapa peristiwa penting sebelum di utus menjadi Rasul :

1. Baginda memelihara kambing.
Baginda pada usia remajanya bekerja sebagai pengembala kambing keluarga Bani Saad dan di Mekah pula mengambil upah dari penduduk Mekah.

2. Bertemu Pendeta Buhaira
Semasa berusia 12 tahun, baginda keluar bersama bapa saudaranya berniaga ke Syam, ketika sampai di Basrah, seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira keluar untuk menemui mereka dan memuliakan mereka sebagai tetamu. Semasa bertemu dengan mereka lalu Buhaira memegang tangan baginda dan beliau berkata; inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Abi Talib bertanya dari mana tuan dapat matlumat ini? Buhaira menjawab tahukan kamu semasa kamu sampai di ‘al Aqabah’ semua batu dan pokok tunduk sujud kepadanya, sujud ini hanya berlaku kepada seorang Nabi sahaja, dan aku kenali pada baginda ‘Khatam al Nubuwwah’ penutup kenabian, ianya terletak di belakang baginda di bawah tulang duyung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat baginda tersebut dalam kitab kami. Seterusnya Buhaira meminta Abi Talib membawa baginda segera pulang ke Mekah dan jangan bawanya ke Syam kerana takut tindakan jahat Yahudi untuk membunuh baginda.

3. Peperangan al Fujjar
Peperangan ini berlaku ketika baginda berumur 14 atau 15 tahun. Berlaku antara gabungan Quraisy dengan Kinanah lawan gabungan Qais bin Ilan dengan Hawazin. Baginda terlibat dalam peperangan ini dengan menolong bapa saudaranya dengan menyediakan dan menghulurkan anak-anak panah kepada bapa saudaranya.

4. Perjanjian al Fudhul
Perjanjian ini telah diadakan pada bulan Zulkaedah. Kaum Quraisy yang terlibat antaranya Bani Hashim, Bani Zuhrah bin Kilab, Bani Tim bin Murrah, Abu Talib, Asad bin Abdul Uzza dan Baginda juga turut serta dalam perjanjian, mereka semua berkumpul di rumah Abdullah bin Jad’aan. Antara isi perjanjian semua bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaya yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya.Baginda turut memuji perjanjian tersebut dengan sabdanya “Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al Jad’aan, perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera.”

5. Meniaga harta Khadijah dan berkahwin dengan Khadijah
Setelah perkhabaran tentang kebaikan, kejujuran dan ketinggian akhlak Rasulullah sampai kepada Khadijah, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke Syam. Beliau menjanjikan perkongsian yang lebih baik dari apa yang pernah ditawarkan oleh peniaga lain kepada baginda. Rasulullah menerima tawaran Khadijah dan baginda ditemani oleh budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah dalam perniagaan ke Syam.

Selepas Rasulullah kembali dari perniagaan di Syam harta Khadijah semakin bertambah dan berkat serta dijaga oleh Baginda dengan penuh amanah. Laporan yang diterima dari Maisarah tentang budi pekerti yang mulia, perwatakan yang lurus serta kebijaksanaan mengurus perniagaan, lalu Khadijah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Baginda kepada teman rapatnya Nafisah binti Manbah. Nafisah berjumpa denganRasulullah menyatakan hasrat Khadijah ingin berkahwin denganya. Baginda bersetuju untuk berkahwin dengan Khadijah. Baginda pun memberitahu bapa-bapa saudaranya persetujuannya untuk berkahwin dengan Khadijah lalu bapa-bapa saudara baginda pergi meminang Khadijah kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Baginda dengan Khadijah. Semasa perkahwinan umur Baginda 25 tahun dan Khadijah 40 tahun. Kesemua anak-anak Baginda adalah dari Khadijah r.a kecuali Ibrahim dari Mariah al Qibtiyah. Baginda berkahwin lain hanya selepas Khadiyjah r.a wafat.

6. Pembinaan semula Kaabah dan isu tahkim antara kabilah.
Semasa Baginda berusia 35 tahun telah berlaku banjir yang besar di Mekah, air deras mengalir ke arah Kaabah dan hampir-hampir meruntuhkan seluruh struktur binaan Kaabah. Pihak Quraisy bersetuju membina semula Kaabah dan mereka membahagikan tugas binaan Kaabah mengikut kabilah. Setelah selesai pembinaan semula Kaabah, timbul perbalahan yang hampir membawa kepada peperangan antara kabilah tentang siapa yang sepatutnya meletakkan hajarul aswad pada tempatnya sehinggalah Abu Umaiyah bin al Mughirah memberi cadangan untuk menerima penyelesaian dari orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintu besar dialah yang akan menjadi hakim.

Dengan izin Allah, Rasulullah lah orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintunya, lalu mereka melaungkan itu pun al Amin, kami semua setuju dengan penyelesaian Muhammad. Baginda membentang sehelai kain dan meletakkan hajarul aswad di atas kain, lalu baginda memanggil ketua-ketua kabilah memegang hujung kain seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai tempatnya, seterusnya baginda sendiri mengangkat hajarul aswad dan meletaknya di tempat kedudukan asal hajarul aswd. Semua kabilah redha dengan cara penyelesaian Muhammad.

Kehidupan baginda sangat kompleks, menyangkut segala aspek kehidupan, sehingga tidak ada satu sisi pun dari kehidupan manusia yang terlepas dari sisi kehidupan baginda.Nabi S.A.W. adalah seorang suami terbaik dari beberapa orang isteri, seorang ayah terbaik dari beberapa orang anak, seorang datuk terbaik dari beberapa orang cucu, seorang mertua terbaik dari beberapa orang menantu, seorang menantu terbaik dari beberapa orang mertua, seorang pemimpin yang adil, seorang panglima yang cerdas, seorang politikus yang ulung, seorang yang paling berjaya dalam dakwahnya, dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak baginda.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam ayat 4)

Biografi baginda juga merupakan petunjuk jelas dan mudah dilaksanakan dalam kehidupan bagi umat manusia dalam menjalankan tugasnya sebagai khalifah dan pelaksana hukum Allah (Al Quran) di muka bumi ini.

Aisyah r.ha. menyimpulkan : “Akhlak Rasulullah adalah Al Qur’an”

 Al Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Apa yang baginda perbuat adalah apa yang baginda fahami dari al Quran.”

Oleh sebab itu, memahami biografi baginda merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami Islam itu sendiri, kerana ia adalah saksi nyata, saksi hidup dari buah iman dan keyakinan yang mantap terhadap Dinul Islam, yang terjelma pada sosok pemimpin teladan yang agung, juga tercermin dalam kehidupan generasi pertama yang tumbuh hidup ditangan didikan baginda sendiri.

Biografi Rasulullah SAW ini kita kenal sekarang dengan istilah sirah nabawiyah.

 Apabila kita katakan as-sirah, sudah menjadi kesepakatan umat  dimaksud adalah as-sirah an-nabawiyah ertinya sejarah hidup Rasulullah SAW dan perjuangan hidup baginda.

Bersabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman seseorang (dengan sempurna) di antara kalian kecuali aku lebih dicintai dari pada dirinya sendiri, orang tua dan seluruh manusia.”

Pada dasarnya pembahasan Sirah Nabawiyah mencakup 3 perkara pokok :

1. Sejarah kehidupan Rasulullah SAW sejak tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sampai wafatnya.

2. Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama baginda.

3. Sejarah penyebaran Dinul Islam yang dimulai turunnya Al ‘Alaq di gua Hira sampai berduyun-duyun umat manusia di jazirah Arab memasuki Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Al Quran merupakan sumber pokok kajian sirah nabawiyah, kerana al- Quran merupakan data paling tepat untuk catatan semua peristiwa-peristiwa penting yang pernah terjadi di alam ini.

Yang menuturkannya adalah satu-satunya saksi sejarah yang masih hidup dan tidak akan pernah mati, bahkan Allah sendirilah pemprogram semua peristiwa sejarah itu· Tetapi Al Quran sendiri tidak secara terperinci memuat peristiwa-peristiwa sejarah, hanya secara global saja· Oleh  itu kita tidak hanya cukup bersandar pada Al Quran saja dalam kajian sirah nabawiyah ini, tetapi perlu dibantu oleh sumber hadis dan pandangan sahabat-sahabat baginda.

Untuk memahami sunnah yang lebih terperinci terdapat  para ulama hadis dengan cara periwayatan yang sangat cermat, seperti 6 kitab utama dalam ilmu hadis iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dan Sunan At-Tirmidzy. Juga Muwaththa’ Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad boleh dijadikan sumber kajian sirah.

Sebagai umat Islam yang yakin dengan sunnah Nabi S.A.W. kita boleh merujuk dari kitab-kitab sirah seperti Sirah Ibnu Hisyam karya Abu Muhammad Abdul Malik Ibn Ayyub Al Humairy (213 atau 218 H), dan kitab-kitab sirah yang lain.

Ciri-ciri sirah nabawiyah sangat terkait dengan huraian dalam  al Qur’an dan as-sunnah, kerana ketiganya adalah bersepadu yang tidak terpisahkan.Kerana baginda di utus untuk memberi rahmat kepada sekelian alam dan menjadi contoh ikutan.

Dengan dasar ini maka secara langsung merupakan senjata yang ampuh dan kuat untuk menangkis setiap serangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam yang selalu berupaya melontarkan syubuhat (kerancuan-kerancuan) tentang kebenaran risalah dan kenabian Muhammad SAW.

Mereka (Yahudi dan Nasrani) bertujuan supaya kalimat kedua dari dua kalimat syahadat hanya menjadi hanya ucapan dibibir saja. Penjelmaan di hadapan seorang muslim dalam kehidupannya yang jelas dalam kehidupan yang patut dicontoh sebagai penghayatan dari ayat 21 surat Al-Ahzab, sehingga mendapatkan contoh yang nyata dalam pelaksanaan Dinul Islam.

Akan tetapi sayangya, sejarah hidup Rasulullah SAW dan sambutan yang dilaksanakan setiap tahun pada tarikh keputeraan Rasulullah S.A.W. hanyalah  laungan semata-mata tidak ada inisiatif untuk melaksanakan.

Kajian sirah nabawiyah membantu dalam menelaah kitabullah (al Quran), merasakan rohnya dalam memahami pesan-pesannya. Dengan demikian Al Quran mudah difahami dengan benar, baik secara menyeluruh.

Banyak sekali ayat-ayat Al Qur’an yang tidak boleh difahami atau ditafsirkan secara benar kecuali dengan merujuk kepada sirah nabawiyah yang berkaitan dengan ayat-ayat itu.

Sebagai contoh surat al-Anfal. Surat ini hanya boleh difahami dan boleh diambil pengajarannya manakala kita baca sirah nabawiyah tentang perang Badar.

Kajian sirah nabawiyah memberikan manhaj (metod) yang jelas bagi para dai untuk meneruskan perjuangan mulia para Nabi dan Rasul. Juga memberikan gambaran susunan agenda kerja dakwah secara lebih terperinci dan jelas.

Dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW, di kenal dua fasa  dakwah :

Pertama : Fasa Makkiyah (selama baginda berdakwah di Makkah).

1. Penekanan dengan penyampaian dan penyebaran dakwah, baik secara rahasia ataupun secara terang-terangan, dimulai dari keluarga terdekat, sebagai penyelamatan manusia dari kesesatan kepada petunjuk yang terang, mengeluarkan umat manusia dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam yang terang benderang.

2. Penekanan dengan mendidik / mentarbiah orang-orang menerima dakwah dan beriman kepada dakwah baginda, mentazkiyah dan menyucikan jiwa mereka, untuk membentuk asas masyarakat Islami dengan jalan: -mengajarkan Dinul Islam -menlaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. -memperdalam makna ukhuwah islamiyah di antara mereka -saling berwasiat dengan hak dan kesabaran

3. Berusaha untuk tidak memberikan perlawanan secara fisikal terhadap gangguan dan rintangan dakwah, cukup dengan jihad dakwah. Padahal musuh-musuh Islam menyerangnya dengan berbagai kekuatan fisikal. Bahkan Khabab ibn Al-Arot ra pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang seksaan yang diderita oleh sahabat yang lain. Sahabat Khabab lalu mengusulkan agar kaum muslimin diizinkan memberikan perlawanan fisikal atau Rasulullah berdoa kepada Allah untuk kehancuran orang-orang kafir. Tapi baginda menganggap tindakan itu sebagai langkah tergesa-gesa dan hendak cepat berjaya.

4. Terus bergerak dengan dakwah, tidak tertumpu pada Makkah saja, hijrahnya beberapa orang ke Habasyah, perginya baginda ke Tha’if, usaha baginda untuk menjalin hubungan dengan jemaah haji yang datang ke Makkah di musim haji merupakan bukti amanah baginda dalam menyampaikan Risalah Islam.

5. Kesinambungan kerja dalam meletakkan strategi dan langkah-langkah untuk masa depan dakwah Islamiyah. Seperti mengadakan perjanjian dan sumpah setia (bai’at) dengan orang-orang Yatsrib; kemudian mengutus Musab bin Umair kepada mereka untuk mengajarkan al- Quran dan Islam; berusaha memiliki perhubungan dengan kabilah-kabilah di luar kota Makkah untuk mencari suaka politik dan tempat berlindung; Dan akhirnya baginda hijrah ke Yathrib/Madinah dengan strategi yang sangat rapi dan matang.

Kedua : Zaman Madaniyah (selama baginda berdakwah di Madinah)

1. Penekanan dalam pemantauan proses penyampaian dakwah, tarbiah dan tazkiah kepada orang-orang yang menerima dakwah dengan cara penyampaian al- Quran, mengajarkannya dan menerapkannya dalam kenyataan hidup mereka. Juga kepentingan pembangunan masjid sebagai tempat pembinaan umat, mempersaudarakan antara orang-orang Ansar dan Muhajirin serta terus mempererat hubungan persaudaraan di antara mereka.

2. Penuh perhatian dengan berdirinya suatu tatanan masyarakat atau tata perlembagaan masyarakat Islami (daulah) setelah ketiga unsurnya sempurna, iaitu: - adanya asas masyarakat yang beriman, hal ini sudah baginda persiapkan sejak diutusnya Musab bin Umair ke Yatsrib sebelum Hijrah. - adanya asas  negara yang aman, di mana kota Yathrib sangat sesuai kalau dilihat dari berbagai aspeknya, di samping sebagai realisasi petunjuk Allah dalam mimpi baginda (mimpi seorang Nabi merupakan wahyu yang benar). - adanya aturan hidup yang jelas, iakni syariat Islam yang terus mengatur perhubungan kemasyarakatan.

3. Penekanan pada melaksanakan syar’at Islam bagi seluruh lapisan masyarakat tanpa pandang bulu, baik untuk perseorangan atau masyarakat secara umunya. Malah baginda menegaskan, puteri baginda tercinta pun tidak akan lepas dari hukum tersebut, apabila ia melanggar.

4. Berusaha mengadakan perdamaian dengan musuh-musuh Islam yang mahu berdamai dan berusaha untuk hidup berdampingan dalam suatu tatanan masyarakat Islami.

5. Menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha menyerang dengan jalan melakukan peperangan, mengadakan latihan ketenteraan serta terus mengadakan  pasukan mujahidin yang siap tempur bila saja baginda arahkan. Sebagai contoh adalah kisah Hanzalah. Beliau tidak sempat mandi junub setelah malam pengantinnya kerana mendadak ada penggilan jihad menuju Uhud. Di dalam perang Uhud sahabat Hanzalah syahid. Malaikatlah yang memandikan beliau sebelum akhirnya dikebumikan oleh kaum muslimin.

6. Merealisasikan Islam sebagai dakwah yang sempurna dan rahmat untuk sekelian alam  dengan cara mengirim utusan-utusan dan surat-surat dakwah ke berbagai daerah atau negara tetangga serta menerima tamu-tamu dari utusan negara lain sebagai bukti bahwa dakwah beaginda untuk seluruh umat manusia.

7. Kajian sirah nabawiyah termasuk aktiviti ilmiah kita yang bernilai ibadah. Ayat 21 surat al-Ahzab secara jelas memerintahkan kita mengikut peribadi  Rasulullah SAW. Tidak mungkin kita boleh mengambil contoh daripada baginda sekiranya kita tida mengenal, mengkaji dan memahami sirahnya. Dalam kaidah syarak sering kita jumpai: “Untuk menyempurnakan suatu yang wajib perlu kepada perkara itu, maka perkara itu menjadi wajib"

8. Dengan mempelajari sirah nabawiyah, umat Islam secara tidak langsung mempunyai panduan yang benar dan jelas dalam diri dan kehidupan baginda. Sahabat-sahabat pula adalah satu generasi al-Quran terbaik yang dihasilkan daripada madrasah dan tarbiah Rasulullah S.A.W.

Sahabat yang dihormati,
Sempena kita menyambut hari keputraan Rasulullah S.A.W. di panggil Maulidur Rasul, maka marilah kita menghayati cara hidup, perjuangan dan pengorbanan baginda S.A.W.  sebagai Rasul utusan Allah S.W.T. dalam kehidupan kita.

Jadikanlah baginda sebagai idola dan ikutan sepanjang zaman kerana dengan kita mengikut sunnah dan perjuangan baginda ini sebenarnya tidak terpisah dengan iman dan ajaran Islam. Cinta kita kepada Rasulullah S.A.W. akan mendapat cinta Allah S.W.T. kerana sesiapa yang mencintai kekasih Allah, dia akan akan mendapat cinta daripada Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment